[MUKADIMAH] Baru-baru ini tular isu bekas Ahli Dewan Negara, Asmak Husin dikecam hebat apabila memuat turun satu ciapan seolah-olah menentang sebuah jenama tuala wanita yang didakwa menggunakan imej bunga seakan bentuk kemaluan wanita... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Baru-baru ini tular isu bekas Ahli Dewan Negara, Asmak Husin dikecam hebat apabila memuat turun satu ciapan seolah-olah menentang sebuah jenama tuala wanita yang didakwa menggunakan imej bunga seakan bentuk kemaluan wanita sebagai kempen jenama tersebut.

Dakwaan ‘tidak menghormati wanita’ kepada jenama itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada banyak pihak termasuklah sebahagian ahli Parlimen wanita dan influencer terkemuka.

Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada Asmak yang juga pendakwah bebas bahawa pendiriannya sangat kolot kerana mempertikaikan kempen kesedaran jenama itu yang khususnya memang untuk kegunaan wanita.

Ada juga yang berpendapat bahawa kempen itu hanya bertujuan untuk memberi kesedaran berkenaan haid dan imej faraj wanita tidak patut melambangkan seksualiti wanita semata-mata dan perlu diberi lebih pendedahan serta pendidikan pada masa kini.

Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Nurul Nabila Ahmad Halimy bersama Asmak untuk merungkap isu yang menjadi perbualan hangat netizen itu.

SINAR HARIAN: Pada pendapat ustazah, adakah isu haid atau melibatkan alat sulit wanita ini merupakan isu taboo dan tidak patut dibincangkan secara umum?

ASMAK: Isu haid bukan isu taboo namun ada perkara yang boleh dibincangkan secara umum dan secara peribadi bergantung kepada peringkat umur, tahap serta cara pendedahan.

Isunya kini adalah berlakunya peralihan masa dan cara pendekatan itu berubah serta mempunyai jurang antara generasi dahulu dan sekarang.

Zaman dahulu, ibu bapa mengajar haid dengan cara memanggil, memesan dan memberi pendekatan kepada anak secara peribadi. Kemudian di sekolah, ustazah akan memberi pendidikan akil baligh atau seksualiti kepada pelajar.

Asmak Husin

Namun, selepas peralihan masa, banyak terjadi isu kemiskinan haid. Terdapat ibu bapa yang tidak terdedah dan tidak tahu cara untuk menyentuh dan mendidik anak-anak tentang perkara ini.

Dalam Islam pula, kita diajar mengenai haid dan kemudian mesti dikaitkan dengan hukum, ibadah dan kebersihan. Oleh itu, cara penyampaian sudah berubah dan ada jurang antara generasi di mana budaya kini lebih bersifat individualistik.

- Mengapa ustazah merasakan bahawa kempen yang dibuat oleh satu jenama tuala wanita itu dianggap sebagai ‘tidak menghormati wanita’?

Kempen itu memang jelas menunjukkan imej faraj wanita. Pendekatan itu tidak sesuai di dalam Islam kerana Islam mengajar adab melihat dan ia berkaitan dengan aurat.

Saya tidak faham mengapa imej faraj wanita itu digunakan? Jika benar ia untuk memberi pengetahuan kepada haid, kenapa bukan gambaran uterus yang digunakan kerana ia lebih berkait rapat dengan haid wanita.

Saya juga membawa isu ini kepada pakar perubatan dan psikologi untuk mengetahui sama ada imej faraj wanita itu memberi kesan jika ditayangkan kepada umum atau tidak.

Menurut pakar, tiada bukti saintifik apabila kita menunjukkan kemaluan, budak-budak akan faham tentang haid.

Pada pendapat ustazah, adakah gambaran imej faraj itu hanya melambangkan seksualiti wanita atau ia boleh menjadi sebahagian daripada kesedaran?

Saya berbalik kepada hukum Islam yang kita perlu jaga. Kempen ini dilihat oleh semua pihak dan imej faraj wanita itu bukan diletak pada bungkusan sahaja tetapi di dalam iklan, video dan media sosial.

Berdasarkan jawapan dan fakta pakar, apabila kita berbincang mengenai imej bibir wanita, ia lebih dikaitkan kepada aktiviti seksual seperti sensitiviti dan saraf wanita. Jadi saya tidak nampak kaitan saintifik di situ.

- Adakah ustazah melarang penggunaan imej sahaja atau inti pati kempen tersebut?

Saya sebenarnya melarang inti pati kempen tersebut yang mana saya lihat ada gerakan tertentu di sebalik iklan ini yang membawa aliran berbeza dengan budaya timur dan Islam.

Jika topik haid tidak patut dibincangkan secara umum, adakah ustazah rasa kanak-kanak atau remaja wanita ketika ini kurang pengetahuan dari segi pendidikan seks dan haid?

Dalam Islam, ada cara dan tahap untuk memberi pendedahan mengenai ilmu haid. Bagi kanak-kanak (mumaiyiz), kita hanya memberi pengenalan dahulu, apabila mencapai akil baligh, kita akan menyentuh tentang penjagaan alat sulit serta haid dan di peringkat universiti dan menuju fasa perkahwinan, ilmu itu perlu diberi dengan lebih terperinci.

- Selepas jenama tersebut memberi kenyataan balas dan permohonan maaf, apakah tindakan susulan mereka? Adakah semua iklan sudah diturunkan dan corak pada plastik bungkusan tuala wanita itu tidak digunakan lagi?

Kami akan berjumpa dengan jenama itu dengan jawatankuasa Majlis Wanita Islam Yadim (Maya) untuk membincangkan isu berkenaan dan jenama ini sudah pun menurunkan iklan-iklan serta video-video tertentu.

Setakat ini pihak sana menerima dengan baik dan saya rasa bagus jenama seperti ini membuat kesedaran kepada remaja daripada awal cuma cara pendedahan, mohon dirujuk kepada modul-modul standard dan pakar-pakar yang ada.

Kita mempunyai tiga modul di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berteraskan lunas budaya dan agama termasuk pendidikan seksual.

- Ramai yang mempertikaikan terdapat banyak iklan yang menggunakan perkataan berbaur lucah berbanding imej kemaluan yang dikatakan merendahkan martabat wanita. Apa komen ustazah?

Saya dah bersuara lama mengenai isu pemilik produk yang mengeluarkan iklan serta perkataan berbaur lucah yang bertentangan dengan prinsip agama.

Daripada dahulu saya sentiasa konsisten dengan membuat bengkel pendidikan dan kesedaran, bersuara di Parlimen dan membuat kenyataan mengenai isu-isu seperti ini.

Saya sentiasa memperjuangkannya supaya ada satu kementerian yang khusus untuk fokus kepada media sosial termasuk iklan dan kempen dijalankan.

Apa perasaan ustazah apabila isu ini menjadi tular dan turut dikomen oleh ramai pihak termasuk ahli parlimen wanita dan influencer?

Saya menerima tanggapan orang dengan hati yang terbuka dan mengambil perkara ini sebagai salah satu daripada cabaran pendakwah.

Saya tidak paksa orang ikut cara saya namun hanya menjelaskan apa yang betul atau tidak melalui kepakaran dan pengetahuan yang saya ada selepas terlibat dengan pendidikan seksual lebih 15 tahun.

Klik di sini untuk terus membaca