MEMORANDUM Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) adalah antara catatan sejarah penting Malaysia apabila kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang berupaya mengetepikan... Klik di sini untuk terus membaca

MEMORANDUM Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) adalah antara catatan sejarah penting Malaysia apabila kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang berupaya mengetepikan perbezaan politik demi memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

Bagaimanapun, Pengarah Strategi PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan perkara itu bukan mudah untuk direalisasikan termasuk dikritik hebat oleh ahli parti sendiri pada peringkat awal.

Dalam wawancara bersama Sinar Harian, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu turut menjawab persoalan mengenai pertambahan sokongan daripada ahli Pas kepada Amanah, dengan peningkatan hampir 30 peratus.

Ikuti wawancara bersama Salahuddin yang dikendalikan wartawan Farah Shazwani Ali dan Mukhriz Mat Husin.

SINAR HARIAN: Bagaimana Datuk Seri melihat keadaan politik negara pada masa ini?

SALAHUDDIN: Politik hari ini menjadi semakin menarik dan memasuki era yang lebih mencabar dan sangat dinamik. Baru-baru ini, satu lembaran baru dalam sejarah negara yang saya anggap begitu penting kerana kami daripada pihak pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) telah menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Ia dilakukan pada saat kita melihat rakyat begitu cemas dan sedang bergelut dengan kehidupan akibat Covid-19. Kita harus melihat kepada kesempitan dan kesengsaraan rakyat dan kita harus mencari solusi yang tuntas kesan daripada Covid-19.

Apakah MoU itu boleh mencapai kejayaan atau bakal berkubur di tengah jalan?

PH memberikan persetujuan setelah kita melalui beberapa siri rundingan. Rakyat harus tahu, ia bukan sekali duduk berunding. Di peringkat tertinggi, hampir 10 kali. Kita kena faham dan memperhalusi terma-terma dan tawaran. Saya ingin nyatakan di sini iaitu kita bersetuju itu demi rakyat.

Ada enam teras yang menjadi kekuatan MoU itu dan ia adalah untuk rakyat. Ia bukan untuk kepentingan peribadi ataupun satu tawaran yang melibatkan kedudukan ataupun kemudahan-kemudahan yang kami ditawarkan, tidak sama sekali. Saya sendiri bagi pihak Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan bersetuju, apatah lagi kalau rakan-rakan dalam PH.

Enam teras itu adalah untuk kepentingan rakyat, dengan peruntukan RM45 bilion bagi memerangi Covid-19 dan RM10 bilion untuk menyelamatkan golongan industri kecil dan sederhana.

Kemudian, reformasi seperti jawatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal, Parlimen harus memberikan lebih banyak ruang untuk kita duduk dalam Jawatankuasa Khas serta Undi 18 mesti dibawa ke Parlimen dan sebagainya. Semuanya telah didedahkan kepada rakyat.

Apakah cabaran-cabaran penting dalam melaksanakan MoU ini?

Sudah pasti cabaran yang cukup getir ialah kritikan daripada ahli parti sendiri dan kumpulan yang mungkin sudah diberikan kefahaman di peringkat awal. Seperti biasa, wujudnya keraguan di peringkat awal tentang MoU ini yang pada asalnya berpunca daripada suatu kaedah dalam mengamalkan Demokrasi Berparlimen iaitu Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA). Jadi, mungkin ada sedikit kekeliruan kalau disalah tafsir.

CSA ini wujud sebagai contoh yang terbaik, berlaku di Britain selepas pilihan raya umum 2017 apabila Theresa May daripada Parti Konservatif kehilangan majoriti telah bersetuju untuk membuat perjanjian CSA dengan Parti Kesatuan Demokraktik, barulah nombor itu cukup.

Tapi dalam pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang kesembilan, ia jelas mengikut surat akuan (SD) yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau ada 114, jadi tidak perlu kepada sokongan pembangkang untuk mendapatkan majoriti. Walaupun hanya tiga majoriti, tapi beliau telah ada majoriti. Sebab itu kita namakan sebagai memorandum persefahaman dan kestabilan politik.

Kita memikirkan tentang kepentingan rakyat, dengan kes Covid-19 serta angka kematian yang tinggi. Begitu juga dengan vaksinasi yang ketika itu masih belum mencapai sasaran, ramai yang hilang pekerjaan dan peniaga industri kecil dan sederhana terutamanya, sangat terkesan. Yang paling kita bimbang adalah mungkin kelaparan. Jadi, pada tahap ini, kita perlu ketepikan perbezaan berpolitik sementara waktu dan tandatangani MoU dengan fokus dua perkara, iaitu memerangi Covid-19 dan membantu memulihkan ekonomi rakyat yang sangat terkesan.

Salahuddin ketika diwawancara Sinar Harian di Shah Alam baru-baru ini.

Bagaimana Datuk Seri yakinkan ahli parti untuk menerima MoU ini?

Kita adakan siri penerangan kepada ahli parti serta komunikasi yang berkesan. Saya rasa tidak timbul masalah sangat selepas MoU itu ditandatangani kerana dokumen itu didedahkan dan ia bukanlah lagi satu rahsia. Rakyat dan orang ramai boleh baca apa yang terkandung dalam memorandum itu. Itu sangat membantu.

Kita berhenti sekejap bertarung atas pentas politik, lagipun pilihan raya tak lama lagi, rakyat pula semakin lapar (terkesan) kerana Covid-19. Jadi, bila kita terangkan itu kepada ahli-ahli parti, mereka memahami.

Bagaimana Datuk Seri melihat PH pada ketika ini, mampukah PH menang PRU akan datang?

Saya masih yakin dengan kesepakatan kita dalam PH dan ini masih menjadi satu kekuatan. Paling penting adalah kita akan memastikan berlakunya pengukuhan, strategi yang betul serta yang paling penting adalah pendekatan politik.

Sebab itu sewaktu kita mengadakan pemukiman di Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira enam bulan yang lalu, kita telah mewujudkan dan terima satu konsep khemah besar. Maknanya, bukan saja PH tapi kita perlu juga membuka PH kepada rakan-rakan lain untuk mereka bersama kita mengatur strategi seterusnya menghadapi PRU15.

Saya sangat yakin berdasarkan rekod dan pencapaian kita hingga ke hari ini. Saya rasa PH tetap relevan dan insya-ALLAH, atas nama PH dan jika kita berjaya mewujudkan konsep khemah besar itu, itu lebih membantu kita nanti untuk mencapai kemenangan dalam PRU15.

Bagaimana dengan persediaan Amanah untuk PRU15?

Kita sudah bersedia untuk mendepani pilihan raya sejak setahun yang lalu dan kita yakin bahawa permainan politik sejak Langkah Sheraton itu tidak akan kekal lama. Ya, ia betul-betul berlaku pengkhianatan dalam kalangan mereka.

Rakyat semakin muak dan inginkan kestabilan politik. Jalannya, tidak ada yang lain melainkan Parlimen dibubarkan atau PRU15 diadakan. Cuma yang menghalang kita ialah Covid-19. Kalau tidak, saya rasa lebih baik Parlimen dibubarkan.

Adakah isu pembahagian kerusi yang dijangka ditandingi Amanah sudah selesai?

Kita senang saja. Dari segi formula, apa yang ada, apa yang kita dah menang, kita kekalkan. Kita akan berbincang mana-mana kerusi yang kita rasakan perlu dirundingkan dengan kawan-kawan kita dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) ataupun DAP. Mungkin kita akan melihat juga kerusi-kerusi yang kita anggap berpotensi untuk kita rundingkan bersama.

Ada pihak mengatakan ramai pengikut Pas sudah beralih arah dan menyokong Amanah. Adakah benar ahli Amanah semakin meningkat sekarang?

Memang setiap bulan kita menerima keahlian baharu sejak parti ini ditubuhkan, dari segi peratusnya lebih kurang hampir 30 peratus ahli-ahli baharu itu datangnya daripada ahli Pas itu sendiri. Ini berdasarkan satu kajian yang dibuat lebih kurang setahun lepas.

Saya sangat tertarik dengan isu itu oleh sebab pada hari ini, apa yang Pas perjuangkan setelah mereka duduk dalam kerajaan?

Mereka tak boleh nak buat ataupun paling kurang, mereka cuba untuk meyakinkan ahli-ahli mereka keadaan akan menjadi semakin baik walaupun mereka tidak dapat melaksanakan apa yang mereka janjikan.

Contohnya RU355 dan mereka nak menukar pakaian pramugari. Kemudian, mereka mainkan isu perkauman atas kematian dan yang paling terkesan pada hari ini terutamanya di negeri yang tegar dengan Pas adalah isu judi.

Isu judi ini sudah ada semasa PH mengambil alih kerajaan dahulu PH. Menteri Kewangan pada masa itu membentangkan ada 22 kali cabutan judi.

Jadi kita telah membuat keputusan untuk dilihat kembali, turun kepada 12 dan sebelum kita jatuh, angkanya jadi 8. Jadi nampaklah usaha kita itu, walaupun tidak berjaya membanteras 100 peratus tetapi nampak penurunan yang ketara.

Tetapi hari ini saya diberitahu ada enam syarikat besar yang diberikan lesen ini, ada enam tetapi beroperasi lima.

Kalau tidak silap saya yang satu itu di Sarawak yang masih belum ada pengesahan. Lima (syarikat) kali 22 (cabutan), 100 lebih cabutan (dalam setahun).

Ini yang orang Pas sendiri sudah keluar suara-suara daripada Dewan Ulama atau Majlis Syura Ulama yang mengatakan apa menteri-menteri mereka buat dalam kerajaan? Ini menimbulkan fenomena baharu dan satu perdebatan baharu dalam Pas.

Jadi, itu saya rasa faktor-faktor yang menyebabkan ahli-ahli Pas semakin keliru dan ada dalam kalangan mereka yang secara senyap, ada dalam kalangan mereka yang berani masuk dan memohon untuk menjadi ahli Amanah.

Tetapi kawan-kawan saya yang masih dalam Pas di mana-mana sahaja, mereka lebih rela mendiamkan diri. Mereka tidak suka tetapi mereka tiada kuasa untuk bertelagah.

Mereka yang duduk di kampung bimbang akan dipulaukan dan sebagainya. Sebab itu mereka mengambil sikap mendiamkan diri, itu ramai. Tetapi ada juga yang berani meninggalkan Pas untuk masuk Amanah.

Secara keseluruhannya, bagaimana Datuk Seri melihat prestasi Pas dalam kerajaan?

Saya tidak ada kuasa untuk bercakap berkenaan Pas tetapi saya ingin katakan seperti tadi.

Apa yang mereka buat semasa Perdana Menteri kelapan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin? Saya tidak nampak apa-apa yang mereka buat. Judi tidak berkurangan malah semakin bertambah.

Apa yang mereka janjikan, mereka tidak dapat tunaikan.

Contohnya paling lantang dulu khususnya Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tentang pemakaian dalam kalangan pramugari pun dia tidak boleh buat.

Kemudian sekarang ini saya rasa berilah peluang kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad kerana dia satu-satunya menteri baru, yang lain semuanya menteri yang ada pengalaman.

Pengauditan Penyata Kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) baru-baru ini memberi gambaran kedudukan kewangan TH adalah selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS), sedangkan sebelum ini banyak pihak melemparkan pelbagai tuduhan terutama melibatkan bekas Menteri Agama, Datuk Seri Mujahid Yusof kononnya berlaku penyelewengan. Apa komen Datuk Seri?

Berdasarkan jawapan timbalan menteri sebelum ini dan kenyataan rasmi Ketua Audit Negara yang terbaru, jelas menyatakan bahawa langkah kita walaupun 22 bulan dalam kerajaan PH, kita telah berjaya menyelamatkan TH. Saya letak di situ dulu.

Sudah ada perdebatan pun di Sinar Harian antara Mujahid dan bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Rakyat boleh menilai, sedikit sebanyak ada maklumat tentang penyelewengan TH tetapi saya lebih banyak berpegang kepada dua kitab.

Pertama sekali, baru-baru ini Ketua Audit Negara mengatakan kita telah menjalankan inisiatif dan usul-usul menyelamatkan TH. Itu satu pengiktirafan daripada Ketua Audit Negara, bukan datang daripada kita.

Kedua adalah tentang Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). RCI ini memang dari zaman kita lagi, kita telah minta tetapi selepas jatuh kerajaan, di sepanjang Muhyiddin menjadi Perdana Menteri walaupun isu RCI masih berbangkit, dia tidak berbuat apa-apa.

Tak tahu sama ada dia tidak sempat atau dia tak nak buat, tetapi dua tiga hari lepas lahir balik, menteri pun menyatakan bahawa RCI akan ditubuhkan.

Jadi saya harap yang pertama tadi, saya bersandarkan kepada kenyataan Ketua Audit Negara langkah-langkah kita itu adalah untuk menyelamatkan TH dianggap satu pengiktirafan.

Yang keduanya, kita tunggu. Kita jangan buat satu tuduhan melulu.

Oleh kerana sudah janji untuk menubuhkan RCI, kita alu-alukan. Cuma saya berharap keanggotaan RCI itu mestilah seimbang.

Saya tidak bermaksud untuk parti duduk di situ, tetapi dari segi golongan profesional yang ada latar belakang perundangan, korporat, dan memiliki integriti untuk menganggotai RCI ini, dan barulah nanti insya-ALLAH kita akan mendengar laporan daripada RCI.


ANEKDOT


Rasuah tidak boleh kita maafkan

Saya rasa kita harus pergi kepada politik yang lebih inklusif, yang lebih mantap dan paling utama rakyat mahu negara ini bebas rasuah.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub kerana mengambil satu inisiatif yang cukup penting menerusi program Rasuah Busters yang saya rasa telah membuka mata rakyat negara ini dan disambut pula oleh pelbagai latar belakang seperti NGO, pemimpin masyarakat dan ilmuwan agama.

Ini harus terus diperjuangkan. Saya cukup yakin usaha yang dibuat oleh Hussamuddin ini akan menjadi satu penanda aras bagaimana seriusnya kita untuk membanteras jenayah rasuah ini.

Apa yang berlaku minggu lepas, yang juga kita telah dedahkan di Parlimen iaitu berlakunya kehilangan bahan bukti (melibatkan pegawai SPRM), wang tunai yang digantikan dengan wang palsu, ini tidak boleh kita maafkan. Pihak polis pula kita lihat dari segi persepsinya gagal untuk menyiasat atau mendakwa.

Kita juga akan menuntut satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat tentang salah laku bukan sahaja oleh pegawai rendah tetapi pegawai-pegawai tinggi dalam SPRM. Jangan jadi seperti harapkan pagar, pagar makan padi.

Antara perjuangan penting kita pada hari ini untuk masa depan Malaysia antaranya menaikkan taraf hidup rakyat, meningkatkan prestasi ekonomi dan mengembalikan keyakinan pelaburan langsung asing (FDI) untuk masuk semula ke negara kita. Tetapi jangan lupa perkara paling utama untuk kita adalah membanteras rasuah.

Salahuddin pernah bercita-cita jadi penyair

DARI segi kerjaya, pengalaman peribadi yang saya rasa begitu mengujakan adalah transisi daripada orang politik lama yang lebih kurang 35 tahun dalam dunia politik sebagai pembangkang tiba-tiba menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan terus jadi menteri.

Perkara itu sangat besar kesannya kepada kehidupan peribadi saya dari segi persiapan mental dan stail politik saya. Pada waktu itu saya perlu menyesuaikan diri daripada berorientasikan kepembangkangan kepada masuk dalam satu dunia baharu iaitu berkerajaan. Ia bukan mudah, tetapi saya perlu belajar cepat, ubah cara saya berfikir dan stail politik.

Jika tidak menjadi ahli politik, saya rasa mungkin saya sekarang menjadi penyair sebab saya semasa di sekolah menengah iaitu di Tingkatan 6, saya sangat minat bidang sastera. Jadi saya rasa waktu itu, cita-cita pun ingin ke arah bidang seni. Saya ingin jadi penulis, penyajak atau penyair yang bergiat dalam bidang seni. Tetapi tiba-tiba menjadi ahli politik. Ini adalah di luar daripada dugaan saya.


PROFILE


Datuk Seri Salahuddin Ayub

Tarikh Lahir: 1 Disember 1961

Pendidikan:

Diploma Pentadbiran Perniagaan, Kolej Tunku Abdul Rahman

Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pembangunan Manusia, UPM

Karier:Pengarah Strategi Pakatan Harapan

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah)

Ahli Parlimen Pulai, Johor

Klik di sini untuk terus membaca