BUKAN sahaja Belalang tapi boleh dikatakan ramai juga terkejut apabila mendapati kos yang perlu dibelanjakan untuk membaik pulih Seri Perdana menelan belanja berjuta ringgit bukan sekadar biasa-biasa sahaja. Menurut laporan media, baik... Klik di sini untuk terus membaca

BUKAN sahaja Belalang tapi boleh dikatakan ramai juga terkejut apabila mendapati kos yang perlu dibelanjakan untuk membaik pulih Seri Perdana menelan belanja berjuta ringgit bukan sekadar biasa-biasa sahaja.

Menurut laporan media, baik pulih itu perlu dilaksanakan walaupun Seri Perdana baru berusia 20 tahun dan tidak ada Perdana Menteri yang mendiaminya buat masa ini mahu pun pada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi PM.

Ini kerana banyak kerosakan dan ketirisan yang berlaku pada kompleks kediaman PM itu dan jika usaha baik pulih tidak dilakukan sekarang, kosnya akan lagi meningkat dan kerosakan akan menjadi lebih teruk.

Belalang pernah berkhidmat selama hampir enam tahun di Putrajaya. Satu hari tu siling dewan di mana kementerian Belalang mengadakan perhimpunan bulanan tiba-tiba runtuh.

Bayangkan jika insiden itu berlaku ketika perhimpunan bulanan kami sedang berlangsung, nescaya ada nyawa yang melayang atau cedera parah.

Menteri Belalang yang membuat pemeriksaan segera selepas kejadian itu menggeleng kepala kerana kecewa.

Beliau berkata kepada Ketua Setiausaha (KSU), bayangkan jika kejadian ini berlaku ketika kakitangan kementerian semua sedang berhimpun dalam majlis keramaian kementerian atau program bersama rakyat.

Yang mengejutkan kami semua ialah kami baru sahaja berpindah ke bangunan baharu berkenaan tidak sampai dua tahun. Kamilah penghuni pertama bangunan tersebut. Ia baru siap dibina dan di antara menara paling baharu di Putrajaya ketika itu.

Jadi macam mana siling seluruh ruang dalam dewan berkenaan boleh rebah dan jatuh, hanya tuhan sahaja yang tahu.

Dari luar memang menara-menara dan kompleks di Putrajaya semua kelihatan menakjubkan dan memukau mata yang memandang. Ada yang memiliki ciri-ciri klasik dan ada memperlihatkan wajah moden dan unik.

Malangnya dari dalam tidak semua bangunan tersebut kelihatan gagah dan anggun. Ada menara yang kualiti pembinaannya boleh dipertikaikan.

Satu hal tentang bangunan-bangunan moden hari ini ialah kecanggihan ada tapi kualiti dan mutu ketahanan tidak ada.

MASALAH KEBOCORAN

Boleh dikatakan kebanyakan bangunan milik kerajaan malah banyak bangunan lain di Malaysia ada masalah kebocoran dan ketirisan bumbung.

Masuklah ke mana bangunan pun, bila kita dongak ke atas, yang pertama sekali yang kita lihat ialah kulat pada siling.

Rumah Belalang yang baru berusia lima tahun pun bocor sana sini apabila hujan lebat. Apa yang tidak kena kita pun tak tahu. Jenuh tukang bersilih ganti tapi selepas beberapa bulan, bocor lagi.

Apakah ini semua ada kaitan dengan cuaca panas-hujan di negara kita ditambah dengan tahap kelembapan yang tinggi menjadi punca? Atau kualiti kerja yang menjadi punca.

Tanyalah siapa sahaja, semua akan merungut. Dan rungutan paling kerap dan banyak ialah tentang bumbung bocor.

Boleh dikatakan tidak ada rumah yang terkecuali daripada masalah ketirisan dan bumbung bocor ini.

Setiap rumah akan berhadapan dengan masalah ini apatah lagi bangunan-bangunan pejabat dan menara.

Mungkin dah tiba masanya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) iaitu agensi di bawah Kementerian Kerja Raya yang bertanggungjawab ke atas soal-soal kawal selia, pembangunan dan pemudahcara dalam industri pembinaan mencari jalan terbaik kepada permasalahan ini.

Lagi pun memang menjadi tanggungjawab CIDB dalam menerapkan profesionalisme dan menghasilkan persekitaran binaan yang kondusif, selamat dan berdaya tahan.

CIDB sekarang memang berdaya maju dan moden tapi bila cakap soal berdaya tahan, kita semua jadi ragu-ragu melihat prestasi binaan bangunan di negara kita.

Klik di sini untuk terus membaca