SHAH ALAM - Mana-mana parti politik yang mengetengahkan calon muda berpotensi menjadi pilihan pengundi muda pada pilihan raya umum akan datang.
Pelajar Sarjana Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Fakhrul Hakimin Mokhtar, 24, berkata, kebanyakan parti politik pada masa ini kurang membawa suara anak muda kerana berpendapat mereka masih belum matang.
Menurutnya, tindakan itu menunjukkan kesukaran gerakan politik anak muda apabila golongan tua masih mendominasi badan-badan eksekutif dan perundangan terutama bidang pentadbiran.
"Ini menyebabkan tersekatnya suara baharu dalam perjuangan sesebuah parti.
"Hari ini rakyat mahukan pembaharuan dan orang yang bersih daripada korupsi sebagai pemimpin negara. Sebab itu kita mahukan orang muda yang mempunyai visi dan kemahiran mentadbir,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Muhammad Amirul Adli Muhammad Zulkarnain, 24, pula berpandangan calon muda akan membawa gerakan dan idea yang lebih segar.
"Mereka akan membantu memajukan ekonomi negara sesuai peredaran zaman.
"Saya tahu tidak semua calon muda ini mempunyai pengalaman yang banyak untuk mentadbir negara.
"Tetapi saya yakin generasi muda kita mampu memikul tanggungjawab untuk menstabilkan dan memajukan ekonomi negara,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Syariah UKM, Mohamad Amirul Mohamad Fadir, 24, berpendapat perubahan dunia kini lebih dekat dengan anak muda sekali gus menjadikan mereka lebih cakna dengan masalah dan solusi yang boleh diguna pakai, berbanding golongan lebih berusia yang mungkin tidak terlalu cekap mengejar isu semasa.
Tambahnya, parti yang mengetengahkan calon muda memiliki sasaran dan visi yang lebih baik kerana calon yang dicadangkan semestinya didedahkan dengan kepimpinan dan keterampilan berkualiti.
"Ini boleh menarik lebih ramai golongan muda lain. Dunia maju hari ini membuka peluang kepada mereka melanjutkan pelajaran dalam pelbagai landasan ilmu seterusnya menjadikan calon pemimpin yang bukan hanya berkebolehan dalam bidang tertentu bahkan memiliki nilai insan yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, usahawan, Nur Khairunnisa Abd Khalil, 27, berkata, calon muda merupakan pelapis masa hadapan negara yang berperanan sebagai tenaga utama dalam masyarakat.
Menurutnya, sudah tiba masanya lebih ramai ahli profesional dan teknokrat berada dalam tampuk kepimpinan utama Malaysia.
"Ini kerana calon muda mempunyai kemahiran yang selayaknya untuk memimpin dan mereka tidak cepat melatah apabila berkhidmat untuk masyarakat,” ujarnya.
Bagi pelajar komunikasi, Nur Fatihah Ahmaddi, 21, beliau memilih parti yang mengetengahkan calon muda kerana percaya dengan kudrat golongan tersebut dan mampu melakukan lebih banyak tugasan berbanding golongan berumur.
"Kalau golongan tua ini, bagi saya mereka bukan tidak boleh buat kerja, tapi kadang-kadang apa yang dilaksanakan tidak seperti yang diharapkan,” katanya.
Sementara itu, pegawai pemasaran, Siti Aisyah Ashaari, 24, berkata, beliau bukan mahu menidakkan pengalaman golongan tua, namun calon muda dilihat mempunyai idea yang lebih segar dan bergerak lebih proaktif.
"Golongan muda ini lantang bersuara kalau ada sesuatu perkara itu dirasakan tidak kena atau salah berbanding calon sudah berusia yang rata-rata lebih selesa dengan dasar yang ada,” katanya.
Senada pendapat Siti Aisyah ialah Razak Jaafar, 24, yang merupakan pelajar kejuruteraan robotik dan automasi.
Jelasnya, ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara membangun dan memerlukan pemimpin yang berdaya saing serta bukan sekadar menjaga keharmonian tanpa melihat ke hadapan.
"Parti yang mempunyai ramai golongan tua ada yang kurang menitikberatkan pembangunan masa hadapan.
"Pemimpin muda sangat diperlukan ketika ini untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dengan negara luar,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca