SHAH ALAM - Ketika parti politik digesa meremajakan parti masing-masing bagi menarik sokongan lebih 5.8 juta pengundi belia yang dilihat bakal menjadi ‘kuasa’ baharu penentu politik Malaysia, ironinya satu pertiga atau 74 ahli Dewan Rakyat ketika ini berusia 60 tahun ke atas.
Pendedahan angka itu berdasarkan Laporan Analisis Perbahasan Ahli Parlimen Berteraskan Sains Data 2018-2019 oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Polisi (IRDP) yang disiarkan pada 31 Disember 2020.
Bahkan angka itu disokong oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan dalam satu kenyataan media bahawa hampir 100 ahli Parlimen terdiri daripada warga emas yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 pada bulan Jun lalu.
Secara tersurat, landskap politik negara sebenarnya masih lagi dikuasai oleh golongan pemimpin politik veteran atau lebih sinonim digelar ‘otai politik’ dalam kalangan pemerhati politik.
Malah laporan IRDP itu juga mendedahkan hanya 38 peratus ahli Parlimen di Malaysia yang berusia 50 tahun ke bawah dengan pecahannya terdiri 44 orang berusia 40 hingga 49 tahun, 19 orang (30-39 tahun) dan hanya dua orang (20-29 tahun).
Hasil penelitian Sinar Harian sendiri turut mendapati tiga ahli Parlimen sudah berusia melewati 80 tahun iaitu bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 96 tahun dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, 84, serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang, 80.
Bahkan sejumlah 14 ahli Parlimen termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 74; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, 73, dan bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada dalam julat usia 70 hingga 79 tahun.
Seramai 57 lagi ahli Parlimen pula berada dalam lingkungan usia 60 hingga 69 tahun termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 61; bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak, 68; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, 66; Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, 68; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, 60 dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, 63.
Julat usia ahli Parlimen teramai adalah dalam lingkungan 50 hingga 59 tahun yang mencatatkan penglibatan 83 orang, terdiri daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Ini tidak termasuk dengan kadar penglibatan wanita dalam Dewan Rakyat ketika ini yang sekadar mencatatkan 15 peratus atau lebih 30 orang sahaja, di mana nisbah ahli Parlimen lelaki dan wanita juga memaparkan jurang perbezaan besar iaitu 6 nisbah 1.
Situasi terkini politik negara boleh dianggap membimbangkan susulan ramai pemimpin muda yang aktif dan berpotensi untuk memimpin negara, namun kurang diketengahkan dan masih dibayangi golongan otai politik daripada parti masing-masing.
Antaranya seperti Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 45; Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, 40; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, 40; bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, 44, dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, 41.
Malah, masalah ketandusan penglibatan golongan muda dalam landskap politik negara menyebabkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 28, mengambil inisiatif berani menubuhkan sebuah parti baharu berasaskan golongan muda yang dipanggil Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Transformasi
Secara tersirat, senario itu mewujudkan persoalan lebih besar, adakah dominasi golongan otai politik ini boleh merencatkan usaha kerajaan dan pihak pembangkang untuk melaksanakan transformasi politik ke arah politik Malaysia lebih matang dan progresif?
Persoalan ini penting untuk dirungkai susulan golongan otai politik pastinya mahu mengekalkan pengaruh dan kedudukan dikecapi mereka hasil pendekatan politik konservatif yang diamalkan negara ketika ini.
Tambahan pula, tujuh tawaran transformasi politik dan pentadbiran negara dikemukakan Ismail Sabri termasuk pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti serta pengenalan terma pelantikan Perdana Menteri terhad kepada dua penggal pastinya memberi kesan negatif terhadap kelangsungan hayat politik golongan otai politik berkenaan.
Hal ini kerana peranan golongan otai politik ini dilihat semakin berpengaruh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) susulan strategi percaturan elit politik ini menyaksikan negara mengalami pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali.
Selain itu, pelaksanaan Undi18 yang dijangka direalisasikan pada PRU15 juga akan mengubah landskap politik negara secara besar-besaran apabila parti-parti politik perlu mencari jalan untuk memenangi hati 5.8 juta bakal pengundi baharu yang terdiri remaja berusia 18 tahun ke atas.
Sama ada pelan transformasi politik negara mampu direalisasikan dalam masa terdekat, ia sebenarnya bergantung kepada keazaman dan kesungguhan kesemua aktor politik termasuk parti-parti politik di negara ini sendiri.
Klik di sini untuk terus membaca