RAMAI golongan muda di China kini terpengaruh dengan program-program realiti televisyen, permainan-permainan online dan budaya popular yang tersebar melalui bidang hiburan di negara itu. Ekoran itu, kepimpinan negara komunis tersebut... Klik di sini untuk terus membaca

RAMAI golongan muda di China kini terpengaruh dengan program-program realiti televisyen, permainan-permainan online dan budaya popular yang tersebar melalui bidang hiburan di negara itu.

Ekoran itu, kepimpinan negara komunis tersebut melancarkan usaha bagi memerangi budaya tersebut yang dianggap oleh pakar-pakar sebagai satu usaha untuk meningkatkan kawalan ideologi terhadap penduduk tempatan.

Bagi menghalang penularan itu, para peminat kumpulan muzik irama pop turut menjadi sasaran kerajaan komunis China.

Pada bulan Jun lalu, Pentadbiran Siber China (CAC) iaitu sebuah badan pemantau internet di negara itu mengumumkan bahawa kempen khas akan diadakan bagi menangani keadaan 'kacau bilau' yang berlaku disebabkan oleh tindakan para peminat kumpulan muzik pop di alam maya.

Ia juga menyatakan terdapat amalan kutipan pembiayaan yang tidak sempurna, penyebaran gosip dan menentukan kedudukan penyanyi yang 'dipuja' oleh peminat-peminat muzik pop yang dibuat secara haram di alam maya.

Sehubungan itu, CAC mahu mengawal budaya tersebut kerana ia akan menjejaskan fizikal dan mental kanak-kanak di negara itu.

PEMINAT BTS

Antara yang menerima 'tempias' akibat pelaksanaan kempen kerajaan komunis itu ialah kelab peminat-peminat China yang meminati kumpulan pop lelaki dari Korea Selatan, BTS.

Pada awal September lalu, sebuah kelab peminat kumpulan itu mengumumkan akan menyambut ulang tahun kelahiran seorang anggota BTS, Park Jimin-Baidu di Korea Selatan dengan menyewa sebuah pesawat khas.

Bagaimanapun, platform media sosial China, Weibo kemudian bertindak mengharamkan kelab peminat kumpulan itu daripada membuat memuat naik video atau gambar selama 60 hari.

Ia dibuat kerana didakwa mengumpulkan dana untuk tujuan tersebut secara haram.

China cuba memerangi penularan pengaruh asing seperti mengehadkan waktu permainan video dalam kalangan kanak-kanak di negara itu. - Foto AFP

Negara itu juga meminta stesen-stesen penyiaran supaya menghentikan program yang menyiarkan lelaki 'lembut' dan pempengaruh yang memakai pakaian menjolok mata.

Ia juga mengharamkan program pencarian bakat dan mengenakan had masa kepada kanak-kanak yang mahu bermain permainan video.

Sejak dekad lalu, program-program bakat televisyen yang mendapat ilham daripada budaya pop Korea Selatan dan Jepun telah bertambah bagaikan 'cendawan tumbuh' di China.

GUNA PLATFORM SOSIAL

Dalam satu siri untuk menghalang pengaruh budaya asing itu, Beijing telah menggerakan usaha dengan meminta platform media sosial mempromosikan kandungan patriotik kepada rakyatnya.

Firma-firma teknologi dipaksa pada Ogos lalu untuk mengehadkan waktu permainan video dalam kalangan kanak-kanak kepada hanya tiga jam seminggu semasa waktu persekolahan.

Ini adalah kerana bagi mengelakkan mereka menghabiskan masa terlalu banyak di hadapan skrin yang menayangkan permainan video.

Sebelum ini kerajaan negara itu telah mengenakan tapisan internet.

Ia turut memerangi pengaruh asing berleluasa di negara itu dan mengharamkan pemakaian subang dalam kalangan lelaki dan mengukir tatu atau lirik yang tidak senonoh dalam muzik hip hop.

Menurut Penolong Profesor Cara Wallis yang pakar dalam bidang kajian media di Universiti A & M Texas, Amerika Syarikat (AS), tindakan tersebut mewakili usaha terancang untuk meningkatkan kawalan ideologi terhadap rakyatnya.

Dalam pada itu, seorang penyelidik media dan jantina di Universiti Newcastle, Altman Peng berkata, terdapat kebimbangan tentang kemakmuran negara itu pada masa depan.

Kebimbangan itu, katanya, mempunyai hubung kait dengan kualiti yang ada pada generasi muda China itu.

Langkah-langkah yang diperkenalkan kerajaan komunis itu adalah bertujuan untuk memberitahu para ibu bapa bahawa adalah selamat untuk membesarkan anak-anak mereka di China. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca