SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia mempertimbangkan keperluan menyokong calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat daripada UMNO hanya sekiranya parti terbesar Melayu itu bersedia meletakkan calon yang 'mesra' Bersatu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia mempertimbangkan keperluan menyokong calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat daripada UMNO hanya sekiranya parti terbesar Melayu itu bersedia meletakkan calon yang 'mesra' Bersatu serta Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, pihaknya mengakui kesemua ahli Parlimen Bersatu mengekalkan pendirian untuk tidak menyokong pencalonan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bagi jawatan berkenaan, walaupun Ahli Parlimen Pontian itu sudah dibebaskan daripada pertuduhan kes mahkamah.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat sejumlah 31 ahli Parlimen Bersatu secara kolektif dan atas alasan tertentu kerana mereka merasakan UMNO mempunyai ramai lagi calon ahli Parlimen lain berkelayakan.

"Bersatu memutuskan untuk tetap tidak menyokong Ahmad atas alasan tertentu dengan keputusan itu telah pun dibuat secara kolektif dengan mengambil kira suara majoriti ahli Parlimen.

"Pada masa sama, Bersatu juga tidak bersetuju dengan cadangan penyelesaian daripada UMNO agar jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketiga diwujudkan untuk diserahkan kepada ahli Parlimen pembangkang daripada DAP (Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming)," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Eddin Syazlee Shith

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan portal berita tempatan yang mendedahkan empat parti dalam koalisi PN termasuk Bersatu, memutuskan kekal tidak menyokong hasrat UMNO mencalonkan Ahmad sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat kedua.

Pendirian Bersatu dan PN itu kekal meskipun Ahli Parlimen Pontian itu dibebaskan daripada pertubuhan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, Bersatu dan PN turut membantah cadangan untuk mewujudkan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketiga bagi menempatkan seorang ahli Parlimen daripada pembangkang.

Sinar Premium dimaklumkan keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi PN yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis malam.

Untuk rekod, Ahmad berdepan perbicaraan dua kes pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau membayar kompaun bernilai RM1.1 juta yang dikenakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana agensi anti rasuah itu berkata ia adalah satu bentuk pemulangan aset.

Mengulas lanjut, Eddin Syazlee yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) menegaskan UMNO perlu menghormati keputusan Bersatu dan berlapang dada untuk meletakkan calon yang lebih mesra dengan Bersatu dan PN sebagai solusi penyelesaian terbaik.

"Itu sahaja solusi terbaik boleh dicapai antara UMNO-PN bagi menyelesaikan isu pelantikan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat kedua dengan cadangan pindaan perlembagaan untuk mewujudkan jawatan Timbalan Speaker ketiga tidak perlu dibuat.

"Namun, segalanya terpulang kepada pucuk kepimpinan Bersatu, PN dan UMNO untuk merungkai permasalahan itu dan sekiranya ada solusi lain lebih baik, perkara itu perlu dibawa ke pengetahuan semua ahli Parlimen Bersatu dan PN semula," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara daripada Bersatu, Senator Muhammad Zahid Md Arip menegaskan keputusan terkini Bersatu terhadap pencalonan Ahmad sebenarnya mengambil iktibar daripada pendirian politik diambil Ahmad terhadap kerajaan PN dipimpin Muhyiddin sebelum ini.

Muhammad Zahid

Secara menyindir, Muhammad Zahid juga mendakwa Ahmad merupakan 'tok guru' politik kepada ahli-ahli Parlimen Bersatu kerana mengajar mereka bagaimana untuk berpendirian 'boleh menyokong kerajaan, tetapi tidak boleh menyokong segelintir pemimpin UMNO'.

"Dalam isu penolakan terhadap Ahmad, rakyat tidak boleh tengok ahli-ahli Parlimen Bersatu seolah-olah 'jahat', sedangkan Ahli Parlimen Pontian itu turut melakukan perkara sama terhadap Muhyiddin melalui pendirian 'boleh sokong kerajaan PN, tetapi tidak menyokong Muhyiddin' sebelum ini.

"Bagi saya, keputusan Bersatu tidak menyokong Ahmad tidak bermakna kami mahu menolak kerjasama dengan kerajaan dipimpin Perdana Menteri daripada UMNO.

"UMNO pun kena tunjuklah mereka tidak ketandusan pemimpin. Takkan dengan jumlah 42 ahli Parlimen termasuk koalisi Barisan Nasional (BN), tiada satu pun calon lain yang bersih sampai UMNO terdesak sangat hendak calonkan Ahmad?" katanya.

Klik di sini untuk terus membaca