WAQF atau wakaf dari segi bahasa bermaksud tahan, manakala dari segi istilahnya bermakna menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak milik harta itu kepada seorang pengguna yang harus dan wujud.
Wakaf merupakan amalan mulia yang telah disyariatkan ALLAH. Ia adalah amalan yang mampu mendekatkan diri dengan ALLAH dan mendapat pahala melakukannya. Wakaf menyediakan landasan kukuh untuk menghampiri ALLAH kerana harta yang diwakafkan itu digunakan untuk kebaikan sahaja. Amalan itu juga menzahirkan pengabdian dan cinta manusia kepada Penciptanya.
Kebajikan yang dilakukan menerusi amalan wakaf akan berterusan dan tidak terhenti tatkala pemberi wakaf itu meninggal dunia. Ganjaran pahala akan sentiasa dinikmati pemberi wakaf walaupun sudah meninggal dunia dan tidak lagi boleh membuat amalan lain.
Wakaf bukan sahaja dapat memenuhi keperluan fakir miskin dan anak yatim yang memerlukan pertolongan, malah membangunkan negara.
Sekiranya harta wakaf dapat diuruskan dengan baik, maka kepentingan masyarakat Islam seperti membina masjid, sekolah dan lain-lain lagi aktiviti menegakkan syiar Islam akan dapat ditegakkan. Institusi wakaf akan menjadi sebuah institusi yang besar dan mantap sekiranya harta wakaf dapat diuruskan dengan baik.
Pengurusan harta wakaf yang berkesan akan memberi implikasi amat besar terhadap ekonomi, sosial dan kebajikan umat Islam. Dengan adanya wakaf, umat Islam akan tahu terdapat satu badan yang menjaga dan mengawal selia kepentingan orang Islam.
Sejarah telah membuktikan bahawa harta wakaf memberi impak amat besar kepada masyarakat Islam sekiranya ia ditadbir dengan baik. Umpamanya, Sultan Alam Shah, Sultan Selangor ketika itu yang telah mewakafkan Istana Jamaiyah di Klang untuk dijadikan pusat pendidikan yang dinamakan Kolej Islam Malaya.
Keikhlasan itu telah memberi kesan dengan lahirnya puluhan ribu ilmuwan Islam lulusan dari Kolej Islam Malaya. Kesinambungan kelahiran ilmuwan itu diteruskan walaupun nama kolej tersebut ditukar kepada Kolej Islam Klang dan kemudiannya Kolej Islam Sultan Alam Shah.
Kita lihat keluaran Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) sentiasa mendapat perhatian masyarakat dan setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan, pelajar KISAS tidak akan ketinggalan disenaraikan sebagai salah seorang pelajar tersohor negara. Inilah antara bukti impak wakaf yang ikhlas kepada masyarakat Islam di Malaysia.
Sebenarnya wakaf melambangkan kesucian iman pemberi wakaf, kecenderungannya ke arah kebaikan, kesungguhannya menjaga kebajikan Muslimin dan kasih sayang kepada umat Islam, generasi Islam seterusnya dan kepentingan mereka.
Sejarah melakarkan bahawa umat Islam telah menampilkan teladan agung dalam aspek wakaf. Umat Islam telah mewakafkan harta mereka yang tidak terhingga nilainya demi kebajikan umat Islam umum dan mengetepikan kepentingan peribadi.
Walaupun pada umumnya, Malaysia dalam keadaan baik dari segi ekonomi tetapi sebenarnya ramai individu, badan pertubuhan dan golongan yang memerlukan bantuan wakaf.
Wakaf boleh dibuat secara umum dan spesifik, tidak terhad kepada ‘urusan akhirat’ sahaja. Wakaf secara umum ialah wakaf yang diberikan untuk kebajikan tanpa mengkhususkannya bagi tujuan tertentu seperti pemberian tanah untuk kepentingan orang Islam, manakala wakaf khusus pula adalah pemberian yang disertakan dengan niat tertentu seperti pemberian wang untuk pembangunan masjid dan sebagainya.
Dalam aspek lebih besar, wakaf dapat membina ekonomi umat Islam dengan cemerlang. Wakaf tidak semestinya dibuat untuk tujuan ‘akhirat’ sahaja tetapi ia juga boleh dibuat bagi membangun perniagaan, ekonomi dan taraf hidup orang Islam.
Manfaat wakaf mestilah dirasai umat Islam dengan adanya pengurusan wakaf yang lebih baik dan sistematik.
Majlis Agama Islam sebagai satu-satunya pemegang amanah harta wakaf di negeri masing-masing hendaklah mengorak langkah jitu bagi pengurusan harta wakaf yang mampu memberi impak kepada ekonomi orang Islam.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca