PRU di negara Jerman baru tamat pada 26 September lepas dan empat parti utama sedang mengadakan rundingan untuk menentukan siapa kerajaan dan siapa pembangkang. Christian Democratic Union (CDU) dan parti adindanya di negeri Bavaria,... Klik di sini untuk terus membaca

PRU di negara Jerman baru tamat pada 26 September lepas dan empat parti utama sedang mengadakan rundingan untuk menentukan siapa kerajaan dan siapa pembangkang.

Christian Democratic Union (CDU) dan parti adindanya di negeri Bavaria, Christian Social Union (CSU) adalah parti kanan kerajaan lepas yang dipimpin oleh Canselor (Perdana Menteri), Angela Merkel yang mengumumkan pengundurannya sebelum pilihan raya. Dengan memenangi cuma 24.1 peratus undi (jatuh 8.8 peratus) dan 196 kerusi (jatuh 50 kerusi), CDU-CSU yang berpendirian tengah-kanan kini menjadi kedua besar.

Pesaingnya, Parti Sosial Demokrat Jerman (SPD) yang bersifat tengah-kiri menjadi rakan muda CDU-CSU dalam kerajaan gabungan besar sejak 2013 kini berjaya menjadi parti terbesar dengan 25.7 peratus undi (naik 5.2 peratus) dan 206 kerusi (naik 53 kerusi).

Dua parti lebih kecil yang popular di kalangan orang muda, Parti Hijau (14.8 peratus, 118 kerusi) berjuang untuk alam sekitar dan berhala kiri serta Free Democratic Party atau FDP (11.5 peratus, 92 kerusi) yang menyokong kebebasan pasaran mengambil tempat ketiga dan keempat.

Sokongan untuk dua parti yang lebih radikal, Alternatif untuk Jerman atau AFD (10.3 peratus, 83) yang antipendatang dan anti-Muslim serta Parti Kiri (4.3 peratus, 39) yang beraliran kiri keras, telah terhakis kali ini. Nasib mereka sebagai pembangkang sudahpun terjamin.

Parti-parti Jerman menggunakan warna kesimbolan yang lain, merah untuk SPD, hitam untuk CDU-CSU, hijau untuk Parti Hijau dan kuning untuk FDP.

KERAJAAN GABUNGAN LAMPU TRAFIK

Kalau SPD berjaya memikat Parti Hijau dan FDP, kerajaannya bersifat tengah-kiri dan disifatkan sebagai kerajaan gabungan lampu trafik kerana warnanya Merah-Kuning-Hijau.

Sebaliknya, jika CDU-CSU berjaya, kerajaan akan bersifat tengah-kanan dan dinamakan kerajaan gabungan Jamaica kerana warna bendera negara itu adalah Hitam-Kuning-Hijau.

Kerana kedua-duanya dipikat, Parti Hijau dan FDP yang dasar masing-masing agak berbeza kini dan bersaing sesama lain berpakat sementara untuk berunding dengan SPD dan CDU-CSU yang datang nak meminang.

Bagi sesetengah rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan persaingan dua gabungan/parti, kerajaan seharusnya ditentukan pengundi dengan pilihan hitam atau putih dan bukan pemimpin-pemimpin parti yang berunding dan mencapai perjanjian. Daripada perspektif ini, maka demokrasi Jerman ini sudah pun tenggelam.

Tetapi, apa salahnya parti-parti yang mewakili kelompok masyarakat yang berlainan untuk berdamai selepas pilihan raya dan membentuk kerajaan berkongsi kuasa?

Politik pelbagai parti telah berjaya membangunkan Jerman daripada serpihan Perang Dunia Kedua.

Parti-parti utama Jerman bersedia untuk berkompromi sesama lain untuk melestarikan demokrasi. Pada masa yang sama, mereka menghukum parti-parti ekstremis seperti AFD dengan berpakat untuk tidak menjemput parti sedemikian menyertai kerajaan.

Bagaimana pengundi Jerman boleh mempercayakan parti-parti sokongan mereka tidak membelot penyokong mereka dalam perundingan membentuk kerajaan, satu kekhuatiran ramai rakyat Malaysia?

Alat akauntabiliti dalam politik Jerman ialah manifesto. Ahli politik tidak membuat janji kosong secara sinis untuk mengait undi dan untuk dilupakan selepas pilihan raya.

Sebaliknya, mereka bersungguh-sungguh melakar manifesto yang membezakan diri mereka daripada pesaing secara maksimumnya. Pada masa yang sama, mereka tidak memusuhi pesaing kerana mereka perlu berunding untuk membentuk kerajaan.

Dari segi itu, politik Jerman ini agak membosankan. Tiada fitnah tohmah. Tiada maki hamun. Tiada syaitan juga tiada malaikat. Tetapi, dengan politik profesional yang bosan ini, Jerman menjadi maju, kaya dan kuat.

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca