RABU lalu, Ahli Parlimen Merbok dan Kuantan telah bertanyakan tentang usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam menginstitusikan dan meningkatkan perwakilan wanita di Parlimen sekurang-kurangnya mencapai minimum 30 peratus.
Walaupun jawapan KPWKM jelas memperlihatkan angka 30 peratus itu sukar dicapai disebabkan ia di luar kawalan kementerian itu, keperluan menginstitusikan dan meningkatkan perwakilan wanita dalam Parlimen serta pembuatan dasar jelas berada pada tahap mendesak.
Yang diperkatakan itu bukanlah berkaitan dengan kesaksamaan gender. Mengikut Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) tahun 2021, walaupun secara keseluruhannya kedudukan Malaysia jatuh lapan anak tangga pada kedudukan 112 berbanding 104 tahun sebelumnya, jurang bagi subindeks pendidikan dan kesihatan berjaya dirapatkan.
Malangnya tidak bagi subindeks ekonomi dan politik.
Untuk rekod, antara empat subindeks utama – kesihatan, pendidikan, ekonomi dan politik, bidang politiklah yang mencatatkan jurang perbezaan paling ketara berbanding yang lain (dengan skor 0.102)
Mengapa perlu menginstitusikan dan meningkatkan perwakilan wanita di Parlimen? Jawapannya terletak kepada keberkesanan demokrasi itu sendiri.
Demokrasi lazimnya akan berfungsi dengan baik sekiranya wujud perwakilan yang seimbang. Maka, sebab itu pembesaran perwakilan daripada wanita di Parlimen bukan sahaja satu keperluan, malah penting bagi memperkukuh dan menyuburkan amalan demokrasi.
Fakta menunjukkan wanita di negara ini bukanlah golongan minoriti. Mereka membentuk 49 peratus daripada 32.7 juta populasi rakyat di Malaysia.
Bagi memastikan institusi politik negara benar-benar demokratik dan responsif, keterangkuman pelbagai kelompok dalam populasi negara menjadi tunjang perkara tersebut. Sebab itu, perwakilan dan keterlibatan wanita yang lebih besar di Parlimen, malah sehingga ke dalam kabinet adalah satu keperluan.
Hairan juga mengapa kita masih liat untuk melakukan perkara itu.
Padahal Dasar Wanita Negara sudah wujud sejak 1989 terang-terang mendukung perkara tersebut melalui matlamat ketiga dasar itu yang mahu memastikan pandangan dan suara wanita diterima pakai dalam proses membuat keputusan pada semua peringkat.
Jika diperhatikan, barangkali kita boleh mengatakan dasar itu gagal mencapai matlamat tersebut. Mengapa gagal? Mungkin fakta ini boleh menjelaskannya.
Ketika ini, hanya 33 orang sahaja wanita yang terpilih menjadi wakil rakyat di Parlimen.
Angka itu hanya 15 peratus daripada 222 wakil rakyat yang diperuntukkan Parlimen.
Daripada angka itu, hanya lima dilantik menjadi menteri penuh dan empat menjadi timbalan menteri dalam kabinet (hanya 13 peratus daripada 70 anggota kabinet yang melibatkan menteri dan timbalan menteri).
Malah wanita juga jarang diberikan posisi kabinet yang penting dan strategik terutama berkaitan kewangan, keselamatan dan pendidikan. Statistik perwakilan ketika pilihan raya juga menyokong fakta itu.
Ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), jumlah calon wanita bertanding di Parlimen hanya berjumlah 72 orang berbanding lelaki (615), sementara di peringkat DUN hanya 167 berbanding calon lelaki (1,479).
Diperhatikan pencalonan wanita yang sedikit pada PRU14 bukanlah disebabkan kualiti kepimpinan wanita yang rendah tetapi disebabkan kuatnya budaya patriarki dan persepsi maskuliniti konservatif masyarakat dalam politik serta pemerintahan.
Dua perkara itu memberi gambaran jelas tentang kedudukan wanita yang tidak seimbang dalam penguasaan politik negara. Justeru, usaha serius bagi mengurangkan jurang itu perlu segera dilakukan.
Kesimpulannya, mengapa perwakilan wanita penting dalam politik?
Pertama, ia adalah persoalan pemerkasaan hak dan kebebasan yang merupakan tonggak masyarakat demokratik. Kedua dan yang paling utama, perwakilan wanita yang lebih besar akan memberikan lebih banyak input dan perspektif berimpak tinggi terhadap isu, polisi serta dasar kerajaan kelak.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca