KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mewujudkan penyelaras di peringkat daerah bagi memantau projek-projek pembasmian kemiskinan bertujuan untuk memastikan program yang dirancang tidak gagal. Malah sebuah jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan bagi... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mewujudkan penyelaras di peringkat daerah bagi memantau projek-projek pembasmian kemiskinan bertujuan untuk memastikan program yang dirancang tidak gagal.

Malah sebuah jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan bagi mendapatkan data-data terkini tentang kemiskinan supaya dapat mengukur kejayaan projek yang telah dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, banyak program kemiskinan yang dijalankan oleh kementerian namun tidak berjaya disebabkan tiada pemantauan.

"Saya (semasa di kementerian) dulu memang rancang tidak mahu beri duit secara tunai tetapi kita latih mereka untuk berniaga. Katakan satu kampung itu, tiada yang menjual roti canai, jadi kita hendak dia berniaga roti canai. Kita bagi sedikit duit, peralatan, latih, tetapi tidak ada pemantauan.

"Dan mungkin, esok lusa, kementerian lain pula masuk ke kampung dan bantu, latih orang lain. Esok lusa orang lain pula masuk, latih tetapi tidak ada sesiapa yang pantau, pimpin mereka, bagi kursus, bagi barang dan kemudian tinggalkan mereka. Akhirnya semua projek ini gagal.

"Sebab itu sekarang ini, kita wujudkan penyelaras di peringkat daerah. Sebab kita hendak satu jawatankuasa khusus untuk mendapatkan data tentang kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Rancangan Malaysia Ke-12 Keluarga Malaysia bersama editor kanan media cetak di Menara Parlimen, pada Khamis.

Jelas Ismail Sabri, pemantauan amat penting bagi memastikan bantuan dapat diberikan secara menyeluruh dan melibatkan lebih banyak pihak.

"Kalau tidak, sekarang ini, kadang-kadang satu orang itu dapat daripada tiga atau empat bantuan.

"Maksudnya, yang menyelaras itu nanti akan selaraskan dari segi data kemiskinan. Kalau orang itu sudah berjaya, mungkin sudah keluar daripada B40. Katakan kita bagi dia projek roti canai untuk teruskan hidup, dia berjaya atau tidak,” ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, dengan melaksanakan perkara tersebut projek-projek kerajaan akan memberikan impak yang besar.

"Lepas ini akan ada hasil daripada apa yang kita bantu dan akhirnya kita tahu dalam kampung itu. Contohnya, daripada 10 orang miskin tegar, berapa yang telah keluar daripada miskin tegar ini. Sekurang-kurangnya kita tahu kejayaan kita,” jelasnya.

Tambah beliau, penyelarasan juga perlu diperluaskan kepada pembahagian sumbangan kerajaan.

"Satu orang mungkin akan dapat bantuan daripada zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Disebabkan dia dapat lebih, ada yang tidak dapat. Sebab itu kalau boleh, dari segi penyelarasan kita akan buat dari semua sudut.

"Akhirnya, fokus kita lebih jelas apa yang kita nak buat untuk bantu orang miskin. Ia menyeluruh sama seperti di bandar,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca