SHAH ALAM - Pertembungan tiga atau lebih penjuru pada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) sebenarnya akan merugikan UMNO sendiri sekiranya mereka masih berkeras untuk enggan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN). Ahli Majlis Pimpinan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pertembungan tiga atau lebih penjuru pada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) sebenarnya akan merugikan UMNO sendiri sekiranya mereka masih berkeras untuk enggan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, hal ini kerana pertembungan UMNO-PN bukan sahaja menyebabkan perpecahan undi Melayu, bahkan merisikokan UMNO kehilangan kuasa selaku parti yang memerintah kerajaan.

Jelas beliau, formula terbaik untuk mengekalkan penguasaan kerajaan sekarang adalah melalui usaha penyatuan parti Melayu yang turut melibatkan Pas dan jika kerajaan sedia ada kehilangan kuasa pada PRU15, yang rugi adalah orang Melayu sendiri.

Eddin Syazlee

"Bagi saya, masih terlalu awal dan pramatang untuk mengatakan pintu rundingan kerjasama politik antara UMNO-Bersatu sudah tertutup kerana sekiranya UMNO terus berkeras mahu bergerak solo, perpecahan undi Melayu juga akan merugikan mereka.

"Sepatutnya pucuk kepimpinan UMNO perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan menyentuh hubungan parti itu dengan PN kerana UMNO sebagai parti pemerintah akan berdepan kerugian lebih besar jika kehilangan kuasa pada PRU15.

"Saya percaya pintu rundingan masih belum tertutup antara UMNO-Bersatu, namun sebarang langkah kompromi antara dua parti Melayu mesti berasaskan prinsip 'give and take' demi mencapai matlamat lebih baik iaitu mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat yang menegaskan UMNO akan mempertahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi dimenangi parti itu pada PRU14 dengan mendakwa ketetapan itu bukan sekadar ditentukan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, tetapi lahir daripada suara akar umbi.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum itu menegaskan Bersatu akan memulakan rundingan pembahagian kerusi dengan parti-parti dalam PN terlebih dahulu tanpa menunggu UMNO.

Jelas Muhyiddin, keputusan itu dibuat susulan beliau sendiri masih tidak jelas dengan status hubungan UMNO-Bersatu.

Mengulas lanjut, Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah menegaskan rundingan pembahagian kerusi antara Bersatu dengan parti lain dalam PN termasuk Pas sudah berjalan lancar setakat ini.

Di sebalik dakwaan Pas turut membincangkan urusan pembahagian kerusi pilihan raya dengan UMNO, Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berpendapat Pas dlihat lebih komited untuk bekerjasama dengan PN susulan koalisi itu merupakan gabungan terbesar dalam kerajaan.

Sementara itu, seorang lagi ahli MPT Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman mendedahkan Muhyiddin dalam satu mesyuarat MPT baru-baru ini meminta semua pemimpin Bersatu untuk tidak menganggap ahli-ahli UMNO sebagai musuh.

Muhammad Faiz

Tambah beliau lagi, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri juga memberi ruang kebebasan kepada pemimpin-pemimpin Bersatu di peringkat negeri dan bahagian untuk menjalinkan kerjasama politik dengan pemimpin UMNO sekiranya mereka cenderung mahu bekerjasama dengan Bersatu.

"Berkenaan hubungan masa hadapan UMNO-Bersatu, dalam mesyuarat MPT itu, Muhyiddin sendiri mengakui yang beliau tidak dapat membuat ramalan, tetapi yakin pintu rundingan masih terbuka asalkan UMNO benar-benar ikhlas untuk kembali bekerjasama.

"Menyentuh sikap UMNO terhadap Bersatu, saya tidak nafikan mungkin majoriti pucuk kepimpinan pro Presiden parti itu yang anti kami, menolak untuk bekerjasama dengan PN pada PRU15.

"Tetapi bagi mereka yang bersikap nasionalis, kelompok ahli UMNO ini menyedari parti-parti Melayu perlu terus bekerjasama dan tidak boleh bergerak solo bagi menghadapi PRU15 kerana perpecahan undi Melayu akan menyebabkan parti-parti Melayu bakal kalah teruk," katanya.

Selain itu, Muhammad Faiz menegaskan satu faktor lain yang perlu diambil kira UMNO untuk mempertimbangkan semula keperluan kerjasama politik dengan PN dan Bersatu adalah berlandaskan sokongan utuh parti-parti daripada Sabah dan Sarawak terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Ujar beliau, hubungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan PN adalah lebih kukuh berbanding sewaktu mereka menyertai koalisi Barisan Nasional (BN) dahulu kerana mereka melihat Muhyiddin lebih berkompromi dalam merealisasikan inti pati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Selain itu, parti-parti Sabah dan Sarawak turut melihat PN tidak terlalu menekan mereka dalam soal tuntutan kerusi pilihan raya berbanding sewaktu zaman kerajaan BN dahulu.

"Mungkin cara perhubungan PN yang lebih bertoleransi apabila dilihat bercampur dengan gabungan parti lain termasuk Gerakan dan Pas menyebabkan koalisi parti daripada Sabah dan Sarawak berasa lebih selesa.

"Bahkan saya difahamkan ramai pemimpin GPS dan GRS yang menyatakan pendirian mahu melihat Muhyiddin kembali sebagai Perdana Menteri kesepuluh pada PRU15," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca