[WAWANCARA] Rakyat boleh memberikan markah dan menjadi juri terhadap prestasi 100 hari kerajaan yang ada pada hari ini.
Pada masa yang sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga akan memberikan markah kepada anggota kabinet dan berharap semua menteri dapat menjalankan tugas dengan baik.
"Saya ada buat pemarkahan untuk menteri. Ada kad laporan dan jawatankuasa yang akan beri markah malah pemarkahan itu saya akan dapatkan daripada rakyat.
"Rakyat boleh beri markah. Pandangan rakyat akan jadi salah satu daripada juri,” katanya dalam Wawancara Eksklusif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Keluarga Malaysia bersama editor kanan media cetak di Menara Parlimen, pada Khamis.
Ikuti kupasan beliau mengenai pelbagai topik mengenai Keluarga Malaysia, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik serta Belanjawan 2022.
- Adakah Datuk Seri terlibat dengan draf RMK12?
Sebenarnya daripada awal lagi, daripada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin lagi saya terlibat. Menteri Kanan semua terlibat dan bermesyuarat beberapa kali, dibentangkan kepada kita sebelum dibentangkan kepada kabinet.
Saya sendiri terlibat dan masukkan input mengenai keselamatan. Saya mahu perkara ini kerana ia penting kepada rakyat. Mereka hendak dan perlu berasa selamat. Jadi, kena ada satu fokus tentang pertahanan dan keselamatan.
- Maknanya, pertukaran Perdana Menteri selepas itu tidak menjejaskan RMK12?
Tidak. Mungkin dari segi tema itu berubah, Keluarga Malaysia baru kita masukkan dan dasar baharu untuk rakyat. Dalam kabinet pun, saya sebutkan bahawa fokus kita sekarang adalah projek yang people centric. Mungkin kita sebut lebih banyak dalam RMK12 mengenai rakyat.
Dari segi pelaksanaan projek mega, yang lama akan kita teruskan, yang baharu lebih kepada sektor swasta. Mungkin melibatkan Public Private Partnership (PPP).
Dari segi dana kerajaan pula, lebih fokus kepada rakyat yang dalam keadaan susah ketika ini. Sebagai contoh, kita akan bina 500,000 rumah untuk PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin), kemudian rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat), fokus kepada jalan kampung.
Jadi, ini terus kepada projek untuk rakyat. Sebab itu kita fokus kepada utiliti asas iaitu air, elektrik yang kita hendak selesaikan sehingga 98 peratus.
Kita juga fokus kepada negeri yang kita anggap sebagai negeri miskin seperti Sabah, Sarawak, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu iaitu separuh daripada bajet kita berikan kepada enam negeri yang kita fokuskan.
Maknanya, fokus kita adalah negeri miskin sebab B40 ke bawah ada di situ dan mereka perlu diberi tumpuan. Sebab itu kita diberi topik khusus membasmi kemiskinan tegar. Jadi fokus kita ialah rakyat.
- Daripada sembilan fokus, mana jadi keutamaan?
Dari segi fokus, semua penting. Saya tidak boleh kata kemiskinan semata-mata. Ia menyeluruh dan saling berkait. Kalau kita sebut kemiskinan, bila kita fokus kepada enam negeri miskin, kita juga fokus kepada B40.
Bila kita sebut tentang membangunkan usahawan PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana), ia juga melibatkan B40. Jadi, sebenarnya ada berkaitan. Sebab itu sembilan fokus itu adalah penting.
- Konsep perumahan itu macam mana? Adakah ia kondusif?
Sekarang ini, dari segi dasar sebenarnya kita sudah buat lama iaitu dasar minimum rumah tiga bilik. Tiada lagi rumah dua bilik. Saiz minimum pun 900 kaki persegi. Kalau dulu 600 kaki persegi dan dari segi kemudahan kita sediakan ialah taman permainan, surau dan dewan untuk kenduri.
- Bagaimana dengan data kemiskinan?
Sekarang ini apabila Covid-19 melanda, B40 sudah jadi miskin tegar pun ada. M40 turun B40 pun ada. Yang jadi miskin tegar ini apabila dia kena buang kerja ataupun berniaga kemudian muflis disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
Sebab itu, jumlah miskin tegar, B40, M40 berubah. Sebenarnya B40 semakin meningkat dari segi jumlahnya dan miskin tegar semakin banyak sebab kita baru sahaja menaikkan paras kemiskinan. Kena pula Covid-19, jadi memang bertambah.
Antara punca kita gagal membasmi kemiskinan daripada dahulu lagi sebab ia dilakukan secara pukul rata.
- Jadi, mengapa tidak kita buat kajian berdasarkan lokaliti?
Itu memang kita ada (lakukan kajian berdasarkan lokaliti). Sebenarnya kalau kita kata kita gagal dari segi membasmi kemiskinan tegar, itu salah. Kita pernah menerima anugerah kerana Malaysia berjaya untuk hapuskan kemiskinan.
Dan kita sasarkan di bawah RMK12, menjelang tahun 2025 kita mahu sifar kemiskinan tegar. Tetapi dari segi data itu, memang ada data secara menyeluruh, termasuk data di daerah juga ada. Sebab di daerah ada komuniti yang dipanggil focus group. Tetapi mungkin data yang ada tidak selaras.
- Ramai mempersoalkan pendapatan RM10,000 untuk isi rumah dalam RMK12. Adakah ia boleh dicapai?
Kita kena optimis. Sekarang ini kalau kita tengok memang tinggi. Ini yang kita rancangkan dalam beberapa program ekonomi. Untuk capai ini, seperti kita perlu libatkan dengan teknologi baharu, sekarang ini fokus kepada teknologi baharu.
Sebenarnya, fokus pertama pun merancakkan pertumbuhan ekonomi. Ini yang saya sebut seperti program dana harta intelek dan skim pembiayaan. Itu semua ke arah meningkatkan pendapatan. Mengenai persoalan untuk menyediakan utiliti asas kepada rakyat, banyak RMK sebelum ini tidak capai 100 peratus.
- Bagaimana boleh capai 100 peratus?
Buat masa ini kita hanya sasarkan untuk capai 98 peratus untuk utiliti elektrik dan air bersih sahaja. Tumpuan kita sekarang supaya setiap individu dan kampung mendapat bekalan air.
Masalahnya, kadang-kadang kawasan orang asli, kita tidak boleh buat paip di kampungnya sebab daripada jalan untuk masuk ke kampung pun sudah 20 hingga 30 kilometer jauh ke dalam.
Sesetengah kampung orang asli, duduk di belakang estet orang lain. Jadi, nak tembus ke kampung tersebut tiada laluan dan macam-macam isu. Jadi, sebab itu kita tidak mahu sebutkan 100 peratus tetapi 98 peratus. Kita akan capai ini di penghujung 2025.
- Kerajaan akan menyelaraskan program latihan kepada rakyat, bagaimana ia akan dilakukan?
Ia akan diselaraskan di bawah satu kementerian. Untuk latihan, kita ada Majlis Pekerjaan Negara dan latihan salah satu topik yang kita bincangkan. Baru-baru ini kita sudah bermesyuarat dan bersetuju meletakkan di bawah satu kementerian untuk selaraskan.
Ini kerana, terdapat lima hingga enam kementerian membuat kursus. Kadang-kadang yang untung ialah syarikat yang beri kursus. Mereka tidak kisah lagi selepas beri sijil dan selepas tamat kursus. Selepas ini kita akan minta Kementerian Sumber Manusia untuk selaraskan.
- Adakah ada jawatankuasa baharu yang akan dibentuk untuk selaraskan bantuan kepada rakyat?
Kita sudah berbincang dalam kabinet dan mungkin akan dilanjutkan sebab kita tidak tahu di bawah kementerian mana mahu letak untuk mengawalnya.
Kalau kursus latihan senang sebab kita ada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) jadi mereka cuma memantau dan mendapatkan data dan juga hasil selepas kursus.
Itu senang tetapi untuk memberikan bantuan pula, ia melibatkan banyak pihak. Majlis agama juga memberi sumbangan, di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat juga ada beri sumbangan, banyak lagi. Kementerian Pertahanan pun ada beri kepada veteran. Jadi, banyak yang melibatkan perkara ini.
Akhirnya nanti kita akan selaraskan. Sekarang ini, kita sedang lihat kementerian mana yang lebih sesuai.
Begitu juga dengan perumahan, ada rumah di bawah PPRT, ada di bawah MINDEF yang membaiki rumah, KPKT juga ada bagi. Jadi, semuanya kita akan selaraskan supaya tidak ada pertindihan tetapi dari kementerian mana itu kita belum putuskan.
- Apa kesan MoU bersama pembangkang berkaitan kestabilan kerajaan?
Saya rasa, kalau kita tengok sekarang ini keadaan agak tenang. Bukan sahaja di luar. Yang lebih tenang adalah di dalam Parlimen. Kita tengok sendiri di dalam Parlimen. Luar tenang mungkin perkara biasa tetapi yang serang kerajaan seperti dahulu berkurangan.
Saya beritahu supaya pembangkang kekal sebagai pembangkang, boleh serang kerajaan kerana itu kerja mereka dan kita perlukan pembangkang untuk semak dan imbang kepada kerajaan.
Walaupun saya beritahu begitu, kita dapat lihat keadaan agak kurang dari segi serangan kepada kerajaan di luar sana. Dalam Parlimen, kalau anda lihat, sangat senyap dan tenang. Ucapan juga tidak terlalu agresif seperti dahulu.
Kalau dahulu, setiap kali berucap mesti ada yang standing order. Saya rasa sudah lama tidak berebut untuk standing order untuk mengacau dalam Parlimen. Jadi, nampak suasana menghormati itu semakin tinggi dalam kalangan ahli Parlimen.
Jadi, saya nampak itu merupakan salah satu kesan yang kita boleh nampak setakat ini. Baru-baru ini apabila usul menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, tiada apa-apa berlaku dan semua 100 peratus setuju. Tetapi itu kita sudah jangka semua akan setuju. Takkanlah ada yang akan menolak titah baginda.
Cuma mungkin selepas ini, RMK12 ini ada usul. Kita lihat dahulu tetapi saya harap keadaan ini berterusan.
- Ada input atau sebarang libat urus daripada pembangkang dalam RMK12?
Ada. Memang libat urus ini kita laksanakan. Penglibatan dengan pembangkang memang kita buat. Sama ada untuk bajet atau RMK12 pun mereka beri pandangan. Libat urus RMK12 merangkumi semua termasuk industri, jabatan kerajaan dan negeri.
Saya ingat, bajet pun macam itu juga dan selepas daripada saya diberikan pembentangan untuk memberikan maklumat lebih terperinci, kita akan kumpulkan. Pertama kali dalam sejarah Parlimen, kumpulkan kerajaan dan pembangkang dalam satu masa.
Sebelum ini, kalau kita buat taklimat, ia diberikan kepada pihak kerajaan sahaja dahulu. Kita tidak buat taklimat kepada pembangkang. Mula-mula memang ada rancangan untuk melakukan perkara yang sama tetapi saya kata tidak, kita satukan. Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi taklimat, tiada gangguan pun. Soalan-soalan juga tiada yang panas sangat dan sangat profesional. Mereka bertanya dan hendak tahu jawapan sebenar.
- Bagaimana dengan penerimaan Keluarga Malaysia setakat ini?
Setakat ini penerimaan saya rasa sangat bagus. Cuma dari segi promosi itu kita belum bermula lagi secara agresif. Cuma saya tengok media elektronik sudah mula. Mungkin kita akan lebih agresif.
Sebab kalau kita tengok tema kita pun, Keluarga Malaysia. Ini inklusif dan jika budaya keluarga ini kalau kita boleh bawa seluruh negara, sangat bagus sebab keluarga ini kita menjaga sesama kita.
Contohnya, kalau ada dalam kalangan keluarga susah, kita tolong. Kita tidak akan biarkan bersendirian. Jadi, masyarakat penyayang itu akan berlaku dengan sifat Keluarga Malaysia ini.
Dan dari segi keluarga, saya bagi contoh, di Sabah dan Sarawak, perkahwinan campur ini perkara biasa. Walaupun kaum berbeza. Ada di Sabah saya berjumpa, maknya Cina, anaknya Islam dan seorang lagi anaknya Kristian tetapi kerana budaya kekeluargaan tebal, mereka boleh hidup bersama.
Ini yang saya katakan Malaysia sebagai satu keluarga. Keluarga Malaysia ini sebab agama dan kaum tidak akan memisahkan kita. Kalau ada sifat keluarga dalam diri kita dan kita akan jaga, lindung, pertahan keluarga. Jadi, sebab itu konsep Keluarga Malaysia.
- Perpaduan kaum merupakan isu besar, apa inisiatif supaya perpaduan kaum menjadi tunjang dalam negara?
Apabila saya sebut Keluarga Malaysia. Saya rasa semua faham sebab ia merentasi kaum dan agama. Maknanya perpaduan mesti jadi fokus.
Sebab itu dalam ucapan RMK12 pun saya ada sebut tentang perpaduan. Kalau kita tengok dari segi fokus dalam ucapan tersebut, ianya merangkumi semua. Melayu, Bumiputera, etnik Sabah Sarawak, orang asli dan Cina.
Kaum Cina ini kita akan beri fokus kepada Kampung Baru Cina untuk meningkatkan dari segi infrastruktur dan juga Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru Cina. Sebab saya tahu, bukan semua Cina kaya, ada yang miskin.
Di kampung, Cina miskin. Saya tahu sebab banyak di Bera, saya tahu mereka susah. Jadi sebab itu kita fokus juga kepada mereka. Bila sebut kemiskinan, ianya merentasi kaum.
India pun, kita masukkan dalam ucapan khusus sebut tentang masyarakat India. Pelan Tindakan Masyarakat India. Jadi, sebab itu tema kita Keluarga Malaysia sebab merangkumi semua.
- Persepsi kaum Cina terhadap pentadbiran Datuk Seri. Adakah langkah spesifik untuk mendapat sokongan mereka?
Setakat hari ini, saya pun belum buat kajian terperinci. Sebab saya baru sebulan lebih jadi Perdana Menteri. Terlalu awal. Kadang-kadang mereka suka peringkat awal, tapi lama-lama jadi tidak suka. Sesetengah itu peringkat awal tidak sayang, tapi makin kenal makin suka.
Sebab itu, dalam masa tiga bulan atau 100 hari mungkin akan ada ucapan lagi. Mungkin banyak lagi yang kita akan beri kepada rakyat. Mungkin berbeza selepas itu. Sebab itu saya nak tunggu 100 hari tetapi untuk nilai kejayaan kita dalam 100 hari itu, terlalu singkat.
Prestasi menteri?Pada saya, kelmarin merupakan hari akhir bagi menteri membentangkan cadangan sasaran KPI dan KPI itu apabila diumumkan nanti ada faktor yang baik kepada rakyat. Jadi, setiap menteri bentangkan KPI masing-masing. Jadi tunggulah. Saya minta, menteri umumkan sendiri. Saya juga akan cakap dari segi keseluruhan prestasi.
- Bagaimana Datuk Seri akan menilai menteri-menteri?
Saya ada buat pemarkahan untuk menteri. Ada kad laporan. Ada jawatankuasa yang akan beri markah dan ada juga pemarkahan itu saya akan dapatkan daripada rakyat. Rakyat boleh beri markah. Pandangan rakyat akan jadi salah satu daripada juri.
Saya jangkakan menteri lakukan dengan baik. Sebabnya saya letak 100 hari supaya menteri jalankan tugas. Bukan sebab saya ingin membuang menteri. Ada yang bertanya, adakah menteri akan kena buang? Saya harap tiada siapa yang akan diambil apa-apa tindakan. Saya cuma mahu mereka jalankan tugas.
Menteri akan ada kad laporan untuk 100 hari. Kemudian saya beritahu kepada mereka supaya sambung dengan pelan jangka masa pendek dan kemudian jangka panjang. Maknanya berterusan.
-Dan bagaimana pula rakyat mahu menilai menteri?
Banyak cara sekarang ini. Kita akan buat kajian sikap rakyat tentang menteri. Mungkin saya pun rajin tengok media sosial. Komen netizen.
- Datuk Seri rajin melihat maklum balas di media sosial, sehingga sekarang bagaimana maklum balas yang diterima?
Saya jawab sendiri kadang-kadang dalam Twitter. Setakat hari ini, rakyat nampak. Maknanya seimbanglah dari segi setuju dan juga tidak setuju. Dan terutama apabila RMK12 dibentangkan, responsnya positif.
Secara keseluruhan, RMK12 diterima dengan baik oleh rakyat tetapi itu dasar. Bagi saya, pelaksanaan yang penting. Ia bukan setakat dasar sahaja, kalau tidak dilaksanakan, tiada guna.
Sebab itu saya ingin mempercepatkan. Tidak lama lagi saya akan panggil mesyuarat menteri-menteri besar untuk minta negeri di daerah menubuhkan jawatankuasa yang memantau kemiskinan.
- Adakah Datuk Seri juga mempunyai sasaran untuk 100 hari bagi diri sendiri?
Semestinya saya ada sasaran saya sendiri. Sasaran saya nanti, tunggulah pengumuman nanti. Saya juga ada matlamat. Sebab 100 hari ini memang rakyat tunggu. Tunggulah 9 atau 10 Disember ini.
- Apa yang akan diberikan tumpuan pada bajet nanti?
Minggu depan Kementerian Kewangan akan bentangkan kepada saya tetapi fokus mesti kepada rakyat. Rakyat terbanyak. Sebab rakyat susah sekarang ini.
Walaupun sekarang ekonomi semakin baik dan rakyat pun boleh bernafas sedikit lepas kita buka lebih banyak sektor ekonomi. Saya jangka pada Disember kita sudah boleh buka semua sekali. Saya percaya.
Keadaan bertambah lebih baik apabila kita tengok kes semakin menurun. Di Lembah Klang juga beralih fasa yang mana pusat dari segi ekonomi. Saya ingat 70 peratus tertumpu di sini. Jadi, kita sudah buka perniagaan dan kilang. Jadi rakyat sudah semakin pulih.
- Pada Disember nanti adakah kerajaan akan membuka sempadan negara?
Mungkin lebih awal lagi. Saya tidak mahu umum sebab apabila sudah sampai 90 peratus vaksin nanti saya akan beri kebenaran untuk rentas negeri. Untuk rentas negara kita memang akan benarkan, tetapi biarlah kita umum satu persatu.
- Pengajaran berguna untuk Malaysia akibat daripada pandemik Covid-19?
Pertama, kita mendisiplinkan orang kita. Mungkin orang takut polis dan covid-19. Tetapi kita boleh mendisiplinkan orang kita sebab ini satu yang sukar. Kita tahulah, sekat orang daripada keluar rumah, ini bukan benda senang. Kita tidak boleh keluar rumah dua hingga tiga bulan. Agak sukar untuk dibuat tetapi boleh dilakukan semasa Covid-19.
Kedua, saya rasa kita lebih bersatu kerana kita menghadapi musuh yang sama dan kita pun prihatin kepada orang lain. Jika kita berjalan di pasar raya, ada yang tidak memakai pelitup muka, kita beritahu untuk pakai.
Ketiga, dari segi ekonomi, waktu Covid-19 ini peniaga secara tradisional, bertukar menjadi dalam talian. Tidak kira siapa, orang kampung, tidak kira semua sudah menjadikan bisnes dalam talian sebagai budaya baharu.
Semua orang menggunakan bisnes dalam talian dan gig ekonomi ini semakin popular dalam kalangan rakyat. Itu saya nampak kelebihan yang ada secara terus hasil daripada pandemik.
- Sampai bila kena pakai pelitup muka?
Saya rasa biarlah terus pakai pelitup muka dan akhirnya akan jadi budaya seperti di Jepun, China, Taiwan dan Korea yang mana pelitup muka ini menjadi budaya sebab Covid-19 akan terus ada di sekitar kita selamanya. Akan jadi seperti denggi. Jadi, untuk keselamatan kita kena jaga tetapi saya tengok, tiada orang yang berjalan tidak memakai penutup muka. Inilah budaya baharu yang mana budaya menjaga kesihatan. Ini salah satu kebaikan pandemik.
Klik di sini untuk terus membaca