SHAH ALAM - Sejak kerajaan mengesahkan kerja-kerja baik pulih kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana bernilai RM38.5 juta, pelbagai polemik berkaitan isu itu muncul.
Paling mencuri perhatian adalah kenyataan bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa beberapa perabot di Seri Perdana telah dibawa keluar oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Perdana Menteri keenam.
Selain itu, Muhyiddin menjelaskan, candelier antara barang yang dibawa keluar dari kediaman rasmi perdana menteri itu.
"Ini laporan yang saya terima daripada pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyatakan selepas saja kediaman Seri Perdana itu dikosongkan oleh perdana menteri yang keenam dan saya (perdana menteri) kelapan dan saya pun tak masuk ke sana maka untuk membolehkan pengubahsuaian dan penambahbaikan dilakukan, maka kita nak pastikanlah sama ada perabot itu mencukupi dan lain-lain yang saya rasa tak perlu jelaskan.
"Jadi, ada perkara yang berbangkit adalah kerana antara perkara itu adalah perabot, candelier dan barangan-barangan yang ada di kediaman itu dikatakan dimiliki oleh perdana menteri keenam," katanya pada Khamis.
Kenyataannya itu timbul persoalan apakah kembali wujud persengketaan antara Muhyiddin dengan Najib?
Menjawab kenyataan itu, Najib di laman Facebooknya menjelaskan bahawa selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, beliau telah mengutus surat kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memohon kebenaran mengambil barang-barang peribadi di kediaman itu.
"Saya tulis surat kepada JPM untuk diberi kebenaran mengambil balik barang peribadi, hadiah, cenderamata dan perabot yang dibeli dengan duit sendiri dari Seri Perdana. Tapi surat saya tidak dibalas.
"Pada bulan Ogos 2019, saya sekali lagi ulang surat untuk permintaan yang sama. 14 bulan kemudian pada 21 Oktober 2020, JPM baru membalas dan menyatakan mereka bersetuju dengan syarat hanya senarai barang-barang termasuk perabot yang dapat dibuktikan adalah dibeli oleh saya dan bukan aset kerajaan dibenarkan. Senarai tersebut diperiksa dan diluluskan JPM,” katanya.
Seperti yang telah tertulis, hubungan Najib dengan Muhyiddin sampai kekemuncaknya selepas Ahli Parlimen Pagoh itu dipecat daripada UMNO.
Najib menjelaskan, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dipecat kerana mereka membuat kenyataan di luar Kabinet, berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib mendakwa pemecatan Muhyiddin yang ketika itu memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2016 bukan disebabkan tidak bersetuju dengan beliau (Najib) mengenai 1MDB.
Menurut Najib, pemecatan itu adalah kerana Muhyiddin menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepada orang ramai dan bukan kepada Kabinet.
Biarpun hayat politiknya bersama UMNO berakhir, Muhyiddin kembali bangkit dengan menubuhkan Bersatu yang turut disertai Tun Dr Mahathir Mohamad.
Gabungan Bersatu bersama PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang membentuk Pakatan Harapan berjaya menumbangkan BN pada PRU14.
Klik di sini untuk terus membaca