SHAH ALAM - Kebenaran ‘dine-in’ atau makan di restoran dan premis-premis lain masih terhad kepada individu yang lengkap vaksinasi Covid-19. Peraturan itu tetap terpakai di semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kebenaran ‘dine-in’ atau makan di restoran dan premis-premis lain masih terhad kepada individu yang lengkap vaksinasi Covid-19.

Peraturan itu tetap terpakai di semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti yang diperjelaskan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Kenyataan Khairy Jamaluddin itu dikeluarkan selepas peralihan fasa membabitkan beberapa negeri mencetuskan kekeliruan orang ramai berhubung kebenaran untuk ‘dine-in’.

"Keistimewaan untuk menikmati makanan di premis hanya untuk mereka yang telah lengkap vaksinasi," ciapnya di Twitter pada Jumaat.

Tegas Khairy Jamaluddin, peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung kebenaran ‘dine-in’ itu tidak dikemas kini.

Sebelum ini, MKN menerusi ciapan di Twitter memuat naik info grafik mengenai ringkasan prosedur operasi standard (SOP) PPN berkuatkasa 1 Oktober 2021.

Ringkasan SOP itu antara lain menjelaskan bahawa ‘dine-in’ dibenarkan kepada semua individu tanpa perlu lengkap vaksin, sekali gus menimbulkan kekeliruan.

MKN sebelum ini menetapkan aktiviti ‘dine-in’ dibenarkan kepada individu lengkap vaksin selain mematuhi SOP berkaitan.

Malah, ibu bapa yang sudah menerima vaksinasi lengkap juga dibenarkan membawa anak berusia 17 tahun ke bawah untuk 'dine-in' di premis, dengan mematuhi protokol kesihatan umum.

Pada Rabu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 memutuskan peralihan fasa PPN melibatkan beberapa negeri berkuat kuasa 1 Oktober 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan peralihan Fasa 2 kepada Fasa 3 di kawasan Lembah Klang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor.

Sementara Melaka beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 dan Kedah pula beralih daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau sudah mengarahkan MKN supaya segera mengemas kini peraturan dan SOP berkenaan.

"SOP itu mesti dipatuhi sepenuhnya semua pihak demi perangi Covid-19,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca