SHAH ALAM - Pengeluaran simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan satu peluang keemasan bagi membantu mereka yang betul-betul terdesak akibat Covid-19, namun ia juga boleh disalahgunakan sebagai token untuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengeluaran simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan satu peluang keemasan bagi membantu mereka yang betul-betul terdesak akibat Covid-19, namun ia juga boleh disalahgunakan sebagai token untuk berbelanja dengan boros.

Penyelia Asrama, Nur Syarafana Kamaruzaman, 26, berkata, KWSP disarankan untuk merendahkan lagi umur pengeluaran simpanan persaraan kepada 40 tahun supaya lebih ramai yang sempat untuk menggunakannya bagi tujuan meneruskan hidup.

"Saya berharap pihak KWSP dapat mempertimbangkan untuk turunkan had usia pengeluaran simpanan persaraan seawal 40 tahun kerana zaman sekarang semua orang tertekan demi mengisi perut masing-masing.

"Selain itu, akibat Covid-19, ada juga yang mungkin tidak sempat untuk mengeluarkan atau menggunakan wang simpanan KWSP mereka kerana ramai yang mati pada usia yang muda atau secara tiba-tiba,” katanya kepada Sinar Harian. Walaubagaimanapun, cadangan untuk mempercepatkan had umur itu mestilah bersyarat agar tidak ada yang menyalahgunakan kelebihan tersebut ke arah yang tidak berfaedah.

Pada ketika ini, had umur untuk layak melakukan pengeluaran wang KWSP adalah pada usia antara 50 tahun dan 55 tahun.

Dalam pada itu, seorang penulis kandungan, Nur Amirah Abd Rani, 25, berkata, mengeluarkan simpanan KWSP untuk keperluan akibat pandemik Covid-19 bukanlah satu masalah, namun wang itu tidak wajar digunakan secara boros.

"Saya faham mereka yang mengeluarkan simpanan persaraan semasa Covid-19 untuk membayar keperluan harian kerana pendapatannya terjejas atau tidak boleh bekerja.

"Namun, saya tidak setuju apabila melihat segelintir masyarakat yang mengeluarkan duit untuk tujuan berbelanja sakan dan bukan digunakan untuk tujuan kelangsungan hidup.

"Untuk pekerja swasta, kita tidak ada pencen jadi jika tiada simpanan sendiri atau pelaburan lain untuk hari tua, ia akan menjadi satu bebanan,” katanya.

Sementara itu, pembantu pengurus, Fatin Syafiqah Arof, 25, berkata, mereka yang mengosongkan simpanan kerana hal kecemasan adalah wajar namun jika bertujuan untuk menurut kehendak nafsu, ia akan menjadi kerugian besar.

"Di waktu perniagaan tenat, para peniaga khususnya perlu membayar sewa kedai di samping menjaga kebajikan pekerja.

"Jika peniaga tersebut menyewa, duit sewa tetap harus dibayar walaupun tidak beroperasi sebaliknya jika ruang niaga tersebut adalah milik sendiri, dia akan menikmati moratorium daripada pihak bank.

"Namun, ada juga yang menjadikan duit simpanan ini untuk membeli barang lain seperti telefon atau permainan dalam talian,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca