SHAH ALAM - Pembayaran kompaun sebanyak RM1.1 juta bukanlah satu pengakuan bersalah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan terhadap dua pertuduhan kes di mahkamah yang dikenakan ke atas beliau. Ahmad Maslan menerusi firma... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pembayaran kompaun sebanyak RM1.1 juta bukanlah satu pengakuan bersalah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan terhadap dua pertuduhan kes di mahkamah yang dikenakan ke atas beliau.

Ahmad Maslan menerusi firma guamannya, Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq memaklumkan pembayaran kompaun RM1.1 juta itu dibuat kerana ia jalan terbaik penyelesaian bagi dua pertuduhan itu.

Kata firma guaman tersebut, keputusan itu dibuat selepas anak guamnya mendapat maklum balas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Mei lalu yang mengesahkan Ahmad Maslan tidak akan terlucut kelayakan sebagai ahli Parlimen dan boleh bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang meskipun membayar kompaun.

"Proses penyelesaian ini bukanlah satu proses baharu, malah ia telah mengambil masa lebih setahun sebelum iditerima dan direkodkan di mahkamah pada hari ini.

"Anak guam bukan sahaja bersedia menghadapi perbicaraan ke atasnya dan membuktikan ketidakbersalahannya di mahkamah, malah anak guam juga mencari jalan agar suatu jalan penyelesaian menang-menang boleh dicapai.

"Satu surat jawapan daripada SPR berkenaan inkuri kami dijawab pada 5 Mei 2021 dengan jawapan yang positif bahawa anak guam dalam membuat pembayaran kompaun (bukan denda mahkamah) tidak akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen dan boleh bertanding kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

"Jawapan positif SPR itu membawa kepada keputusan anak guam untuk menilai pembayaran kompaun sebagai jalan penyelesaian terbaik bagi kes terhadap beliau," katanya.

Dengan penyelesaian kompaun RM1.1 juta itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Ahmad Maslan daripada dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM maklumkan pernah tawar Ahmad Maslan kompaun tapi Ahli Parlimen Pontian itu mahu dibicarakan.


BANTUAN DAN PINJAMAN DUIT RAKAN

Menurut firma guaman berkenaan lagi persetujuan yang dicapai di antara pihak pendakwaan dan pembelaan adalah situasi menang-menang bagi menyelesaikan kes tersebut.

"Perintah pelepasan dan pembebasan ini perlu dihormati semua pihak kerana ia merupakan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini," katanya.

Firma berkenaan menambah, Ahmad Maslan membuat bayaran kompaun RM1.1 juta itu menerusi bantuan dan pinjaman rakan-rakan yang telah menyokong beliau sepanjang perjuangannya.

Dalam pada itu, SPRM dalam satu kenyataannya memaklumkan tindakan kompaun terhadap Ahmad Maslan merupakan satu tindakan punitif.

SPRM berkata, tindakan sama turut dilakukan terhadap mana-mana individu yang terlibat dan merupakan satu bentuk pemulangan aset di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

"Ahmad Maslan sebelum ini pernah ditawarkan kompaun tersebut pada Oktober 2019 namun memilih untuk dibicarakan di mahkamah pada ketika itu.

"Sehubungan itu, beliau dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) AMLATFPUAA 2001 (Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1059 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001) pada 20 Januari 2020.

"Semasa tempoh perbicaraan berjalan, beliau telah mengemukakan representasi dan bersetuju kembali untuk membayar kompaun tersebut," memetik kenyataan itu.

Susulan pembebasan Setiausaha Agong UMNO itu, Najib turut memuat naik satu kenyataan mempertahankan dana yang disalurkan kepada Ahmad Maslan iaitu daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan bukannya dana haram.

"Wang yang saya bayar kepada Ahmad Maslan dan kesemua pihak untuk kerja CSR (tanggungjawab sosial korporat) itu berasal daripada dana sekurang-kurangnya RM642 juta yang saya terima daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan ini telah dibuktikan banyak kali dalam perbicaraan mahkamah," kata Najib.

Klik di sini untuk terus membaca