BAHAYA Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dilarikan dan dimonopoli oleh kelompok elit tidak boleh dipandang ringan kerana dalam suasana paling sempurna pun, majoriti kumpulan sasar masih tercicir dan ketinggalan. Ancaman terhadap RMK12... Klik di sini untuk terus membaca

BAHAYA Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dilarikan dan dimonopoli oleh kelompok elit tidak boleh dipandang ringan kerana dalam suasana paling sempurna pun, majoriti kumpulan sasar masih tercicir dan ketinggalan.

Ancaman terhadap RMK12 menjadi lebih besar kerana kita berada dalam keadaan di mana kerajaan tidak mempunyai keabsahan yang jelas disebabkan tidak melalui proses demokrasi pilihan raya yang kita amalkan.

Ketidakyakinan terhadap kerajaan, khususnya dalam kalangan bumiputera boleh menyebabkan rancangan lima tahun itu tidak diminati, malah diketepikan langsung oleh kumpulan sasar.

Justeru, amat penting bagi bumiputera memisahkan sentimen politik daripada realiti ekonomi dan pembangunan. Mereka wajib ambil tahu kandungan dan pelaksanaan rancangan jangka sederhana ini.

Di pihak kerajaan pula, ia wajib ikhlas, telus dan bebas rasuah dalam membahagikan peruntukan rancangan itu, khususnya dari segi pemilihan kontraktor bagi melaksanakan projek.

Aspek pembahagian peruntukan kewangan dan peluang penjanaan pendapatan yang adil serta bersasar adalah lebih penting daripada rancangan sebelum ini memandangkan begitu ramai rakyat yang tercicir daripada arus perdana ekonomi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ada unjuran oleh badan-badan perindustrian, majikan swasta dan penyelidikan ekonomi yang memberi amaran bahawa lebih dua juta pekerja diancam pengangguran serta pengurangan pendapatan.

Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa kadar pengangguran Jun lalu meningkat kepada 4.8 peratus atau 768,700 orang berbanding 4.5 peratus pada Mei. Ia antara punca mengapa 20 peratus atau 580,000 isi rumah M40 telah jatuh menjadi B40 seperti diberitahu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Parlimen pada 21 September lalu.Maka, keutamaan guna tenaga RMK12, sama ada dalam sektor awam, swasta atau bekerja sendiri haruslah mengambil kira masalah pengangguran dan kemerosotan pendapatan yang disebutkan.

Hal itu menjadi lebih mencabar apabila had pendapatan Garis Panduan Kemiskinan (GPK) telah dinaikkan tahun lalu daripada RM980 kepada RM2,280 yang menaikkan bilangan isi rumah miskin secara mendadak daripada 16,653 kepada 405,441.

Mengambil kira naratif kerajaan mengenai RMK12 iaitu ‘ke arah Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan’, maka beban pembiayaan dan pembahagian sumber ekonomi wajiblah sama rata, berhemah dan telus.

Bagi membiayai RMK12, kerajaan akan berhutang dengan banyak tetapi yang akan menanggung beban pembayaran balik adalah rakyat jelata – bukan sahaja sekarang, malah untuk berpuluh tahun akan datang.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan akan membentangkan satu rang undang-undang untuk menaikkan had hutang kerajaan daripada 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 65 peratus. Maksudnya, kerajaan dibenarkan berhutang dengan lebih banyak.

Jangan terkejut jika banyak pihak gembira dengan cadangan hutang tersebut. Mereka adalah penggiat industri kewangan yang melihat cadangan menambah hutang sebagai peluang membuat keuntungan.

Yang tidak kurang gembira ialah kontraktor, pembekal dan perunding yang kebanyakannya adalah bukan bumiputera. Matlamat mereka adalah memaksimumkan peluang memperoleh kontrak pembekalan, pembinaan dan perundingan RMK12 sebanyak RM400 bilion itu.

Kalau pun ada bumiputera, kemampuan mereka hanya terhad kepada projek-projek kecil dan sederhana. Tidak banyak yang mampu melaksanakan projek raksasa kecuali syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan beberapa buah konglomerat Melayu.

Kesimpulannya, oleh sebab pelaksanaan RMK12 berlaku ketika ekonomi negara dan dunia sedang dalam keadaan amat mendesak, maka adalah menjadi kewajipan kerajaan, kakitangan awam, sektor swasta serta rakyat terlibat secara proaktif, tidak kiralah sama ada mereka menyokong atau tidak kerajaan yang ada hari ini.

Emosi yang tidak terkawal boleh merugikan, khususnya dalam kalangan bumiputera yang masih memerlukan pertolongan. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca