SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri bagi hal ehwal undang-undang dan hak asasi manusia. Pelantikan itu disahkan sendiri Azalina pagi tadi menerusi satu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri bagi hal ehwal undang-undang dan hak asasi manusia.

Pelantikan itu disahkan sendiri Azalina pagi tadi menerusi satu hantaran di Facebooknya yang disertakan dengan gambar beliau menerima surat pelantikan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Azalina, beliau menerima surat pelantikan Penasihat Khas PM tersebut dua hari lalu.

Ahli Parlimen Pengerang itu berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keyakinan melantiknya ke jawatan berkenaan.

"Terima kasih YAB Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan.

"Insya-ALLAH dengan kudrat yang ada saya akan lakukan yang terbaik demi negara," kata Ahli Parlimen Pengerang itu di Facebooknya hari ini.

Dalam krisis pentadbiran negara pada Ogos lalu, Azalina antara pemimpin UMNO yang mencuri tumpuan apabila meletakkan jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Di tengah-tengah kekalutan itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berada dalam kem Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Penarikan diri Azalina bersama lebih 10 Ahli Parlimen UMNO daripada kem Zahid itu menyebabkan Muhyiddin hilang majoriti dan terpaksa melepaskan kedudukan beliau di Putrajaya pada 16 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Azalina merupakan pemimpin kelima dilantik Ismail Sabri yang bukan terdiri daripada anggota kabinet.

Empat yang lain ialah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Hadi Awang; Duta Khas Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing; Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Muhyiddin.

Keempat mereka merupakan Duta Khas dan Pengerusi lantikan bertaraf Menteri.

Faizal Azumu pernah dilantik sebagai Penasihat Khas PM untuk Muhyiddin pada Ogos lalu.

Persoalannya kini adakah pelantikan Azalina juga bertaraf Menteri sama seperti empat pemimpin yang lain.

Menariknya, sebelum ini Muhyiddin turut mempunyai Penasihat Khas selepas melantik Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 5 Ogos lalu.

Pelantikan tersebut mengiktiraf Faizal atau juga digelar Peja sebagai Penasihat Khas bertaraf Menteri.

Bagaimanapun, Faizal hanya bertahan selepas 11 hari untuk jawatan itu apabila kerajaan Perikatan Nasional tumbang pada 16 Ogos.

Namun, Faizal kini kekal dalam kabinet Ismail Sabri apabila memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan.

Klik di sini untuk terus membaca