KALAU hendak bercakap isu kemiskinan memang tidak akan selesai.
Masih ada rakyat miskin, apatah lagi dalam keadaan pandemik yang juga berubah status, katanya daripada B40 kepada M40.
Ketika saya membaca Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kita masih lagi bergelut ke arah membasmi kemiskinan dan menjadikan negara berpendapatan tinggi seperti RMK sebelum ini.
Sebenarnya usaha kerajaan telah dilakukan semasa pelan RMK pertama lagi yang katanya telah berjaya mengurangkan kemiskinan daripada 49.7 peratus pada 1970 kepada 0.6 peratus pada 2014.
Pendapatan bulanan isi rumah turut meningkat 20 kali ganda sejak 1970 hingga 2014.
Pada masa sama, pendapatan negara kasar per kapita juga meningkat enam kali ganda pada 1990 hingga 2020. Saya ada juga membaca tentang Wawasan 2020 tetapi ia tidak berjaya dan telah pun tamat pada 2020.
Sekarang usaha itu disambung dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
Maka, eloklah kita lihat pelan lima tahun RMK12 yang seiring dengan WKB 2030. Adakah kita akan dapat mencapainya seperti dirancang?
Sebenarnya, saya suka bercerita tentang salah satu usaha kerajaan iaitu meningkatkan lagi pemilikan rumah mampu kepada rakyat yang tidak mampu memiliki rumah sendiri.
Memiliki rumah adalah keperluan asas yang penting. Maka, eloklah ia diberi tumpuan lebih.
Mudahkan rakyat memilikinya tanpa mengira sama ada mereka layak atau tidak.
Seperti Muammar Gaddafi menggunakan hasil kekayaan minyak negaranya untuk menyediakan keperluan asas, antaranya pendidikan, perubatan dan rumah secara percuma, maka eloklah kerajaan juga berfikir begitu.
Saya percaya, hasil kekayaan negara ini jika digunakan dengan bijaksana dana saksama tanpa membazir membeli jam, intan berlian atau kereta mahal, maka bolehlah digunakan untuk manfaat rakyat.
Pendapatan dan pencen menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau yang berkenaan dengannya, eloklah dikaji semula dan berpada-pada tanpa melampaui batas.
Maka, dapatlah rakyat merasa hasilnya.
Rakyat sekarang bekerja hanya untuk membayar hutang.
Membayar hutang rumah kepada bank bukan murah, walaupun katanya rumah murah tetapi tetap perlu pinjaman bank bersama ribanya.
Jika rakyat tidak perlu bersusah payah berfikir keperluan membayar hutang, dapatlah mereka menumpukan kepada pekerjaan dan keperluan lain demi menjadikan Malaysia maju dan berdaya tahan.
Saya sebenarnya teringat seorang kawan pejabat. Beliau meninggal dunia disebabkan barah usus.
Semasa hidupnya, beliau bergelut membayar hutang rumah yang dibeli semasa bekerja dengan pendapatan tinggi.
Kemudian, terpaksa diberhentikan kerja dan telah mendapat kerja dengan pendapatan rendah.
Bayaran bulanannya masih sama sehinggalah pihak bank mengaktifkan klausa menaikkan riba. Katanya, bayaran bulanannya pun berubah jadi lebih tinggi.
Beliau merayu kerana tidak mampu, melainkan dikekalkan bayaran bulanan asal tetapi pihak bank tidak menghiraukan rayuannya dan bertindak menyekat akaunnya apabila hendak membuat bayaran.
Saya pernah membantu beliau menulis surat kepada Bank Negara supaya menyelesaikan masalah ini.
Akibat tidak dapat buat bayaran, beliau telah menerima surat pihak bank yang ingin melelong rumahnya.
Bayangkan, rumah dibeli dengan hasil titik peluh duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan hilang begitu sahaja.
Beliau murung, prestasi kerjanya merosot, diberhentikan kerja dan terpaksa pulang ke kampung. Beliau meninggal dunia dalam keadaan rumah dirampas oleh pihak bank.
Kalau kerajaan tidak mampu memberi percuma kepada rakyat sebuah rumah, maka eloklah kerajaan mengambil alih peranan bank.
Biar rakyat membuat bayaran bulanan kepada kerajaan sahaja tanpa riba. Jangan libatkan bank lagi.
Jika selesai perkara itu, maka usaha kerajaan membasmi kemiskinan akan selesai.
Tidaklah RMK13 nanti masih bergelut dengan pelan membasmi kemiskinan.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca