WASHINGTON - Perbincangan tentang duit syiling AS$1 trilion (RM4.19 trilion) kini hangat diperbincangkan di Kongres Amerika Syarikat (AS) bagi menyelesaikan peningkatan had hutang negara itu. Isu itu menjadi topik perbincangan susulan... Klik di sini untuk terus membaca

WASHINGTON - Perbincangan tentang duit syiling AS$1 trilion (RM4.19 trilion) kini hangat diperbincangkan di Kongres Amerika Syarikat (AS) bagi menyelesaikan peningkatan had hutang negara itu.

Isu itu menjadi topik perbincangan susulan kenyataan Setiausaha Perbendaharaan, Janet Yellen pada Selasa lalu memberi amaran bahawa kerajaan AS mungkin kehabisan wang tunai kecuali had hutang pinjaman ditarik balik.

Setakat ini, Jabatan Perbendaharaan AS mengambil beberapa langkah yang dianggap luar biasa bagi membayar bil-bil AS.

Bagaimanapun, Yellen dilaporkan berkata, kerajaan persekutuan mungkin kehabisan wang tunai pada 18 Oktober depan.

Had hutang siling itu perlu dinaikkan kerana pembuat dasar di negara itu kini berhadapan dengan tekanan harga berikutan kadar perbelanjaan yang tinggi semasa pandemik Covid-19.

Ia menyebabkan berlakunya peningkatan kadar inflasi yang dapat dilihat dalam tempoh dua dekad lalu.

Namun, Ahli-Ahli Kongres AS daripada parti Republikan menentang peningkatan had siling pinjaman dengan berhujah bahawa cadangan pelaburan infrastruktur dan program sosial yang dikemukakan oleh Presiden Amerika, Joe Biden menjadi punca hutang negara itu akan meningkat.

Hutang negara itu kini dilaporkan ialah AS$28.43 trilion (RM119.02 trilion), menurut Yayasan Peter G. Peterson.

Sebelum ini, Kongres AS telah meningkatkan atau menggantung had pinjaman negara itu lebih 77 kali sejak tahun 1960.

SYILING PLATINUM

Had hutang ialah jumlah wang yang dibenarkan untuk dipinjam oleh kerajaan AS bagi memenuhi tanggungjawab perundangan termasuk bayaran gaji askar-askar, menyelesaikan kadar bunga hutang negara, membayar balik tuntutan pemulangan semula cukai, sosial sekuriti, membiayai program insurans kesihatan dan pembayaran lain-lain.

Kongres AS telah menetapkan jumlah tertentu had hutang negara sejak tahun 1939 lagi.

Apabila had pinjaman itu telah dicapai, tiada lagi wang yang boleh dipinjam menyebabkan kerajaan AS terpaksa menghentikan bayaran seperti gaji anggota tentera dan pencen.

Wang syiling peringatan pernah dikeluarkan oleh Amerika Syarikat tahun ini.

Justeru, bagi menyelesaikan masalah hutang itu, terdapat cadangan bahawa Perbendaharaan AS mengeluarkan duit syiling platinum peringatan bernilai AS$1 trilion dan didepositkan kepada Rizab Persekutuan negara itu.

Ia boleh digunakan untuk membayar sebahagian besar bil-bil negara berkenaan.

Pengeluaran duit syiling AS$1 trilion itu tidak menyalahi undang-undang AS.

Presiden AS mempunyai kuasa yang jelas untuk mengarahkan Rizab Persekutuan mengeluarkan duit syiling peringatan yang pada kebiasaannya dikeluarkan untuk nilai AS$10 (RM41.86) dan AS$5 (RM20.93).

Duit-duit syiling itu dijual oleh kilang wang AS kepada pengumpul wang.

Pada tahun ini, duit-duit syiling tersebut dikeluarkan bagi memperingati Memorial Penguatkuasa Undang-Undang Kebangsaan dan guru Christa McAuliffe yang terbunuh apabila kapal angkasa Challenger milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) meletup pada tahun 1986.

Idea untuk mengeluarkan duit syiling AS$1 trilion itu pertama kali dicadangkan oleh calon dalam pilihan raya Presiden AS daripada Parti Populis, Bo Gritz pada tahun 1992.

Ia kemudian dibangkitkan sekali lagi semasa pemerintahan Presiden AS yang ke-44, Barack Obama.

Namun, Obama dilaporkan berkata, ia merupakan idea 'gila-gila'.

Beliau juga dilaporkan berkata: "Bagaimana anda boleh mempunyai duit syiling dengan nilai yang terlalu besar.”

Had hutang itu penting kerana tahun fiskal kerajaan persekutuan AS berakhir pada 30 September ini.

Sehubungan itu, jika Kongres AS tidak bersetuju dengan had hutang, sebahagian kerajaan Persekutuan akan mula ditutup.

Ini menyebabkan Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang untuk menggantung had hutang AS pada Rabu lalu.

Rang undang-undang itu kemudian akan dibawa ke Dewan Senat untuk diluluskan.

Jika had hutang itu masih belum diselesaikan lagi, ia akan menjejaskan ekonomi negara tersebut yang baharu pulih daripada pandemik Covid-19 dan kredibiliti AS di mata dunia.

Ia juga akan mengakibatkan kerajaan terpaksa ditutup sehingga menyebabkan ratusan ribu pekerja hilang pekerjaan apabila sektor awam juga ditutup.

Klik di sini untuk terus membaca