SHAH ALAM - Lima juta pemilih muda yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyebabkan kesemua parti politik perlu meremajakan parti masing-masing dengan cara memberikan peluang kepada golongan itu bertanding dan memegang jawatan penting.
Penganalisis Politik daripada Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, setiap parti seharusnya menyeimbangkan peranan anak muda dan golongan lebih berusia bagi memastikan mereka kekal relevan pada masa akan datang.
"Seharusnya semua parti seimbangkan antara golongan muda dan juga tua. Semua parti perlu ke arah ini.
"Orang muda wajar diberi peluang untuk bertanding dan memegang jawatan penting dalam parti seterusnya memegang jawatan dalam kerajaan.
"Isunya sekarang, orang muda kurang dapat peluang ini. Sekarang, parti memang banyak iktiraf orang muda, cuma peluang sebagai calon PRU dan pegang jawatan kerajaan perlu ditambah baik.
"Parti kena ketengahkan calon muda sebab apabila pengundi muda ramai, calon pun kena ke arah muda,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, anak muda mesti diasah untuk menjadi pemimpin yang baik demi masa depan negara.
"Kalau orang muda tidak diberi peluang, macam mana nak asah bakat dan tahu kemampuan untuk memimpin?
"Golongan ini juga selalu dicantas sebab jadi pencabar kepada kepimpinan sedia ada selain tidak diberi peluang,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca