AWANG naik pelik perangai sesetengah orang Melayu. Apabila seorang wanita bagi tahu dia dapat mimpi membabitkan hari kiamat dan buat macam-macam ramalan tentang masa hadapan ramai yang percaya.
Wanita ini ketuai Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT). Umurnya 39 tahun. Yang peliknya ada kalangan pengikutnya yang menjual rumah, membina rumah dalam hutan, mengorek tanah untuk dibuat kubu dan macam-macam lagi.
Ada yang sediakan busar dan panah untuk menghadapi ‘perang akhir zaman’. Antara matlamat akhirnya ialah untuk mencari Imam Mahdi entah di mana.
Kenapa orang Melayu begitu mudah terpengaruh dengan kekarutan seperti ini. Bukan kali pertama hal seperti ini berlaku. Satu masa dulu kita dikejutkan dengan cerita ajaran Ayah Pin dan kerajaan langit. Macam-macamlah kisah orang yang ambil kesempatan daripada kepercayaan orang Melayu terhadap perkara yang karut dan khurafat.
Begitu mudah orang Melayu diperdaya oleh cerita minta derma yang sebetulnya scam di talian, skim cepat kaya, janji pelaburan yang beri pulangan besar dan macam-macam lagi. Macam juga orang Melayu percaya pada macam-macam benda karut yang boleh ubat penyakit. Ada yang sanggup bergadai bergolok jumpa pawang untuk ubat sakit jantung, buah pinggang dan jangkitan Covid-19.
Memang patut sangatlah orang Melayu buka mata dan hati agar mereka sedar bahawa perkara karut dan khurafat hanya merugikan mereka. Syukurlah wanita itu sudah bertaubat. Tapi akan muncul ‘ketua’ lain tak lama lagi. Dan akan ada lagi pengikut mereka yang taksub.
Klik di sini untuk terus membaca