SHAH ALAM - Pelaksanaan Undi18 yang dijangka dikuatkuasakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) wajar menjadi pemangkin kepada semua parti politik di negara ini untuk memastikan usaha meremajakan parti masing-masing dipertingkatkan.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pelaksanaan Undi18 yang dijangka dikuatkuasakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) wajar menjadi pemangkin kepada semua parti politik di negara ini untuk memastikan usaha meremajakan parti masing-masing dipertingkatkan.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, langkah itu penting demi memastikan sekurang-kurangnya 5.8 juta bakal pengundi muda berusia 18 tahun ke atas tidak berasa kecewa dipinggirkan daripada politik arus perdana.

Jelas beliau, kebelakangan ini golongan muda banyak mempersoalkan ketelusan perjuangan dibawa golongan elit politik kerana mereka melihat kelompok ‘otai politik’ ini seolah-olah lebih selesa membuat percaturan demi kepentingan peribadi.

"Saya melihat golongan muda seolah-olah sudah kecewa dengan landskap politik di Malaysia, lebih-lebih lagi dengan perkembangan politik semasa yang menyebabkan berlaku peralihan kerajaan sebanyak tiga kali selepas PRU14.

"Justeru, bagi menyambut kehadiran mereka dalam politik arus perdana selepas pelaksanaan Undi18, semua parti mesti mengambil satu tindakan tegas untuk menyuburkan usaha kesinambungan politik dengan meremajakan wakil-wakil rakyat dan parti masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, pandangan berbeza dikemukakan Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa yang melihat pelaksanaan Undi18 bukan alasan kepada parti-parti politik di negara ini untuk mengurangkan pembabitan pemimpin politik veteran daripada landskap politik tanah air.

Menyifatkan faktor usia bukan ukuran sebenar kemampuan seseorang pemimpin politik, Othman sebaliknya berpendapat ciri kepimpinan penting yang perlu ada pada seorang calon pilihan raya pada masa hadapan adalah bijak, berkemampuan membawa isu rakyat secara progresif serta matang berbahas di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Apabila Undi18 dilaksanakan, tidak boleh parti-parti politik menetapkan had umur pemimpin pada usia tertentu kerana orang tua tidak bererti semuanya lemah dan orang muda tidak bererti semuanya bijak.

"Sebagai contoh, sewaktu berbahas di Dewan Rakyat, kita lihat ramai sahaja pemimpin muda daripada blok pembangkang yang tiada adab sewaktu mencelah perbahasan wakil blok kerajaan. Sebaliknya, pemimpin veteran pula dilihat matang sewaktu menyampaikan perbahasan.

"Bagi saya, untuk mendepani cabaran politik alaf baharu, semua parti perlu menyediakan satu kombinasi pemimpin muda dengan pemimpin berpengalaman untuk membentuk gandingan mantap bagi memenangi hati pengundi kelak,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca