SHAH ALAM - Kuasa yang ada kepada pengundi muda untuk memilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal mengubah landskap politik negara. Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, kuasa itu tidak dapat dinafikan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kuasa yang ada kepada pengundi muda untuk memilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal mengubah landskap politik negara.

Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, kuasa itu tidak dapat dinafikan kerana golongan muda berusia antara 18 sehingga 25 tahun mewakili satu angka yang besar.

Katanya, disebabkan itu, parti politik dijangka melakukan perubahan dari segi peremajaan dengan melibatkan lebih ramai golongan muda dan ada yang membarisi pucuk pimpinan parti.

"Dalam soal ini saya lihat PKR dan DAP telah mendahului kerana PKR misalnya berjaya menarik ramai keanggotaan aktivis muda seperti Adam Adli Abdul Halim.

"Dari segi kepimpinan muda pula, kita lihat dalam PKR dan DAP ramai pemimpin dan wakil rakyat muda seperti Nurul Izzah Anwar, Fahmi Fadzil dan Hannah Yeoh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meminta seramai 5.8 juta bakal pemilih berusia 18 tahun ke atas untuk membuat Semakan Pra- Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) selama sebulan mulai 1 Oktober ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha yang juga Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, parti-parti politik sudah tentu akan mengambil peluang untuk mengetengahkan calon atau wakil rakyat muda dalam pilihan raya nanti.

Ahmad Martadha

Menurutnya, pendekatan tersebut sudah pasti akan menarik minat orang muda untuk menyokong dan menyertai politik kerana mereka melihat wakil rakyat muda ini sebagai suri teladan kepada mereka.

"Bagi saya, parti-parti Melayu seperti UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu melihat perkara ini dengan lebih serius dan proses peremajaan parti perlu dilakukan dengan kadar segera.

"Calon-calon yang berpotensi dalam kalangan orang muda perlu diberi peluang untuk menarik sokongan daripada pengundi muda,” katanya.Beliau menjelaskan, dengan perkembangan terbaharu itu juga tidak mustahil akan wujud sebuah parti anak muda yang berjaya meraih sokongan majoriti rakyat dalam masa singkat seperti senario yang berlaku di Thailand baru-baru ini.

"Kita lihat di negara jiran, sebuah parti baharu orang muda, Future Forward Party yang diketuai oleh seorang jutawan muda telah memenangi banyak kerusi dalam pilihan raya sekali gus memberikan impak yang besar kepada landskap politik di sana.

"Jadi tidak mustahil perkara yang sama juga akan berlaku di Malaysia kerana pengaruh pengundi muda dan statistik pengundi muda juga agak besar pada PRU15 nanti,” katanya.

Selain itu, kata Ahmad Martadha, agenda yang dekat dengan belia juga akan menjadi keutamaan dan manifesto setiap parti terutama untuk menarik minat mereka untuk menyokong calon yang diketengahkan.

Ujarnya lagi, pengundi muda itu juga dijangka mempengaruhi barisan jemaah menteri apabila lebih banyak parti menonjolkan wakil rakyat muda.

"Situasi ini mungkin berlaku kerana kita tidak boleh nafikan peranan dan kewibawaan pemimpin muda. Contohnya seperti Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Kita lihat beliau antara pemimpin yang agak menonjol dalam kalangan menteri ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca