SERAMAI 5.8 juta bakal pengundi berumur 18 tahun telah diminta menyemak dan mengemaskini data peribadi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini akan membawa satu lembaran baharu dalam tawarikh pentadbiran, kepimpinan dan demokrasi tanah air.
Mengikut SPR, #Undi 18 (Bil. 71/2019) melibatkan tiga perkara iaitu umur layak mengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun [Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan]; umur layak menjadi calon diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun [Perkara 47 dan Seksyen 5 Jadual kelapan Perlembagaan Persekutuan]; dan pendaftaran warganegara yang layak sebagai pemilih secara automatik [Perkara 119 (4) Perlembagaan Persekutuan].
Malaysia merupakan antara negara terakhir yang menggubal RUU Undi 18 ini. Di ASEAN, Malaysia bersama Singapura sahaja belum menukarnya ke umur 18 tahun. Benua Eropah melihat bagaimana hampir semuanya sudah berubah malahan ada negara sudah mula bergerak ke umur 16 tahun pula.
Sejauh manakah pengaruh pengundi 18 ini boleh menjadi penentu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)? Sudah tiba masanya kita memberi kepercayaan ke atas tanggungjawab yang boleh dimainkan oleh mereka.
Hari ini, mereka dalam kategori umur ini boleh melangsungkan perkahwinan, membuka syarikat sendiri, menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan memandu. Proses pembabitan dari awal dalam institusi negara dan kerajaan boleh membawa kepada impak besar ke atas struktur mobiliti sosial dan ikatan dengan tatacara kenegaraan.
Acapkali kebimbangan ke atas soal membuat keputusan, kematangan, pengaruh rakan sebaya, ibu bapa dan media serta bersikap apati politik menjadi persoalan. Benarkah begitu? Jangan dikunci pintu demokrasi dan mencarik watak politik jika tidak setuju.
Wajarkah ini dijadikan parameter untuk menyoal pengaruh pengundi 18 sedangkan sebilangan dewasa juga mempunyai tingkah laku sedemikian rupa. Pihak berwajib juga perlu memastikan hampir 4 juta dewasa yang tidak berdaftar untuk didaftar dan turut serta dalam arena politik siasah.
Untuk mengimbangi kegelisahan seperti ini, ilmu mengenai pentadbiran, sistem politik dan pengurusan negara perlu ditingkatkan bersama peranan agen sosialisasi yang pelbagai.
Libat urus antara pihak berwajib, kumpulan sasar dan institusi wajar dipertimbangkan untuk membuka ruang interaksi bersama golongan umur 18. SPR boleh bekerjasama dengan kelab sekolah untuk menjadikan aktiviti hal ehwal demokrasi disenarai dalam kalendar sekolah. Pelajar sendiri menjadi ‘duta undi 18’ jika pendedahan dimulakan seawal umur 13 tahun. Jika sekiranya pendaftaran automatik turut diamalkan, maka itu juga sejarah baharu.
Pengaruh undi 18 akan menerokai ruang baharu untuk pengkaderan ahli dalam usaha meremajakan parti. Soal ini sudah sekian lamanya bergema. Kini perlu menjadi realiti.
Landskap politik siasah akan berubah. Mereka yang terikat dengan politik konvensional dengan kebergantungan kepada ketaatan pada pemimpin dan parti perlu meneliti semula formula tersebut dengan tawaran baharu berasaskan kepada naratif kini. Parti, isu atau calon menjadi tumpuan sebelum ini namun dengan pengenalan RUU Undi 18 ini, calon yang berlatar ketokohan akan diberikan keutamaan oleh pengundi khususnya daripada umur muda ini. Pola pengundian dijangka berubah. Tindakan memboikot kumpulan ini akan memberi kesan ke atas parti yang masih mendewakan warlords parti.
Hormati kewibawaan dan kredibiliti pemimpin muda. Terokai platform dan sayap yang memungkinkan penyerapan kepimpinan mereka. Sebarang tindakan bersifat retorik boleh mengakhiri peluang pihak yang tidak jujur untuk membawa kebangkitan pengaruh pengundi 18. Jangan diperkecilkan lagi kumpulan ini kerana mereka ada nilai kreatif untuk mendampingi sistem sedia ada dengan skil luar biasa. Inilah pengundi 18.
Pengaruh undi 18 akan menerokai ruang baharu untuk pengkaderan ahli dalam usaha meremajakan parti.
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca