SHAH ALAM - Semua parti politik di Malaysia perlu menunjukkan keazaman yang tinggi bagi mengurangkan dominasi pemimpin veteran atau lebih dikenali warlords dalam landskap demokrasi di negara ini.
Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, komitmen mengurangkan pengaruh warlords dalam struktur kepimpinan parti masing-masing amat penting bagi membolehkan indeks korupsi negara dapat dikurangkan menerusi terhakisnya budaya rent sitting activites.
Jelas beliau, budaya itu yang ditafsirkan sebagai pemberian imbuhan kepada pegawai kerajaan atau ahli politik bagi mendapatkan tender projek kerajaan, sememangnya amat berleluasa di Malaysia sejak tahun 1980-an dan menjadi antara faktor mengapa warlords ini sukar berundur daripada dunia politik.
"Selagi kita mengamalkan banyak aktiviti terkait korupsi termasuk budaya rent sitting activities, pemimpin-pemimpin otai politik akan terus bermaharajalela dan enggan berundur kerana mereka mempunyai pengaruh serta kewangan kukuh untuk mengekalkan kedudukan masing-masing.
"Selain itu, selagi warlords terus menguasai parti dan kerajaan, amat sukar pemimpin muda diberi ruang untuk naik kerana politik memerlukan dana besar bagi menggerakkan jentera parti,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Ahmad Atory mengakui majoriti pengundi belia di Malaysia amat kecewa dengan budaya tidak baik yang dikuasai otai dan warlords politik sehingga kini.
Lebih menarik, beliau mendedahkan budaya politik negara dikuasai otai politik sebenarnya tidak ketara berlaku sebelum tahun 1980-an apabila ramai pemimpin muda seperti bekas Menteri Penerangan, Allahyarham Datuk Mohamed Rahmat, bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Allahyarham Datuk Mokhtar Hashim dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diketengahkan seawal usia 30 tahun.
"Pada zaman dahulu, ramai pemimpin muda yang bertanding dan menang pemilihan parti tanpa perlu melaburkan dana besar kerana mereka diberi kepercayaan oleh pucuk kepimpinan parti ketika ini.
"Namun, bila sampai tahun 1980-an dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan selepas itu, dana politik yang diperoleh hasil tender projek kerajaan menjadi modal pancingan utama untuk pemimpin politik kekal berkuasa,” katanya.
Menurutnya, senario itu diburukkan lagi dengan pelaksanaan Akta Perintah-Perintah Am melarang penjawat awam di negara ini memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik, di mana pada zaman 1970-an, majoriti pemimpin terdiri daripada guru dan tokoh agama yang bersih daripada rasuah.
Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpandangan semua parti di Malaysia bakal berdepan risiko menjadi ‘parti dinosaur’ sekiranya proses peremajaan parti tidak dilaksanakan segera.Jelas beliau, pelaksanaan Undi18 pada Pilihan Raya Umum ke-15 memaksa semua parti konservatif lebih terbuka melakukan transformasi politik dengan proses pengkaderan pemimpin muda bakal menjadi tumpuan utama parti masing-masing ketika ini."Apabila proses pengkaderan mula berjalan subur, parti-parti ini juga perlu membuka kelonggaran jawatan tinggi dalam parti diberi kepada pemimpin muda yang berpotensi susulan amalan pelantikan jawatan dalam kerajaan adalah berasaskan hierarki parti."Undi18 memerlukan satu ajakan paradigma besar daripada parti-parti di Malaysia untuk bertransformasi selari dengan kehendak lebih 5 juta pengundi muda berusia 18 tahun ke atas.
"Namun, inisiatif itu tidak bermakna golongan otai politik dipinggirkan, sebaliknya pengalaman dan jaringan perhubungan mereka amat penting untuk membantu parti,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca