PADA 10 Disember 2019, seorang aktivis politik yang baru berusia 34 tahun ketika itu, Sanna Marin mengejutkan dunia apabila dipilih menjadi Perdana Menteri termuda bagi negara Finland.
Kisah kejayaan Marin itu sebenarnya adalah sebahagian daripada pengiktirafan golongan muda dalam bidang politik apabila dunia menyaksikan semakin ramai Perdana Menteri dilantik dalam kalangan pemimpin di bawah usia 45 tahun.
Selain Marin, antara pemimpin muda lain yang diberi kepercayaan menerajui negara masing-masing adalah Presiden Perancis, Emmanuel Macron, 43; Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern,39; bekas Perdana Menteri Ukraine, Oleksiy Honcharuk, 36 dan Presiden Costa Rica, Carlos Alvarado Quesada, 41.
Bagaimanapun, senario berbeza berlaku di Malaysia apabila golongan otai politik masih lagi menyerlah dan mendominasi landskap politik tanah air.
Antara contoh pemimpin veteran yang masih mendapat tempat dalam hati pengundi adalah bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehinggakan nama mereka masih disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri akan datang.
Bahkan seorang lagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini muncul sebagai personaliti politik paling popular di media sosial, terutama dalam kalangan pengundi muda sendiri meskipun beliau ketika ini terpalit dengan kes pendakwaan mahkamah.
Bagi Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi, terdapat beberapa faktor yang membolehkan golongan otai politik terus mewarnai landskap politik tanah air sejak era reformasi 90an, walaupun negara sedang menuju kematangan amalan demokrasi.
Jelas beliau, antaranya adalah amalan politik Malaysia masih bersandarkan kepada personaliti pemimpin, penyertaan politik pengundi dan budaya penaungan politik oleh pemimpin veteran terbabit.
"Disebabkan pemimpin veteran memiliki pelbagai kelebihan berbanding pemimpin muda termasuk menguasai hierarki kepimpinan parti masing-masing, mereka berjaya mengolah segala kelebihan tersebut untuk mengekalkan kerusi kekuasaan mereka.
"Pengalaman dalam politik lebih luas juga memberi kelebihan kepada pencapaian perkhidmatan mereka dalam membina kredibiliti untuk meyakinkan pengundi,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebagai contoh katanya, sumbangan diberikan Dr Mahathir sewaktu negara beralih kepada negara industri atau Najib yang membawa lonjakan saham negara sehingga diiktiraf sebagai World Longest Bull Run yang bertahan selama 12 tahun serta program- program transformasi yang memanfaatkan sebahagian besar rakyat Malaysia.
"Tidak kurang juga pemimpin pembangkang seperti rekod pencapaian Anwar membawa reformasi politik dan meletakkan ekonomi Malaysia sebagai Tiger Curb of Asia,” katanya.
Berdasarkan faktor-faktor tersebut, Anis Anwar mengakui sukar bagi pemimpin usia pertengahan dan belia untuk membuktikan keupayaan mereka memimpin Malaysia dalam masa terdekat.
Katanya, selain pengalaman, politik juga memerlukan seseorang pemimpin memiliki kedudukan ekonomi kukuh bagi menggerakkan jentera parti.
Pandangan sama turut dikongsi seorang penganalisis politik veteran, Datuk M Periasamy yang meyakini kombinasi keseimbangan gabungan otai politik dan pemimpin muda sebenarnya merupakan formula terbaik untuk merealisasikan usaha mentransformasikan politik tanah air, seiring dengan peredaran zaman.
Jelas beliau lagi, keperluan ahli politik untuk memiliki sifat integriti dan akauntabiliti sebenarnya adalah jauh lebih penting daripada keperluan meneliti had usia ahli politik itu sendiri.
"Sebab itu saya menekankan keperluan pengundi memilih wakil rakyat yang berkebolehan, berkemahiran dan mempunyai ilmu pengetahuan tinggi berbanding penekanan kepada faktor usia mereka,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca