MENGAUT keuntungan berganda dengan hasil penyelewengan minyak masak bersubsidi. Itu antara taktik sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi yang berjaya dikesan di beberapa kawasan di sekitar negeri ini.
Malah ada sindiket yang dikesan membeli pada harga subsidi RM2.50 bagi sepeket minyak sebelum menjual semula dalam bentuk botol dengan harga sehingga RM7.50 ke RM8.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi merupakan tindakan tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, mereka menyeleweng bekalan minyak masak bersubsidi untuk mendapatkan keuntungan lebih dengan kaedah yang menyalahi peruntukan undang-undang.
"Perlakuan ini melibatkan sindiket terdiri daripada individu atau syarikat yang pada hakikatnya telah diberikan lesen atau kuota sah untuk menyimpan dan memproses, membungkus dan mengedar bekalan minyak masak bersubsidi untuk kegunaan domestik.
"Selain itu, pihak ini turut dikesan menjual serta mengedar minyak masak bersubsidi ini kepada pihak tidak berlesen atau tidak mempunyai kebenaran seperti yang diperuntukkan.
"Namun demi untuk memperoleh keuntungan berganda, mereka ini telah memanipulasi dengan menjual, mengedar minyak masak bersubsidi untuk kegunaan industri dan bukan untuk kegunaan isi rumah domestik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi temu bual khas yang diadakan di Ibu Pejabat KPDNHEP Selangor baru-baru ini.
Katanya, modus operandi sindiket itu adalah mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi daripada pembekal.
"Minyak masak ini kemudiannya dikumpul dan dipindahkan ke tong-tong industri dan dijual semula oleh sindiket di pasaran.
"Menerusi siasatan yang dijalankan pihak KPDNHEP mendapati, ia dijual pada harga yang lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya, terdapat juga sindiket yang membotolkan semula minyak masak ini sebelum menjual di pasaran.
"Ada sindiket yang dikesan membeli minyak masak subsidi dalam kuantiti yang banyak dan mereka akan membotolkan minyak ini sebelum menjualnya di pasaran,” katanya.
PUNCA PENYELEWENGAN
Harga minyak masak subsidi yang jauh lebih rendah berbanding minyak masak tanpa subsidi menjadi antara faktor berlakunya penyelewengan minyak masak bersubsidi ini.
Menjelaskan perkara ini, Muhamad Zikril Azan berkata, kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi ini menjadi pilihan sindiket untuk menjana keuntungan.
"Perbezaan harga yang amat ketara iaitu bagi minyak masak tanpa subsidi adalah mengikut harga pasaran dunia yang mana ia melebihi RM4,500 bagi satu tan.
"Bagi minyak masak subsidi, kerajaan telah menetapkan harganya sebanyak RM2,100 bagi satu tan metrik, perbezaan harga yang ketara menjadi salah satu faktor wujudnya kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi ini,” katanya.
PINGGIR BANDAR JADI LOKASI PILIHAN
Muhammad Zikril Azan berkata, sindiket kebanyakannya menyasarkan kawasan perindustrian yang agak tersorok di pinggir bandar dengan memilih stor, premis tidak berlesen dan kilang haram untuk menjalankan kegiatan mereka.
"Pemilihan lokasi sebegini dilihat sebagai salah satu taktik untuk mengaburi pihak berkuasa sebab kalau kita lihat dengan keadaan lokasi tidak sibuk sekali gus memudahkan sindiket menjalankan aktiviti.
"Kebanyakan premis ini kita lihat dalam keadaan tidak terurus dan tanpa peralatan pejabat yang mana dijadikan sebagai lokasi penyimpanan minyak masak setelah ia dibotolkan,” katanya.
Menurutnya, terdapat juga sindiket yang dikesan bukan sahaja menjadikan premis ini sebagai tempat simpanan, malah sebagai tempat membotolkan minyak masak.
LOKASI DIKAWAL TONTO
Mendedahkan kepada Sinar Harian, Muhammad Zikril Azan berkata, lokasi sindiket penyelewengan minyak masak ini turut dijaga tonto.
"Memang lokasi premis atau kilang haram ini dijaga tonto, namun sebelum melaksanakan serbuan, kita akan membuat penilaian kawasan tersebut terlebih dahulu.
"Penilaian melibatkan dari sudut keselamatan anggota dan pegawai KPDNHEP ketika melaksanakan serbuan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku,” katanya.
Tambahnya, serbuan kebiasaannya akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa lain seperti polis agar serbuan dapat dijalankan dengan berkesan sekali gus tidak mengancam keselamatan.
Mengulas mengenai ancaman sepanjang menjalankan operasi, katanya, setakat ini tiada ancaman atau ugutan sepanjang operasi dijalankan.
"Dalam setiap operasi, perancangan adalah penting, seperti yang saya katakan, penilaian soal keselamatan itu yang kita utamakan.
"Setakat ini tiada ancaman diterima dan serbuan dijalankan dengan berkesan dan kebanyakan sindiket ini berjaya ditumpaskan,” katanya.
Menjelaskan mengenai statistik tangkapan melibatkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi di Selangor ini, beliau berkata, setakat ini sedikit penurunan dicatatkan berbanding tahun lepas.
"Untuk tahun ini melibatkan enam kes secara keseluruhan merangkumi tiga kes serbuan melibatkan sitaan dokumen penyelewengan minyak masak dan tangkapan seramai lima suspek manakala tiga lagi kes serbuan melibatkan sitaan dokumen sahaja untuk siasatan lanjut.
"Bagi tahun 2020, sebanyak tujuh kes penyelewengan minyak masak dicatatkan, satu kes serbuan melibatkan sitaan dokumen berkaitan minyak masak, tangkapan melibatkan seorang individu, manakala enam kes serbuan melibatkan sitaan dokumen sahaja untuk siasatan lanjut,” katanya.
PELAKU TERIMA TINDAKAN TEGAS
Muhammad Zikril Azan turut mengingatkan kilang pembungkusan minyak masak bersubsidi agar tidak terlibat dalam aktiviti penyelewengan barangan kawalan itu atau berdepan tindakan undang-undang, termasuk kuota minyak masak bersubsidi ditarik balik oleh kementerian.
Menurutnya, individu yang menjalankan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
"Bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
"Bagi syarikat pula, ia bakal berdepan denda RM2 juta atas kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi memberikan kesan yang besar kepada negara.
"Kerajaan terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit gara-gara kegiatan tidak bertanggungjawab ini,” katanya.
PLATFORM SALUR MAKLUMAT
Usaha untuk mencegah serta memerangi kegiatan yang menyalahi undang-undang ini seharusnya ditangani semua pihak, kata Muhammad Zikril.
"Masyarakat yang mempunyai maklumat atau info berkaitan kegiatan penyelewengan ini boleh menyalurkannya ke pelbagai platform yang disediakan oleh KPDNHEP.
"Maklumat boleh disalurkan menerusi portal, talian KPDNHEP iaitu 1 800 886 800, e-mel: aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar EZ ADU serta enforcement command centre di talian 03-8882 6245/6088.
"Selain itu aduan turut boleh disalurkan di talian Malaysia Goverment Call Centre (MYGCC) di 03-8000 8000, atau WhatsApp ke 019-279 4317 atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP di Selangor,” katanya.
Tambahnya, masyarakat tidak perlu khuatir kerana identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
"Tindakan akan diambil segera terhadap sebarang kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi yang dilaporkan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca