ISNIN lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bernilai RM400 bilion dengan slogan ‘Keluarga Malaysia – Inklusif, Makmur, Mampan’. Perkataan inklusif, makmur dan mampan... Klik di sini untuk terus membaca

ISNIN lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bernilai RM400 bilion dengan slogan ‘Keluarga Malaysia – Inklusif, Makmur, Mampan’.

Perkataan inklusif, makmur dan mampan mempunyai nilai sangat tinggi apabila diletak secara bersama. Inklusif atau keterangkuman dan makmur memberi gambaran bahawa pembangunan dalam RMK12 akan memastikan semua kelompok rakyat akan mendapat sentuhan dalam agihan kemakmuran ekonomi.

Mampan pula memberi jaminan bahawa pembangunan dalam RMK12 akan mengambil kira kelestarian alam sekitar, sekali gus memberi harapan lebih tinggi kepada kualiti hidup rakyat pada masa akan datang.

Sudah tentu sesuatu pembentangan polisi kerajaan akan mendapat kritikan dan pan-dangan berbeza. Namun, kritikan beberapa ahli Parlimen terhadap agenda bumiputera dalam RMK12 sebagai kegagalan konsep Keluarga Malaysia lebih bermotifkan politik mencari undi masyarakat Cina dan India pada pilihan raya umum akan datang berbanding demi negara.

Perdana Menteri mengumumkan – "Bagi memastikan pemilikan ekuiti bumiputera yang mampan, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan diperkenalkan supaya penjualan saham atau syarikat bumiputera hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu bumiputera lain.

Pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat bumiputera akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan selaku pengawal selia sektor.”Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan dasar mengawal selia pemilikan ekuiti bumiputera dalam RMK12 hanya akan menguntungkan orang kaya yang mempunyai pengaruh politik.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula mengatakan dasar pemilikan ekuiti bumiputera hanya akan menguntungkan ‘kroni dan elit’ tetapi bukan bumiputera miskin.

Kritikan-kritikan itu mencetus semula perbahasan antara kaum dan boleh menimbulkan syak wasangka antara bumiputera dan bukan bumiputera. Malah, sindiran kononnya etnik tertentu dilayan sebagai golongan kelas kedua timbul semula.

Saya fikir sudah tiba masanya ahli politik berhenti meniupkan sentimen kebencian terhadap agenda bumiputera ini bagi menarik sokongan generasi muda bukan Melayu.

Rakyat di negara walau apa pun asal usul, keturunan dan anutan dilayan secara adil. Sebahagian besar polisi negara tidak membezakan anda berketurunan penduduk asal atau kumpulan imigran. Perkhidmatan awam, keselamatan, pendidikan, peluang ekonomi dan pelaburan tidak mendiskriminasikan mana-mana warganegara Malaysia.

Namun, agenda bumiputera akan terus berada dalam polisi negara kerana ia adalah sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan 1957 yang merupakan dokumen penting kemerdekaan negara. Kerajaan tidak berhasrat merencatkan usaha mana-mana kaum untuk merebut kekayaan negara.

Sehingga 2019, saham bumiputera hanya 17.2 peratus, dengan bukan bumiputera memiliki 25 peratus, sementara 45.5 peratus dipegang oleh entiti asing dan 12.3 peratus adalah ‘saham nominee’. Ia bermakna kerajaan hanya mengawal selia 17.2 peratus ekuiti sedia ada supaya ia tidak merosot lagi.

Sepatutnya yang akan marah kerajaan ialah ahli perniagaan bumiputera. Merekalah yang lebih rugi kerana peluang mendapat harga yang lebih baik tersekat dengan langkah itu.

Ada juga yang berhujah dasar perlindungan bumiputera harus dihapuskan sama sekali kerana selama lebih 30 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan, ia tidak mencapai objektif. Realitinya kerana belum berjayalah kerajaan perlu meneruskannya.

Masyarakat bukan bumiputera yang mempertikaikan keputusan kerajaan mengehadkan dan mengawal selia penjualan saham atau syarikat bumiputera gagal melihat secara rasional.

Bukan sahaja kek ekonomi di luar lingkungan bumiputera jauh lebih besar, malah daripada sembilan fokus RMK12 yang diumumkan Perdana Menteri, hanya satu menyatakan agenda ‘Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia’.

Lapan lagi fokus melibatkan kepentingan semua kaum dan agama di negara ini termasuk penumpuan kepada kawasan kurang membangun di Sabah serta Sarawak.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca