PADA 15 September lalu, pemimpin tiga negara – Amerika Syarikat (AS) – Presiden Joe Biden bersama United Kingdom (UK) – Boris Johnson dan Australia – Scott Morrison telah mengisytiharkan penubuhan pakatan ketenteraan yang dikenali... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 15 September lalu, pemimpin tiga negara – Amerika Syarikat (AS) – Presiden Joe Biden bersama United Kingdom (UK) – Boris Johnson dan Australia – Scott Morrison telah mengisytiharkan penubuhan pakatan ketenteraan yang dikenali sebagai AUKUS.

Antara perkara yang telah dipersetujui dalam AUKUS adalah perkongsian teknologi kapal selam berkuasa nuklear dari AS kepada Australia. AUKUS juga merangkumi kerjasama mengenai keupayaan siber, artificial intelligence (AI), teknologi quantum dan keupayaan bawah laut.

Namun, tumpuan utama pakatan itu adalah peningkatan kemampuan ketenteraan kerana di bawah pakatan tersebut, Australia akan memperoleh keupayaan serangan jarak jauh untuk tentera udara dan lautnya. Ketika AUKUS diisytiharkan, ia tidak menyebut mana-mana negara sebagai sasaran, namun amat jelas antara tujuan utama adalah untuk mengimbangi pengaruh China di rantau Indo-Pasfik.

Timbul persoalan, adakah Malaysia termasuk negara-negara anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang lain perlu bimbang terhadap AUKUS?

Pertama, perlu diperjelaskan AUKUS akan membolehkan Australia memiliki armada kapal selam berkuasa nuklear.

Buat masa kini Australia hanya mempunyai armada kapal selam berkuasa diesel jenis kelas serangan atau attack class dan ia dilengkapi senjata konvensional.

Australia sudah mempunyai perancangan untuk meningkatkan keupayaan armada kapal selam daripada berkuasa diesel kepada nuklear. Pada awalnya, Australia berharap mendapat kerjasama dan bantuan kepakaran dari Perancis, namun dengan termeterainya AUKUS, fokus Australia telah berpindah ke AS. Ia mengakibatkan syarikat pembinaan kapal selam Perancis kerugian 56 bilion euro dan ramai hilang peluang pekerjaan. Kerajaan Perancis amat kecewa dengan tindakan Australia dan AS.

Buat masa kini, pakatan AUKUS telah menyatakan bahawa mereka tidak melanggar perjanjian mengenai Penularan Senjata Nuklear (NPT) kerana ia hanya melibatkan pembinaan kapal selam bertenaga nuklear kelas serangan, bukannya senjata nuklear. Namun, ia tidak bermakna pada masa hadapan, armada kapal selam bertenaga nuklear tidak boleh dilengkapi dengan senjata nuklear.

Selain itu, apa jaminan AS dan UK tidak akan menggunakan perairan serta pelabuhan di Australia sebagai pangkalan armada tentera laut mereka yang dilengkapi dengan senjata nuklear. Ia mendedahkan Australia kepada serangan sekira peperangan antara AS dan China tercetus.

Kedua, Australia dijangka memperoleh lapan kapal selam bertenaga kuasa nuklear. Keberkesanan mereka untuk benar-benar mengimbangi kekuatan tentera China boleh dipersoalkan kerana dengan hanya penambahan lapan kapal selam tidak memberi apa-apa makna dalam perimbangan ketenteraan khas di Laut China Selatan dan umumnya Lautan Pasifik serta Lautan Hindi yang sangat luas. Oleh itu, AUKUS lebih merupakan isyarat strategik dan diplomatik bahawa tiga negara itu bersedia untuk berdepan China.

Selain itu, pakatan AUKUS adalah sebahagian strategi AS untuk kembali ke rantau Indo-Pasifik. Tarikh pengisytiharan AUKUS bukan secara kebetulan tetapi sudah dirancang. AS telah menunggu sehingga semua tenteranya berundur dari Afghanistan, baru mengisytiharkan AUKUS.

Ketiga, Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN mempunyai alasan untuk bimbang kerana secara tidak langsung mereka terpaksa memilih sama ada memihak China atau AS.

Malaysia tidak mahu bermusuhan dengan China yang merupakan rakan dagang terbesar atau bertentangan dengan AS, yang juga rakan dagang utama. Malaysia sentiasa menekankan berkecuali, keseimbangan dan kesederhanaan dalam pelaksanaan dasar luarnya.

Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mendesak semua pihak untuk mengelak sebarang bentuk provokasi. Dalam hal ini, strategi yang paling rasional bagi Malaysia adalah dasar berkecuali dengan meneruskan persahabatan dan kerjasama dengan China serta AS.

Jika berlalu konflik ketenteraan di rantau Indo-Pasifik, ia pasti membawa kesan kepada semua pihak termasuk China dan negara-negara pakatan AUKUS.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca