SYARIKAT gergasi teknologi Huawei yang kini berdepan perang perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) sebenarnya bermula dari pejabat yang terletak di dalam sebuah unit apartment di Shenzhen, China pada tahun 1987. Ketika itu, ia diasaskan... Klik di sini untuk terus membaca

SYARIKAT gergasi teknologi Huawei yang kini berdepan perang perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) sebenarnya bermula dari pejabat yang terletak di dalam sebuah unit apartment di Shenzhen, China pada tahun 1987.

Ketika itu, ia diasaskan oleh Ren Zhengfei yang kini berumur 76 tahun dan merupakan bekas jurutera dan mantan pegawai tentera berpangkat Mejar dalam Tentera Pembebasan Rakyat China atau (PLA).

Semasa penubuhan syarikat itu, Zhengfei berusia 44 tahun dan mengalami banyak kegagalan dalam dunia perniagaan tetapi beliau mahu mencuba nasib dalam bidang perniagaan.

Bermodalkan 21,000 yuan (RM3,257) yang dilaburkan oleh lima rakannya, beliau kemudian menubuhkan syarikat Huawei iaitu 12 tahun selepas pesaingnya dalam bidang telekomunikasinya, Apple ditubuhkan di AS.

Zhengfei tidak lagi bekerja dengan tentera China pada tahun 1983 ketika beliau berumur 39 tahun, menurut biografinya secara rasmi.

Beliau kemudian bekerja dengan sebuah syarikat minyak sebelum menubuhkan Huawei.

Semasa bertugas dengan PLA, beliau merupakan seorang jurutera sivil yang membina jambatan dan kilang.

Ketika Huawei mula ditubuhkan, ia dikenali sebagai ejen jualan untuk sistem telefon 'Private Branch Exchange' atau lebih dikenali sebagai PBX yang menggunakan teknologi analog ketika itu.

Bagaimanapun, syarikat itu menjadi gergasi teknologi dalam bidang telekomunikasi dan pada tahun 2019, ia dilaporkan memperoleh perolehan tahunan lebih AS$100 bilion (RM4.17 trilion) daripada pasaran luar negara.

Zhengfei yang kini menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Huawei yang berpangkalan di Shenzhan kini mempunyai kira-kira 197,000 pekerja dan beroperasi di lebih 170 buah negara serta wilayah.

Syarikat itu yang turut membekalkan peralatan-peralatan telekomunikasi dikatakan disebut-sebut bakal menjadi peneraju dalam bidang teknologi 5G.

Ini kerana Huawei yang terkenal dengan jualan telefon bimbit yang menggunakan nama sama dengan syarikatnya itu telah menjual produknya di lebih 140 buah negara.

Ketika memperluaskan operasinya di AS, Huawei mencatatkan jualan AS$3 bilion (RM12.54 bilion) pada tahun 2001.

Huawei masih mengeluarkan telefon bimbit dengan menggunakan sistem android keluaran syarikatnya sendiri. - Foto AFP

Huawei memasuki bisnes perniagaan telefon bimbit pada tahun 2003 menerusi jabatan telefon bimbitnya.

Ia kemudian menjual telefon bimbit pada tahun 2004.

Syarikat itu turut dikenali sebagai pengeluar komputer.

Namun, selepas ia berkembang maju di AS, ia dituduh menjadi pengintip, mencuri teknologi, berkonspirasi cuba mengelak sekatan perdagangan AS dan mencuri rahsia perdagangan.

Dakwaan mengintip itu turut dinafikan dengan keras oleh barisan kepimpinan tertinggi Huawei.

Pada bulan Mei 2019, Presiden Amerika ketika itu, Donald Trump menandatangani arahan eksekutif yang mengharamkan firma-firma AS daripada menggunakan peralatan dari negara-negara musuh.

Trump tidak menyebut syarikat Huawei dalam arahan itu tetapi industri telekomunikasi mengetahui bahawa pengharaman tersebut melibatkan firma-firma dari China.

Beberapa hari kemudian, Google menyatakan ia akan menamatkan lesen untuk sistem Android OS yang digunakan dalam kebanyakan telefon bimbit Huawei.

Sebaliknya, syarikat dari China itu menyatakan ia akan membangunkan sendiri sistem android sendiri dan ia terbukti melalui jualan telefon bimbit keluarannya setakat ini.

Syarikat-syarikat AS yang membuat cip termasuk Intel dan Qualcomm kemudian memotong bekalan dari Huawei manakala Microsoft dikatakan menghentikan mengambil perisian buatan frima tersebut.

Huawei juga tidak terkecuali daripada dituduh bekerjasama dengan Iran sekali gus melanggar sekatan yang dikenakan oleh AS ke atas firma-firma Amerika.

Dakwaan sekatan itu menyebabkan Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Meng Wanzhou iaitu anak perempuan kepada pengasas syarikat tersebut ditahan pada Disember 2018 di Kanada atas permintaan AS kerana dituduh menipu bank HSBC.

Wangzhou dituduh melakukan penipuan berhubung hubungan antara Huawei dengan syarikat Skycom di Iran tetapi beliau kemudian dibebaskan baru-baru ini selepas mencapai satu perjanjian dengan pihak pendakwa raya.

Selepas wanita itu dibebaskan, kerajaan China kemudian membebaskan dua warga Kanada yang didakwa mengancam keselamatan negara tersebut. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca