SAYA adalah seorang penggemar madah, kata-kata hikmat atau sesetengah orang mengistilahkannya sebagai mutiara kata. Ketika saya kecil, abang saya, Akil rajin menulis mutiara kata yang ditampal di dinding biliknya. Madah pertama yang saya tatap dan ingat hingga kini berbunyi: "Jika kau ingin mencapai cita-cita, buanglah cinta. Cinta penghalang cita-cita!”
Kerana kagum dengan madah itu, saya cuba memikir-mikirkan maksudnya. Saya tertarik dengan istilah ‘cita-cita’ dan ‘cinta’ itu sendiri. Betapa ‘cinta’ itu menjadi penghalang ‘cita-cita’. Meskipun ayatnya pendek, maksudnya bisa memutar minda.
Madah menguja fikiran kita. Meskipun ringkas, ia mempunyai makna yang padat, mendalam dan penuh inspirasi. Madah yang dibaca pada pagi hari sudah cukup menyibukkan minda kita daripada berfikir tentang hal-hal rutin yang remeh.
Madah mengasah fikiran hingga boleh melahirkan pandangan yang berbeza dan segar meskipun ia mengenai hal-hal seharian. Sudut pandang itulah yang menjadikan madah sebagai sumber inspirasi, pengubat dan benteng daripada fikiran-fikiran yang negatif.
Kita yang hidup di dunia yang amat sibuk, kadangkala akan berasa sunyi apabila tiada teman di sisi kerana mereka pun sibuk menangani stres masing-masing. Justeru, membaca madah adalah cara baik untuk memperoleh santapan spiritual dan emosi. Malah, ia lebih praktikal daripada membaca buku yang tentunya memakan masa dan konsentrasi atau melayani media sosial yang melalaikan.
Hanya dengan sebuah madah, kita boleh memahami situasi dengan ringkas dan padat. Apabila mula berkenalan dengan seseorang, saya sentiasa ingat mutiara kata ciptaan Eleanor Roosevelt, isteri FD Roosevelt, Presiden Amerika Syarikat yang ke-32. Katanya: "Small minds talk about people, average minds talk about events, great minds talk about ideas.”Benar sekali. Orang yang berfikiran kecil akan bercakap tentang orang, yang berfikiran sederhana akan bercakap mengenai isu dan yang berfikiran besar akan bercakap tentang idea.
PEMIKIRAN
Jadi, untuk mengenali jenis pemikiran seseorang, saya hanya mendengar apa yang terkeluar daripada mulutnya untuk membuat telahan tentang ‘saiz’ mindanya.
Dalam perhubungan saya dengan orang berpengaruh, saya amat berhati-hati dan menjadikan kata-kata ahli falsafah Cina Konfusius sebagai panduan. Katanya: "Maharaja itu umpama matahari. Ia menerangi. Tetapi apabila kamu menghampiri, dirimu akan terbakar!”
Kita perlukan ketua atau pemimpin sebagai tempat rujukan. Namun, usah terlalu berdampingan kerana diri kita kelak boleh hancur.
Sebuah madah daripada seorang penceramah yang saya telah lupa namanya amat menarik hati. Saya ingin jadikan diri saya seperti yang dia perkatakan. Katanya: "Jadikan diri umpama buah, yang tercampak di laut menjadi pulau, terdampar di darat menjadi bukit dan terlontar ke langit menjadi satelit!”
Madah yang ringkas ini memotivasikan diri agar kekal relevan.
Oleh sebab gemar dengan madah, saya sendiri mula menulis mutiara kata. Pendirian peribadi saya disimpulkan dalam madah ciptaan saya yang ditulis pada 1985. Ia berbunyi: "Don’t be Jack of all trades and a master of none, but be Jack of all trades and a master of one!”
Maknanya, kita mesti pandai melakukan semua benda tetapi jangan lupa untuk jadi pakar dalam sesuatu perkara.
Minat kepada madah bukan setakat untuk diri sendiri tetapi saya suka sebarkan kepada kawan-kawan. Ia bertepatan dengan saranan daripada hadis Rasulullah SAW iaitu: "Sampaikan olehmu walaupun satu ayat.”
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca