BERMULA daripada kasut-kasut dan baju-baju sejuk sehingga peralatan kereta serta kopi, perintah 'lockdown' yang ketat dan panjang di Vietnam telah menyebabkan berlakunya kekurangan produk tersebut di negara pengimport seluruh dunia. Jenama... Klik di sini untuk terus membaca

BERMULA daripada kasut-kasut dan baju-baju sejuk sehingga peralatan kereta serta kopi, perintah 'lockdown' yang ketat dan panjang di Vietnam telah menyebabkan berlakunya kekurangan produk tersebut di negara pengimport seluruh dunia.

Jenama kasut seperti Nike dan Gap yang dibuat di negara tersebut juga mengalami masalah kekurangan bekalan di pasaran dunia ekoran pelaksanaan 'lockdown' itu yang dilakukan bagi mengekang penularan Covid-19.

Kekalutan yang berlaku di kilang-kilang Vietnam itu merupakan krisis yang berlaku di seluruh dunia.

Ia mendorong kepada peningkatan inflasi dan mencetuskan kebimbangan tentang langkah-langkah pemulihan terhadap ekonomi global.

Dalam pada itu, di sebuah kilang fabrik di timur Hanoi, Pengarah syarikat Hung Yen Knitting & Dyeing, Claudia Anselmi yang berketurunan Itali berasa bimbang jika kilang tempat beliau bekerja tidak dapat kembali beroperasi.

Kilang itu merupakan penggerak utama dalam rantaian bekalan ke beberapa buah negara di Eropah dan firma-firma gergasi pakaian di Amerika Syarikat (AS).

Pengeluaran di kilang itu merosot sebanyak 50 peratus semasa gelombang pertama Covid-19 melanda negara tersebut.

Ia menyebabkan kilang berkenaan sukar untuk mendapatkan bahan mentah yang diperlukan dalam pembuatan produknya.

Anselmi berkata, pada mulanya pihaknya mengalami masalah kekurangan pekerja kerana setiap orang terpaksa 'berkurung' di rumah masing-masing.

Kilang tempat beliau bekerja itu mengeluarkan fabrik untuk pakaian renang dan kasut-kasut jenama seperti Nike, Adidas dan Gap untuk para pembeli.

Namun, kini sekatan perjalanan telah menyukarkan lagi operasi kilang tersebut.

"Ini menyebabkan berlakunya kelewatan berpanjangan (penghantaran produknya). Kami mampu beroperasi jika terdapat bekalan (yang mencukupi)," katanya.

Ketika 'lockdown' semakin dilonggarkan di seluruh negara ekoran kes Covid-19 semakin menurun di negara itu, berjuta-juta penduduk Vietnam terpaksa tinggal di dalam rumah masing-masing dalam tempoh yang panjang.

Pengeluaran tekstil terjejas teruk di Vietnam ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara itu. - Foto AFP

Tempat-tempat pemeriksaan dan peraturan permit perjalanan yang mengelirukan telah menjadikan kehidupan menjadi sukar untuk para pemandu trak serta perniagaan yang cuba membawa barangan keluar masuk dari negara berkenaan.

Pengarah syarikat FM Logistic Vietnam, Hamza Harti berkata, sejumlah pemandu lori di Delta Mekong dipaksa menunggu sehingga tiga hari dan bermalam di dalam kenderaan masing-masing untuk memasuki bandar raya Can Tho.

Beliau memberitahu panel perbincangan Dewan Perdagangan Perancis bahawa para pemandu tersebut tidak mendapat bekalan makanan ketika itu.

Kelewatan penghantaran barangan dan sekatan perjalanan di Vietnam menimbulkan kesukaran kepada perniagaan milik syarikat asing.

INDUSTRI PAKAIAN RUNTUH

Kebanyakan syarikat itu berpindah dari China ke negara di Asia Tenggara tersebut ekoran peperangan perdagangan yang berlaku antara Washington dengan Beijing.

Di selatan negara itu, sehingga 90 peratus bekalan dalam sektor pakaian runtuh, kata Persatuan Tekstil dan Pakaian (Vitas) pada Ogos lalu.

Syarikat yang mengeluarkan kasut Nike pula memberi amaran pada minggu lalu bahawa ia mengalami masalah kekurangan peralatan sukannya dan membetulkan semula ramalan jualannya.

Ia menyalahkan Vietnam dengan menyatakan 80 peratus kilangnya di selatan negara tersebut telah ditutup.

Pandemik itu bukan sahaja melanda sektor tekstil tetapi juga menjejaskan bekalan kopi global yang datang dari negara tersebut.

Ini adalah kerana Vietnam ialah pengeluar terbesar biji kopi robusta yang digunakan dalam pembuatan kopi.

Harga komoditi itu adalah yang tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Syarikat-syarikat kereta juga turut menghadapi masalah pengeluaran yang terjejas untuk bulan September dan Oktober disebabkan Covid-19 di Vietnam. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca