SHAH ALAM - Di sebalik keghairahan rakyat menggesa proses peremajaan pemimpin politik berlaku seiring dengan pelaksanaan Undi18 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), seorang pemimpin pembangkang berpendapat peranan golongan otai politik dalam melancarkan urus tadbir negara masih signifikan.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, pandangan itu dikemukakannya susulan ramai golongan muda tidak menyedari proses memastikan urus tadbir negara berjalan lancar bukan merupakan satu perkara mudah.
Jelas beliau, pelaksanaan Undi18 juga bukan tiket memastikan proses peralihan generasi kepimpinan negara boleh dilaksanakan secara drastik dalam masa yang sangat singkat.
Tambahnya, hal ini kerana negara masih memerlukan pemimpin berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam soal pentadbiran negara untuk memastikan kestabilan ekonomi dan politik terjamin untuk satu tempoh masa panjang.
"Meskipun Undi18 dijangka mengubah landskap politik negara, saya tidak mengharapkan keajaiban berlaku dalam tempoh masa singkat dan tidak mungkin perubahan kepimpinan politik boleh dilaksanakan secara drastik.
"Undi18 juga bukan sekadar isu kesungguhan politik parti-parti di negara ini untuk meremajakan hierarki parti masing-masing, sebaliknya perkara paling penting adalah parti-parti ini dapat menonjolkan pemimpin yang boleh menepati kehendak rakyat terdiri daripada pelbagai lapisan usia, termasuk 18 tahun ke atas.
"Sekali lagi saya tekankan, faktor usia bukan penentu golongan pengundi muda akan memberi undi, sebaliknya parti perlu lebih bijak mengetengahkan calon yang memahami nadi rakyat dan mempunyai penyelesaian praktikal terhadap isu permasalahan dihadapi,” katanya.
Mengulas lanjut, Tian Chua menegaskan pelaksanaan Undi18 sebenarnya memberi ruang kepada golongan pengundi muda untuk mula mendekati dunia politik tanah air secara lebih serius.
Tambahnya lagi, pada PRU15, beliau yakin golongan pengundi muda akan menilai keupayaan seseorang pemimpin politik serta parti diwakili mereka berdasarkan kemampuan parti itu untuk membawa keluar ekonomi negara ke arah proses pemulihan lebih baik serta tawaran lebih banyak peluang pekerjaan yang berimpak tinggi.
"Tawaran-tawaran sebegini sebaliknya tidak boleh sekadar dikemukakan parti-parti politik secara retorik, sebaliknya perlu dibuktikan kepada pengundi melalui satu kerangka pelaksanaan yang realistik dan komprehensif.
"Hal ini kerana rakyat Malaysia terutama golongan muda yang terdedah dengan informasi terkini melalui media sosial tidak akan mudah dipengaruhi oleh tawaran-tawaran politik bersifat populis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO bahagian Pasir Gudang, Mohd Azleen Ambrose berpandangan pelaksanaan Undi18 bakal memaksa parti-parti politik di Malaysia untuk memenuhi usaha merapatkan jurang pemikiran politik antara golongan muda dan pemimpin veteran.
Mengakui dewasa ini rakyat melihat seolah-olah wujud jurang kepercayaan terhadap pemimpin politik dalam merealisasikan transformasi politik negara, Mohd Azleen menegaskan suka atau tidak, pemimpin politik perlu memastikan agenda itu terlaksana demi membolehkan kerajaan mendapat sokongan penuh daripada rakyat.
"Secara langsung, rakyat akan melihat kesan perjanjian memorandum persefahaman (MoU) transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sebagai ukuran kesungguhan UMNO dan parti-parti blok kerajaan untuk memenuhi tuntutan pembaharuan politik didambakan rakyat.
"Justeru, kesemua agenda dikemukakan dalam MoU perlu direalisasikan semua pemimpin politik termasuk golongan otai politik, kerana tujuh tawaran dikemukakan itu juga merupakan harapan rakyat terhadap masa hadapan politik Malaysia," katanya.
Mengulas pembabitan pemimpin muda dalam landskap politik tanah air, Mohd Azleen mengakui di sebalik usaha berterusan UMNO mengekalkan sinergi peralihan kepimpinan, parti itu perlu menerima hakikat bahawa usaha mengangkat pemimpin muda ke peringkat lebih tinggi pada zaman ini adalah sangat janggal berbanding amalan sebelum tahun 1970an.
Justeru, beliau mengharapkan UMNO perlu lebih berani mengetengahkan barisan kepimpinan parti yang lebih muda bagi memastikan jurang pemikiran politik antara dua generasi kepimpinan tidak terlalu melebar.
"Formula terbaik kepada UMNO untuk menjadi lebih relevan pada masa hadapan adalah parti itu perlu menerima pelaksanaan Undi18 secara tangan terbuka dengan membuka seluas-luasnya muka baharu untuk ditonjolkan sebagai pemimpin parti pada PRU15," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca