USAHA kerajaan di bawah Fokus Kedua Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) ke arah Malaysia Digital (MyDigital) adalah wajar apabila kemudahan internet menjadi keperluan bagi semua rakyat Malaysia terutamanya pada waktu pandemik bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan bekerja dari rumah.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Teknologi dan Pengurusan Perisian (SOFTAM) Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Amirah Ismail berkata, inisiatif kerajaan untuk mencapai 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk serta liputan standard teknologi 5G yang lebih luas itu merupakan sesuatu tindakan yang baik namun perlu dihalusi dan memastikan terdapat tenaga kerja yang berkemahiran dari segi teknologi rangkaian.
"Saya rasa usaha ini amat wajar dengan keperluan semasa yang sepenuhnya bergantung kepada teknologi digital namun mereka harus menitikberatkan aspek latihan bersifat integriti kepada tenaga pekerja yang mahir dan faham berkenaan keperluan teknologi dan aspek keselamatan teknologi itu sendiri.
"Malaysia mempunyai ramai graduan-graduan teknologi yang berkemahiran tetapi kita perlu terapkan dari segi kemahiran yang memerlukan sikap integriti kerana apabila seseorang itu mengakses kepada digital, setiap data akan menjadi data yang sensitif dan takut akan dijual atau disalah guna,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu, kerajaan harus memastikan jaringan dan signal internet perlu diperluas dahulu melangkaui semua sempadan negara dan kawasan-kawasan pedalaman sebelum melaksanakan liputan 4G dan 5G.
"Kalau ikutkan teknologi digital pada waktu sekarang, ia lebih stabil di kawasan bandar. Di sebelah Malaysia timur atau kawasan pedalaman, banyak kawasan yang yang masih tidak mendapat akses atau isyarat sehingga ada kes terpaksa memanjat pokok untuk belajar.
"Oleh itu, kerajaan harus fokus perkara tersebut dahulu dan pastikan satu Malaysia atau semua keluarga Malaysia mendapat hak pengguna digital dengan sewajarnya dan tidak di anak tirikan antara pedalaman dan bandar. Apabila rangkaian sudah mencapai sepenuhnya, baru teknologi tersebut akan berkembang dengan sendiri,” katanya.
Amirah Ismail turut berpandangan bahawa kerajaan perlu tingkatkan prasarana dari segi fasiliti atau kemudahan teknologi capaian atau rangkaian di kawasan-kawasan pedalaman demi mencapai matlamat MyDigital menjelang tahun 2025.
"Bagi saya, tiada perkara yang mustahil. Sekiranya daripada sekarang kerajaan telah memulakan langkah-langkah yang tersusun dan berstrategi, matlamat ke arah MyDigital menjelang tahun 2025 akan tercapai.
"Namun, mereka harus mempunyai fokus dari segi aspek penyediaan prasarana dan keperluan tenaga mahir yang cekap dan berintegriti serta amanah sekali gus menyediakan kemudahan akses atau liputan saringan kepada seluruh warga Malaysia,” katanya.
Pada 27 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membentangkan RMK12 tentang Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA yang bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025.
Rangkaian teknologi 5G akan dilancarkan pada penghujung tahun 2021 dan pelbagai inisiatif pendigitalan itu dijangka menyokong pencapaian sasaran 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital serta matlamat negara ke arah MyDigital menjelang tahun 2025.
Luar bandar
Dalam pada itu, Pengerusi Pusat Keselamatan Siber, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, UKM, Zarina Shukur berkata, transformasi pengisian luar bandar seharusnya menjadi motif utama kerajaan ke arah MyDigital.
"Untuk melakukan transformasi atau ke arah MyDigital, ia mestilah selari dengan pembangunan teknologi di kawasan pedalaman. Pertama, transformasi luar bandar harus mempunyai elektrik terlebih dahulu kemudian peralatan yang boleh menyokong jaringan 4G dan 5G.
"Oleh itu, pengisiannya harus selari dengan teknologi yang ingin diperkembangkan di luar bandar. Untuk mengatasi jurang digital, perkhidmatan luar bandar mestilah sama dengan di bandar, itu yang dimaksudkan dengan transformasi,” katanya.
Bagi rangkaian teknologi 5G, setiap kementerian harus mengambil peluang dan memainkan peranan mengembangkan transformasi luar bandar serta mencipta suatu teknologi inovasi yang mampu membantu negara.
"Teknologi itu sesuatu yang hebat namun isunya adalah pengisian. Kementerian harus mengambil peluang contohnya dari segi pertanian dan mereka mesti bersedia dan mengetahui apa yang perlu atau boleh dibaik pulih dengan adanya teknologi 5G.
"Jika teknologi dipasang tetapi manusia tidak bersedia, ia juga akan menyukarkan banyak pihak. Oleh itu, kerajaan hendaklah memikirkan bagaimana cara orang kampung boleh terlibat serta etika penggunaan teknologi yang dikawal dan tidak hanya bermotifkan pemasangan teknologi semata-mata,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca