SHAH ALAM - Segelintir masyarakat Malaysia masih tidak mengerti dan mengambil tahu tentang kepentingan simpanan persaraan pada hari tua apabila ramai yang sudah mengosongkan simpanan mereka di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas Covid-19.
Menurut penulis buku kewangan popular, Dr Azizul Azli Ahmad, terdapat tiga kepentingan simpanan persaraan yang memainkan peranan sangat besar untuk membantu masyarakat pada hari tua kelak.
"Pertama, kita tidak akan selamanya sihat untuk bekerja selepas bersara. Jadi, simpanan tersebut memainkan peranan sebagai ‘reserve fund’ atau penyelamat untuk menampung kehidupan kita selepas bersara.
"Kedua, pada umur semasa persaraan, kita selalunya akan mempunyai masalah kesihatan. Apabila sudah tidak bekerja sekali gus mempunyai masalah kesihatan, kos perubatan tersebut akan menjadi satu kekangan dan masalah untuk kita harungi 20 tahun akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.
Yang ketiga, Azizul Azli berpandangan bahawa tanpa simpanan, seseorang itu akan mengalami kesempitan wang dan simpanan tersebut juga ditelan oleh inflasi.
"Kalau kita tidak menyimpan, kita tidak ada duit manakala kalau kita menyimpan kita juga perlu berhati-hati kerana duit itu akan ditelan oleh inflasi. Oleh sebab itu, selain menyimpan, masyarakat juga perlu faham akan hal-hal melibatkan pelaburan.
"Saya sering mendapat persoalan sama ada patut atau tidak mengeluarkan simpanan seperti unit amanah ke tempat lain. Saya menasihatkan orang ramai untuk tidak bertindak sedemikian kerana saya yakin duit itu pasti akan hilang dan habis sebelum masanya.
"Masyarakat ada satu rutin di mana apabila kita memegang duit yang banyak, kita akan berbelanja. Oleh itu, amat penting untuk meletakkan duit tersebut ke tempat atau pihak bertanggungjawab untuk menguruskan dana tersebut,” katanya.
Azizul Azli yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara berkata, umur ideal untuk memikirkan dana persaraan adalah pada usia 35 ke 40 tahun kerana kita masih mempunyai simpanan dan masa dalam 20 tahun lagi sebelum bersara.
"Dan cara untuk gandakan dana persaraan dengan cepat adalah dengan membeli hartanah dan emas ikut keselesaan masing-masing.
"Kita faham ada orang yang sangat perlukan duit tetapi 24.9 peratus daripada orang yang keluarkan duit KWSP selama ini digunakan untuk melabur saham dan menggunakan duit tersebut untuk membeli emas. Ini bermakna pengeluaran KWSP itu telah disalah gunakan,” katanya.
LITERASI KEWANGAN
Dalam pada itu, cara terbaik untuk melakukan pembaharuan polisi perlindungan sosial kepada rakyat Malaysia adalah dengan meningkatkan kesedaran terhadap literasi kewangan.
Rakyat Malaysia masih lagi mempunyai literasi kewangan yang rendah berbanding negara-negara jiran. Malaysia berada di kedudukan 36 peratus orang yang mempunyai kesedaran tentang literasi kewangan manakala Myanmar 56 peratus dan Singapura 59 peratus.
"Asas kefahaman literasi masyarakat Malaysia di tahap yang masih lemah. Ramai yang tidak tahu atau salah faham antara aset dan liabiliti. Terdapat juga mereka yang masih terikat dengan polisi-polisi hutang yang akhirnya menjerat diri,” katanya.
Selain individu, masyarakat dan pihak lain juga bersama bertanggungjawab untuk mempunyai kesedaran dan pengetahuan tentang literasi kewangan.
Enam kesilapan yang sering dilakukan oleh pencarum selepas keluarkan simpanan
1. Ramai yang tidak mempunyai mentaliti kewangan yang kukuh dan merasakan bahawa duit simpanan tersebut adalah sangat banyak dan tidak akan habis sehingga berbelanja dengan boros.
2. Membuat renovasi rumah yang tidak perlu apabila tidak boleh membezakan garis halus yang dipanggil ‘cantik dan selesa’.
3. Memulakan perniagaan tanpa ilmu bisnes dan pengalaman yang mencukupi (melabur lagi rendah risiko daripada berniaga)
4. Meraikan majlis perkahwinan anak secara berlebih-lebihan
5. ‘Reward’ diri dengan benda-benda bersifat liabiliti seperti membeli kereta baharu yang akan memberi kesan kepada simpanan persaraan pada masa tua.
6. Sifat boros yang sangat luar biasa di mana semua benda merupakan satu ‘keperluan’ dan mereka akan rasa ketinggalan jika tidak berbelanja
Klik di sini untuk terus membaca