BOLEH dikatakan, Oktober ini adalah bulan yang cukup ‘manis’ bagi rakyat Malaysia kerana telah ‘dijanjikan’ untuk merentas negeri dan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi serta sosial. Pendek kata, kesahihan berita tersebut amat... Klik di sini untuk terus membaca

BOLEH dikatakan, Oktober ini adalah bulan yang cukup ‘manis’ bagi rakyat Malaysia kerana telah ‘dijanjikan’ untuk merentas negeri dan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi serta sosial.

Pendek kata, kesahihan berita tersebut amat ditunggu-tunggu kerana terlalu lama berasa sebak akibat ‘terkurung’.

Malah, pembukaan sekolah bagi calon-calon yang akan menghadapi peperiksaan pada 3 Oktober dan kemasukan penuntut universiti secara berperingkat ke kampus masing-masing bermula 15 Oktober telah menyebabkan ‘lampu hijau’ daripada Majlis Keselamatan Negara amat dinanti-nantikan.

Sebetulnya, telah sekian lama rakyat begitu tertekan dengan fenomena tersebut. Maka, tidak peliklah apabila kempen gelombang pelancongan baru-baru ini di Langkawi telah mendapat sambutan hangat.

Justeru, tuntutan rakyat semakin kuat apabila dilaporkan kempen itu berjaya dan tidak menjadi penyebab peningkatan kadar jangkitan Covid-19.

Jika hendak digambarkan perasaan rakyat buat masa sekarang, secara naratifnya terdapat 1,001 kisah yang terlalu panjang untuk diungkapkan.

Apa yang jelas, perasaan stres mereka sudah semakin parah.

Menurut perspektif psikologi, keadaan lama yang ‘terkurung’ boleh memberi kesan psikologi kepada individu seperti cepat letih, mudah marah, hilang fokus dan mengalami perubahan personaliti negatif yang semakin ketara.

Malah, antara kecenderungan big five personality yang negatif bagi fenomena itu adalah bersikap pendiam bagi mereka yang pasrah dengan cabaran hidup, bersifat kritikal, tidak bekerjasama dan berprasangka bagi yang suka membuat refleksi serta mengalami ketidakstabilan emosi. Akhirnya, boleh menjejaskan kualiti hidup.

Merujuk kepada artikel daripada The Wall Street Journal bertarikh 16 Ogos 2021, Jerman, Perancis dan Itali sudah memulakan persiapan untuk hidup secara normal bersama Covid-19 atau endemik.

Menuju fasa endemik, Jerman telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu seperti hanya individu lengkap dos vaksin dan keputusan negatif dalam ujian saringan Covid-19 dibenarkan hadir ke restoran, hospital dan acara di dalam dewan tertutup.

Pun begitu, pelitup muka masih diwajibkan jika berada dalam jarak dekat dan di dalam pengangkutan awam walaupun telah divaksinasi.

Selain itu, pelajar sekolah mestilah memakai pelitup muka sepanjang pembelajaran dan saringan Covid-19 dilakukan beberapa kali dalam masa seminggu.

Negara Perancis pula menetapkan hukuman denda sebanyak 9,000 Euro (RM44,000) atau penjara setahun kepada pengendali restoran yang gagal menyemak risiko pelanggan mereka, manakala Britain telah menggugurkan beberapa SOP yang ketat dan memberi kepercayaan kepada rakyat untuk menyesuaikan diri dalam fasa endemik.

Selain itu, bagi kawasan putih di Itali, sudah tiada lagi SOP yang ketat kecuali perlu memakai pelitup muka dalam acara majlis tertutup.

Pada hemat saya, sejajar dengan hasrat kerajaan yang sedang membuat persiapan beralih kepada fasa endemik, hal membebaskan rakyat daripada ‘kurungan’ perlu disegerakan.

Pun begitu, kebebasan itu bukanlah tiket untuk bergembira seperti dahulu, sebaliknya perlu tenang dan berhati-hati dengan ‘kebebasan’ tersebut.

Malah, Nabi SAW bersabda: "Sifat tenang itu ialah daripada ALLAH SWT, manakala sifat tergopoh-gapah itu ialah syaitan.” (Hadis Nabi Riwayat al-Baihaqi).

Selain itu, segala SOP baharu haruslah diikuti dengan ketat supaya tidak menjadi mudarat. Menurut Ubadah bin Somit bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Tidak boleh memudaratkan (orang lain) dan tidak boleh membalas mudarat (dengan mudarat).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Pada masa sama, harga ujian saringan, alat pelitup muka, bahan nyah kuman dan pelbagai alatan serta bahan berkaitan Covid-19 perlu dikawal harganya agar mampu milik untuk semua.

Sesungguhnya, kesejahteraan rakyat adalah teras kemakmuran negara.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca