SHAH ALAM - Tidak cukup wang simpanan dan terpaksa bersara awal akibat masalah kesihatan menjadi penyebab Arof Ayob terpaksa bekerja walaupun usianya hampir 70 tahun. Arof yang berusia 66 tahun berkata, selepas bersara awal pada 21 tahun... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tidak cukup wang simpanan dan terpaksa bersara awal akibat masalah kesihatan menjadi penyebab Arof Ayob terpaksa bekerja walaupun usianya hampir 70 tahun.

Arof yang berusia 66 tahun berkata, selepas bersara awal pada 21 tahun yang lalu kerana masalah jantung dan angin ahmar, dia mengambil inisiatif mencari pendapatan dengan menyewakan rumah kepada pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di Kedah.

"Ada rumah saya sendiri yang disewakan dan ada juga yang saya uruskan bagi pihak tuan rumah. Sebanyak lebih 40 rumah saya jaga sepanjang pencen,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, selagi kudrat masih ada, selagi itulah rezeki harus dicari demi menampung perbelanjaan harian kerana duit pencen yang tidak mencukupi selain menampung keluarga dan pembelajaran anak-anak.

"Pencen saya hanya RM600 sebulan. Banyak tanggungan anak ketika itu daripada sekolah hingga universiti.

"Jika saya bergantung kepada pencen ini sahaja, kemungkinan anak-anak tidak dapat menyambung pengajian hingga ke menara gading.

"Selain itu, duit persaraan yang ada akan cepat habis digunakan kerana RM600 itu jumlah yang sangat kecil bagi menampung sebuah keluarga. Jumlah tersebut mungkin cukup untuk membeli barang-barang dapur sahaja,” katanya.

Arof yang juga bekas kakitangan Pos Laju berkata, duit persaraannya diberikan sepenuhnya kepada isteri manakala hasil duit rumah sewa bulanan akan dibelanjakan untuk membayar ansuran rumah dan kelengkapan keluarga serta membuat pelaburan untuk hari tua.

"Saya mungkin akan terus bekerja hingga ke akhir hayat kerana kerja ini sudah menjadi pendapatan utama untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha Taska Rumah Nori, Noriah Mahayudin, 60, berkata, selepas bersara, dia mengambil Kursus Asuhan Permata selama empat bulan bagi membolehkan dirinya membuka taska.

"Saya bersara hampir lima tahun yang lalu pada bulan November 2016. Saya merupakan pengusaha taska sejak pertengahan tahun 2019 hingga sekarang.

"Selepas bersara, saya mengasuh tiga kanak-kanak berumur setahun hingga tiga tahun berdasarkan kursus yang saya pelajari, jenis makanan apa yang sesuai diberi dan cara penjagaan yang sesuai serta selamat ,” ceritanya.

Tambah Noriah, faktor utama dia memilih untuk bekerja pada usia emas ini adalah kerana mahu mengisi masa lapang selain membayar komitmen bulanan."Duit persaraan cukup bagi menampung perbelanjaan tetapi saya bersama suami harus membayar hutang rumah, bil api dan air, saraan kereta dan perbelanjaan harian.

"Saya juga mempunyai anak yang masih belajar dan mungkin ada perbelanjaan lain yang perlu saya tambah untuk keperluan dan keselesaannya,” katanya.

Noriah Mahayudin yang merupakan bekas kerani pentadbiran awam berkata, dia mungkin akan terus bekerja sehingga hujung nyawa selagi mempunyai kudrat.

"Jika seseorang itu sihat dan mampu bekerja, tidak salah untuk bekerja sekali gus dapat mengisi masa dengan perkara yang lebih berfaedah,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca