SHAH ALAM- Setelah dua bulan kes Covid-19 sentiasa di paras kritikal dan membimbangkan, hari ini pada 3 Oktober mencatatkan kes kembali di bawah angka 10,000 iaitu 9,066 kes baharu.
Pakar Kesihatan Persekitaran Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, ini merupakan perkembangan yang baik tetapi ia bukan petanda masyarakat boleh menarik nafas terlalu lega.
"Kita memang bersyukur kes semakin berkurang namun kita tidak boleh menarik nafas terlalu lega kerana di peringkat global, masih ada banyak lagi varian-varian baharu akan muncul dan bermutasi.
"Kedua, kita harus berjaga-jaga dan mengambil kira faktor luar. Kita kena terima kemasukan pelabur, pelancong dan perniagaan dari luar negara dan jika tidak berhati-hati, ia boleh menjadi punca peningkatan kes.
"Negara ini juga harus dibuka untuk meningkatkan ekonomi. Oleh itu, jika kita sudah berjaya mengawal faktor dalaman melalui vaksinasi dan kawalan prosedur operasi standard (SOP), kita juga mesti berhati-hati dan mengambil kira faktor luar,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tambahnya, walaupun jangkitan kes telah menurun dan sudah mencapai sasaran imunisasi kelompok, tidak mustahil kes akan kembali menaik sekiranya masyarakat alpa terhadap SOP.
"Nasihat saya, bagi mereka yang belum menerima suntikan atau tidak mahu menerima vaksin selain faktor kesihatan, mereka perlu mempertimbangkan semula keputusan itu untuk kepentingan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling supaya semua populasi Malaysia disuntik.
"Kerajaan sudah ada polisi dan strategi tetapi kita sebagai masyarakat harus memainkan peranan untuk sentiasa mematuhi SOP di samping mempunyai kawalan kendiri,” katanya.
Dalam pada itu Haliza berkata, faktor utama yang mendorong kepada penurunan kes adalah vaksin dan pematuhan SOP.
"Pertama, majoriti rakyat Malaysia sudah divaksin dan mencapai kelompok imuniti. Dalam masa yang sama, kerajaan sudah aktif memberi suntikan kepada generasi belia muda berumur 12 hingga 17 tahun. Ini sangat penting kerana golongan ini mewakili lebih 30 peratus populasi negara.
"Kedua, masyarakat Malaysia sudah ada pengalaman menjaga SOP dari bulan Mac tahun lalu jadi mereka masih mengekalkan pematuhan SOP terutamanya melibatkan penjarakan sosial dan perkara-perkara melibatkan fizikal seperti pemakaian pelitup muka," katanya.
Kali terakhir negara mencatat kes baru bawah angka 10,000 adalah pada 12 Julai, iaitu 8,574 kes.
Klik di sini untuk terus membaca