JIKA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung hanya selepas penggal Parlimen tamat pada Julai 2023, jumlah pengundi mungkin bertambah sehingga lapan juta orang berbanding PRU14. Ini pertambahan hampir 50 peratus. Dengan terlaksananya... Klik di sini untuk terus membaca

JIKA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung hanya selepas penggal Parlimen tamat pada Julai 2023, jumlah pengundi mungkin bertambah sehingga lapan juta orang berbanding PRU14. Ini pertambahan hampir 50 peratus.

Dengan terlaksananya Undi 18, setiap tahun dijangka lebih kurang setengah juta warganegara berumur 18 hingga 20 akan menikmati hak mengundi. Turut bertambah ialah 4.4 juta rakyat yang sudah layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebelum pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Automatik (AVR).

Impak pengundi baharu seramai tujuh hingga lapan juta ini lebih jelas jika kita pecahkan mereka mengikut sifat kepada dua kumpulan yang bertindan.

Kumpulan pertama ialah pengundi muda, tidak terhad kepada yang berumur 18 hingga 20, tetapi termasuk juga ramai yang berumur 21 dan ke atas yang tidak akan menjadi pengundi kalau tanpa AVR.

Kumpulan kedua ialah pengundi yang tidak kisah pasal politik sampai tidak mendaftar kalau tanpa AVR, tak kira umur mereka 80 atau 18 tahun.

Kumpulan pertama akan memaksa parti dan ahli politik untuk lebih mementingkan kepentingan anak muda terutamanya mereka yang datang daripada keluarga orang kebanyakan.

Apabila jalan raya kita dilimpahi penunggang motosikal anak muda untuk Grab dan Foodpanda, itu peringatan masyarakat kita sebenarnya kekurangan peluang kerjaya yang lebih menarik.

Maka, kalau elit politik kita fikirkan mereka boleh meraih undi dengan isu kaum, agama dan bahasa tanpa menawarkan dasar berkesan untuk menangani isu yang mengancam kesejahteraan dan masa depan masyarakat seperti kemiskinan, kualiti pendidikan, gejala dua darjat dan perubahan iklim, jangan terkejut kalau dihukum oleh undi anak muda.

TUNAI JANJI

Impak 4.4 juta pengundi kumpulan kedua lebih menarik lagi. AVR membolehkan mereka keluar mengundi pada saat akhir, tetapi apakah dorongannya? Jarang mereka yang tidak peduli politik terdorong mengundi kerana gembira dengan pencapaian kerajaan atau wakil rakyat sedia ada. Sebaliknya, mereka biasa didorong rasa tidak puas hati.

Ini bermakna kalau ada parti atau calon yang membuat kesilapan pada minggu-minggu sebelum PRU, mereka boleh dihukum oleh pengundi kumpulan kedua yang tiba-tiba keluar beramai-ramai. Kalau ada lagi pak menteri yang memotong jalan secara berbahaya atau melanggar SOP sesuka hati, riwayat politik mereka boleh tamat dengan senangnya.

Undi 18 dan AVR adalah seruan kepada semua parti dan ahli politik untuk bekerja keras, jangan cakap besar, jangan berjanji tanpa hasrat untuk mengotakannya dan jangan bermaharajalela.Akan tetapi, kuasa pengundi baharu ini juga menghadapi dua halangan besar.

Pertama, kerana sistem pilihan raya first-past-the-post kita, kalau undi mereka tidak tertumpu, maka, mereka mungkin berjaya dalam menjatuhkan calon yang mereka benci tetapi gagal dalam menaikkan calon yang mereka suka.

Kedua, kerana kebanyakan anak muda – majoritinya anak Melayu - tertumpu di kota besar kerana peluang pendidikan dan pekerjaan, besar kemungkinan undi mereka susut nilai kerana pembahagian kawasan pilihan raya yang tidak adil.

Sekarang pun, kalau Siti tinggalkan kampungnya di P092 Sabak Bernam yang mempunyai 42,000 pengundi untuk belajar di UKM di P102 Bangi yang mempunyai 192,000 pengundi, nilai undinya telah merosot sebanyak 80 peratus. Bayangkan apa terjadi selepas Undi 18 dan AVR?

Siapa yang akan mereka salahkan?

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca