PENGUNDI muda berumur 18 tahun mula mendapat perhatian apabila Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Disember tahun ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Tumpuan terhadap golongan itu makin bertambah apabila pada Rabu, SPR meminta seramai 5.8 juta bakal pemilih berusia 18 tahun ke atas untuk membuat Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) selama sebulan mulai 1 Oktober ini.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mereka yang terlibat perlu menyemak dan mengesahkan maklumat. Sekiranya bakal pemilih tidak lagi tinggal di alamat yang dipaparkan, mereka dinasihatkan mengemas kini alamat MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara selewat-lewatnya pada 31 Oktober ini.
Radar tumpuan makin meningkat apabila pemerhati politik menjangkakan golongan muda menjadi game changer kepada keputusan undi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Kata penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed, kuasa yang ada pada orang muda tidak dapat dinafikan kerana golongan muda berusia antara 18 sehingga 25 tahun mewakili satu angka yang besar.
Mereka juga dilihat boleh mengubah landskap politik Malaysia apabila parti politik akan meremajakan parti dan melibatkan lebih banyak penyertaan orang muda dalam parti masing-masing.
Walaupun sudah ada parti yang berbuat demikian, namun usaha kali ini dijangka dibuat dengan lebih agresif kerana pada masa ini – dengan jumlah sokongan sedia ada, tiada parti yang mendapat sokongan majoriti.
Maka, sudah pasti parti-parti politik akan segera bertindak untuk menarik perhatian golongan muda agar menyokong mereka.
Jentera-jentera parti, walaupun pada hakikatnya belum diumumkan untuk bergerak secara rasmi tetapi sebenarnya sudah meneliti nama orang muda di kawasan masing-masing.
Mereka yang sebelum ini tidak pernah dipedulikan dan tidak dikenali akan menjadi tumpuan kerana kuasa memilih yang ada pada mereka.
Strategi untuk mendekati mereka juga sudah pasti berada dalam rancangan, misalnya menggunakan media sosial seperti TikTok, Twitter, Instagram, menganjurkan pertandingan e-sports dan macam-macam lagi aktiviti yang dekat dengan orang muda.
Makin banyak dialog, wacana, perbincangan meja bulat dan kajian dijalankan bagi mengenal pasti kemahuan orang muda.
Sebagai orang muda yang baru pertama kali dapat menentukan parti untuk memerintah, iktibar daripada filem Mandela yang bukan mengenai bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela tetapi seorang tukang gunting rambut yang berkasta rendah di sebuah perkampungan kecil di Soorangani di Tamil Nadu, India boleh dijadikan sebagai rujukan.
Filem Tamil diarahkan oleh Madonne Ashwin yang menampilkan Yogi Babu sebagai pelakon utama dibuat berdasarkan senario antara dua parti politik yang mana pengundi akan menentukan nasib pilihan raya.
Mandela yang sebelum ini tidak dipedulikan, dihina dan diabaikan menjadi permata paling berharga apabila mempunyai kuasa untuk memilih.
Dipendekkan cerita, orang muda jangan terperangkap dengan apa yang dilakukan oleh parti Kelapa dan Jentolak yang sanggup melakukan apa saja berebut undi daripada Mandela.
Usah terpesona dengan hadiah-hadiah seperti yang ditawarkan kepada Mandela kerana ia hanyalah pemberian yang hanya untuk mendapat undi sahaja.
Tolak pemimpin yang khidmatnya hanya bermusim iaitu mula tunjuk muka di TV atau buat-buat rajin turun kawasan apabila hampirnya pilihan raya.
Pilih yang benar-benar berwibawa, bersih dan bijak untuk membawa Malaysia menjadi lebih baik pada masa hadapan.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca