TATKALA pesawat China Airlines (CA 552) yang membawa pulang Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Huawei, Meng Wanzhou terbang meninggalkan Vancouver, Kanada dan tiba di Baoan, Shenzen Sabtu lalu, ia menandakan ‘perang dingin’ antara blok Barat diketuai Amerika Syarikat (AS) dan China sudah berakhir.
Ia juga menandakan China kini semakin matang dalam kemahiran diplomasi dan peperangan teknologi global. Ini kerana 2M – Michael Kovrig dan Michael Spavor, warga Kanada yang ditangkap pihak berkuasa China, lapan hari selepas Meng ditahan di Vancouver turut dibebaskan secara serentak.
Apakah iktibar daripada pergolakan yang mengambil masa lebih tiga tahun itu? Penulis telah membaca banyak artikel berkaitan penahanan Meng yang dituduh menjadi pengintip untuk pihak Huawei. Selepas penahanan Meng, ramai pengguna Huawei bermasalah kerana tindak balas AS. Paling menarik, beberapa minggu lalu, pihak berkuasa Lithuania mengarahkan rakyatnya agar tidak membeli produk jenama Huawei.
Pembebasan Meng menandakan China bijak menamatkan konflik teknologi yang bermula sejak pemerintahan bekas Presiden AS, Donald Trump.
Ramai netizen China berterima kasih kepada Presiden Joe Biden kerana mengambil jalan selamat demi kemajuan teknologi tinggi antara dua kuasa besar dunia itu.
Namun, apa sebenarnya yang berlaku dalam kisah ini? Laporan media Barat menyebut salah satu firma telekomunikasi terbesar di dunia dan eksekutif tertingginya berdepan 12 tuduhan jenayah difailkan oleh pihak berkuasa AS.
AS berusaha mengekstradisi Meng dari Kanada, waktu beliau ditahan pada 1 Disember 2018 dipercayai atas desakan pentadbiran Trump.
Mengapa AS menyasarkan Huawei – salah satu pembuat telefon pintar terbesar di dunia dan Meng? AS mendakwa Huawei bersekongkol dan mempunyai hubungan perniagaan dengan Iran, yang berdepan sekatan ekonomi dunia. AS juga menuduh Huawei dan Meng melakukan jenayah termasuk penipuan bank serta pencurian teknologi. Huawei menolak keras dakwaan berkenaan.
Kenapa AS bencikan Huawei yang bermula di bengkel lusuh Ren Zhengfei, sebuah kampung pedalaman Shenzhen pada awal 1987? Hari ini, Huawei ialah syarikat gergasi komunikasi global yang menghasilkan pendapatan tahunan lebih AS$32 bilion (RM134 bilion) dan memiliki lebih 140 cawangan serta lebih 140,000 pekerja di seluruh dunia dalam tempoh tidak sampai 40 tahun.
Cawangan terbesar Huawei di AS mempunyai 20,000 pekerja. Senario itu menyebabkan AS gusar dengan kejayaan Huawei, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan syarikat teknologi komunikasi AS. Pertumbuhan Huawei disekat bagi memastikan ia tidak terus menerus menguasai pasaran AS dan dunia.
Penulis mendapati perdamaian seumpama ini telah dimulai oleh Rasulullah SAW yang sanggup meninggalkan masjidnya sendiri demi menyatukan hubungan antara penduduk Quba'. Ia juga disebut dalam surah an-Nisa’ [4:114] yang bermaksud: "Tidak ada kebaikan kepada sebarang usaha melainkan usaha untuk menganjurkan sedekah, berbuat kebaikan dan meleraikan permusuhan antara dua manusia. Maka sesiapa yang berbuat demikian kerana menuntut keredaan Allah SWT, akan mendapat ganjaran yang besar.” Bagi penulis, pembebasan Meng pasti memberi kesan kepada perkembangan Huawei di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Soalnya, adakah Malaysia bersedia bekerjasama dengan Huawei atau terus berkiblatkan syarikat teknologi Barat.
Penulis percaya Huawei akan bergerak lebih laju dan menghasilkan pelbagai produk berkualiti termasuk kemungkinan 7G atau 8G. Adakah pihak berkuasa di Malaysia hanya akan berdiam diri atau bingkas menjalinkan kerjasama dengan Huawei. Syarikat China terbukti bersedia untuk berkongsi rahsia teknologi.
Justeru, penulis mahu pihak berkuasa Malaysia menghayati maksud teknologi sebenar agar ia dijadikan asas penyelidikan dan pembangunan teknologi masa depan (future technology).
Ia boleh dilaksanakan dengan bekerjasama antara penyelidik dalam kalangan jurutera tempatan dan teknologis negara Barat, China, Korea Selatan atau Jepun. Harus dipastikan Malaysia tidak tercicir dalam perkembangan Huawei di peringkat global.
* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Klik di sini untuk terus membaca