Pasca pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama parti-parti dalam koalisi PN berjiwa besar memberikan sokongan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Secara tersurat, Bersatu dan PN dilihat terpaksa membayar harga 'mahal' setelah persetujuan itu dibuat kerana koalisi itu tidak lagi menguasai kerajaan sebagaimana sebelum ini.
Hal ini susulan kerajaan PN itu sendiri dijatuhkan menerusi tindak-tanduk sebilangan ahli Parlimen UMNO, parti dianggotai Perdana Menteri kesembilan itu dengan sentimen penolakan antara kedua-dua parti Melayu masih kekal menebal sehingga kini.
Bahkan, apabila UMNO mencadangkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan dilantik sebagai calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat kedua kepada kerajaan, kesemua ahli Parlimen Bersatu disahkan mengambil keputusan berkecuali.
Bersatu menerusi Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan parti itu akan terus mempertahankan prinsip menolak pelantikan pemimpin yang terkait kes mahkamah serta dipertikaikan integriti daripada jawatan penting kerajaan.
Namun secara tersirat, ramai pemerhati politik berpandangan Bersatu masih lagi 'terluka' dengan tindakan kumpulan 15 ahli Parlimen UMNO yang menjatuhkan kerajaan PN tempoh hari dan tidak akan sesekali memberi ruang kepada kelompok ini untuk mendominasi kerajaan Ismail Sabri.
Persepsi itu membawa kepada persoalan lebih besar, bagaimanakah kesudahan hala tuju hubungan antara UMNO dan Bersatu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang dikatakan akan dilaksanakan pada tahun 2021?
BERSATU BERPECAH TIGA FRAKSI
Di sebalik ketegangan hubungan UMNO-Bersatu semakin memuncak, beberapa penganalisis politik berpendapat peluang untuk kedua-dua parti Melayu berkenaan kembali menjalinkan kerjasama politik pada masa hadapan masih amat cerah dan positif.
Bahkan, tidak keterlaluan ada antara mereka berpandangan Ismail Sabri mampu menjadi kunci utama kepada penyatuan UMNO-Bersatu, bukan sahaja dari sudut kerjasama politik tetapi turut meliputi gerakan kepartian itu sendiri.
Hal ini kerana ramai pihak beranggapan kekuatan utama Bersatu selama ini terletak di tangan Presiden parti itu yang sebelum ini sebagai Perdana Menteri kelapan. Dan apabila jawatan Perdana Menteri sudah tiada, persoalan kelangsungan ideologi parti itu bakal teruji.
"Bila Muhyiddin tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri, orientasi kesetiaan pemimpin Bersatu terhadap ideologi parti itu sudah berubah dengan Bersatu ketika ini dilihat seolah-olah memiliki tiga fraksi.
"Fraksi berkenaan merupakan fraksi kumpulan asal parti diketuai Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof; fraksi bekas ahli Parlimen UMNO diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan kelompok bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diterajui Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Dahulu kebanyakan antara mereka ini menyertai Bersatu disebabkan ada tawaran jawatan kerajaan. Sekarang bila jawatan Perdana Menteri tidak lagi dipegang Bersatu, sejauh mana kesetiaan tiga fraksi ini untuk mengekalkan ideologi Bersatu bakal menjadi satu tanda tanya besar," kata Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali kepada Sinar Premium baru-baru ini.
POTENSI BERSATU ULANGI LANGKAH SEMANGAT 46
Berikutan itu, Muhammad Asri merasakan jika kemelut dalaman tersebut gagal diselesaikan Bersatu, ia merupakan peluang terbaik kepada UMNO untuk mengajak Bersatu menyertai parti itu semula, sebagaimana parti Semangat 46 dipimpin Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini.
Jelas beliau lagi, jalan itu dilihat lebih mudah untuk menyatukan kembali dua parti Melayu berkenaan berbanding usaha menjalinkan kerjasama politik UMNO-Bersatu yang dilihat tidak terjamin dan mampu dimungkiri pemimpin kedua-dua parti pada bila-bila masa.
"Segalanya bergantung kepada pembawaan konsep 'Keluarga Malaysia' diperkenalkan Ismail Sabri dengan inisiatif ini dilihat lebih kepada usaha menyatukan kembali parti-parti Melayu yang berpecah termasuk Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang).
"Pertamanya, Ismail Sabri kena memastikan pucuk kepimpinan UMNO diberi nafas baharu dengan keperluan kepimpinan baharu parti itu tidak lagi dikaitkan isu integriti dan kleptokrasi.
"Apabila perkara itu tercapai, maka keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang menetapkan tiada kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15 juga boleh berubah dengan syarat Ismail Sabri sendiri mesti diterima semua pihak," katanya.
FOKUS BERSATU UNTUK KEKAL SELEPAS PRU15
Bagaimanapun, Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berpendapat kemungkinan Bersatu kembali ke pangkuan UMNO pasca pelantikan Ismail Sabri dengan mengambil contoh parti Semangat 46 agak sukar untuk dibandingkan.
Hal ini disebabkan beliau berpandangan Bersatu merupakan satu-satunya parti serpihan UMNO yang pernah menjadi kerajaan dan memiliki seorang Perdana Menteri.
"Selain itu, Bersatu juga turut disertai oleh bekas ahli Parlimen PKR. Situasi ini tidak berlaku pada Semangat 46.
"Maka bagi Bersatu, masa hadapan mereka adalah soal kelangsungan parti khususnya memiliki perwakilan di Parlimen dan juga sokongan akar umbi," katanya.
Atas faktor itu, Anis Anwar yakin perjalanan Bersatu selepas ini adalah memastikan parti itu kekal selepas PRU15 dengan sokongan pengundi dan jentera parti daripada parti koalisi amat diperlukan.
"Kerjasama Bersatu dengan Pas serta UMNO sangat penting bagi menjamin kemenangan calon mereka dan situasi ideal untuk mereka adalah kesatuan parti-parti kerajaan agar tidak bertembung selain parti-parti pembangkang tidak berada di bawah satu payung.
"Dengan pendemokrasian politik Melayu yang kompetitif, adalah rasional bagi Bersatu bergerak dalam gabungan dan bukannya bersendirian," katanya.
Berikutan itu, Anis Anwar menegaskan proses evolusi Bersatu ketika ini adalah untuk memperkasakan parti mereka dengan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dilihat memudahkan kembali hubungan dan kerjasama politik antara dua parti itu.
SIAPA SELEPAS MUHYIDDIN
Beliau turut menggariskan tiga indikator yang membolehkan Bersatu akan kembali ke pangkuan UMNO pada masa hadapan.
"Untuk Bersatu kembali ke pangkuan UMNO, ia akan berlaku sama ada elit politik Melayu dalam Bersatu sendiri membuat keputusan membubarkan parti dan berdamai dengan UMNO.
"Ataupun keduanya UMNO kembali membuka pintu penyertaan Bersatu dan mengekalkan jawatan dan kedudukan sedia ada mereka manakala ketiga Bersatu tidak lagi mampu bertahan untuk terus berdiri disebabkan pelbagai faktor.
"Untuk tiga indikator itu berlaku dalam masa terdekat mungkin agak sukar, namun titik perubahan terbesar bagi Bersatu selepas ini adalah siapa penyambung kepimpinan parti selepas Muhyiddin," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca