PERUNTUKAN RM400 bilion untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah jumlah terbesar semenjak rancangan pembangunan negara diadakan sejak merdeka lagi. Tambahan lagi ia mencakupi baki 4 tahun sahaja lagi antara 2021 ke 2025, namun jumlah yang besar ini mesti dilaksanakan dengan jayanya seperti yg disasarkan.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, jumlah ini tidak menghairankan kerana lapan pakej bantuan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan berjumlah RM530 bilion dan belanjawan negara tahun 2021 pula adalah tertinggi dalam sejarah iaitu RM322.5 bilion.
"Namun kita sedia maklum daripada lapan pakej tersebut, suntikan tunai bukanlah jumlah yang banyak iaitu kurang daripada 20 peratus. Seperti yang dimaklumkan paras hutang negara akan dinaikkan pada 65 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sekarang kerana ia amat perlu untuk memulihkan ekonomi negara.
"Langkah sama turut dilakukan negara-negara lain di dunia melalui suntikan fiskal bagi menyokong ekonomi masing-masing terutama rakyat jelata dan kesinambungan perniagaan. Jadi tidak hairanlah Malaysia terpaksa berbelanja besar untuk memulihkan ekonomi yang telah melalui kemelesetan sejak tahun 2020 hinggalah sekarang,” katanya.
Menurutnya, kerajaan perlu berbelanja atau terus membuat pinjaman untuk menampung keperluan ekonomi yang mendesak terutama kebajikan rakyat bagi mengelakkan lagi peningkatan pengangguran dan menyokong subsidi ekonomi domestik yang lemah.
"Sewaktu Malaysia dilanda kemelesetan pada tahun 1970, 1974, 1985, 1997 dan 2008, hutang negara telah meningkat naik peratusannya kepada KDNK, kerajaan waktu itu turut membuat pinjaman untuk menyokong ekonomi yang jelas memerlukan dasar fiskal agresif. Sebagai contoh pada tahun 1986, peratusan negara berada pada 103 peratus kepada KDNK dan kembali menurun selepas ekonomi beransur pulih dan berkembang pesat pada tahun 90-an.
"Mengikut kajian Bank of International Settlement (BIS), sekiranya saiz hutang kerajaan melebihi 85 peratus daripada nilai KDNK, maka barulah ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Jadi tahap hutang negara masih lagi terkawal,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan bercadang menaikkan hutang negara daripada 60 peratus kepada 65 peratus untuk membantu ramai peniaga terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang terkesan terutamanya dalam sektor peruncitan dan pelancongan akibat penutupan ekonomi.
Ini penting agar rakyat dapat keluar dan aktiviti perniagaan serta ekonomi boleh dimulakan semula seperti biasa dalam keadaan norma baharu.
Klik di sini untuk terus membaca