SHAH ALAM - Rakyat Malaysia tidak mampu bersara dan akan bekerja sehingga hujung nyawa kerana ramai yang tidak mempunyai wang simpanan persaraan mencukupi. Lebih mengejutkan, seramai 3.6 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia tidak mampu bersara dan akan bekerja sehingga hujung nyawa kerana ramai yang tidak mempunyai wang simpanan persaraan mencukupi.

Lebih mengejutkan, seramai 3.6 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun ke bawah hanya mempunyai kurang RM1,000 di dalam akaun, manakala 6.1 juta lagi memiliki simpanan kurang RM10,000.

Pakar Ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, ini diburukkan lagi dengan lebih 50 peratus rakyat Malaysia hanya berpendapatan RM2,000 ke bawah.

Jadi katanya, ini merupakan sesuatu yang membimbangkan apabila semua kumpulan pekerja tidak boleh mengharapkan simpanan KWSP untuk bersara.

"Itu merupakan satu keadaan kritikal. Jika sebelum ini dinyatakan bahawa 46 peratus penyimpan mempunyai simpanan kurang RM10,000 juga membimbangkan apatah lagi jika kurang daripada RM1,000.

"Perkara ini juga menjejaskan matlamat KWSP kerana ia diwujudkan untuk memaksa semua pekerja membuat simpanan supaya apabila bersara, mereka ada sesuatu yang boleh diharapkan.

"Jika keadaan sebegini terus berlaku, ini bermakna mereka tidak boleh bersara dan tidak akan ada apa-apa ‘penyelamat’ selepas bersara,” katanya kepada Sinar Harian.

PERLU DUA KERJA

Barjoyai berkata, akibat masalah tersebut, semua keluarga perlu mempunyai lebih daripada satu sumber pendapatan jika ingin menampung atau mempunyai simpanan persaraan pada masa hadapan.

"Mencari sumber pendapatan kedua merupakan strategi yang harus ada pada setiap keluarga kerana jika mereka berharap pada pendapatan bergaji sahaja, ia tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup tinggi iaitu RM2,500 sebulan melebihi paras gaji seseorang.

"Dengan kadar kemiskinan RM2,208 sebulan, tidak dinafikan lagi ramai yang duduk di bawah kemiskinan dan tidak ada harapan untuk bersara,” katanya.

Tambahnya, punca mengapa terdapat ramai yang mengosongkan akaun KWSP adalah kerana mereka sangat terdesak dan disebabkan itu, masyarakat perlu mewujudkan skim persaraan sendiri yang selari dengan pendapatan gaji.

"Masalahnya adalah apabila masyarakat berasa sangat terdesak, mereka melihat bahawa KWSP merupakan satu-satunya jalan dan harapan yang ada.

"Semua isi rumah boleh melakukan projek yang mudah seperti bertanam sayur.

"Ini sekurang-kurangnya dapat memberikan hasil sayuran yang boleh digunakan untuk mengurangkan belanja dapur dan mampu membuat simpanan,” katanya.

Pada Ahad, akhbar ini melaporkan seramai 3.6 juta atau 28 peratus pencarum KWSP yang berumur bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000 dalam akaun satu dan dua selepas Covid-19.

Sebanyak 6.8 juta pencarum pula mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 di akaun satu dan 9.8 juta pencarum mempunyai baki yang sama di akaun dua.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata, perkara itu amat membimbangkan selepas ramai ahli KWSP telah mengurangkan, malah mengosongkan simpanan persaraan ketika pandemik akibat desakan hidup.

Seramai 3.6 juta pencarum KWSP yang berumur bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000 dalam akaun satu dan dua.

Dalam pada itu, Barjoyai berkata, strategi KWSP untuk meluaskan perlindungan mandatori, meningkatkan keberkesanan persaraan, mempromosikan perlindungan pendapatan seumur hidup dan membina literasi kewangan merupakan usaha yang bernas namun hanya boleh dipakai untuk jangka masa yang panjang.

"Strategi ini baik namun ia merupakan strategi jangka panjang. Ia boleh digunakan untuk kumpulan yang baharu masuk bekerja kerana mereka akan ada 40 tahun untuk mencapai matlamat.

"Bagi golongan berumur 50 tahun ke atas, mungkin tidak sempat untuk dilaksanakan kerana mereka hanya ada 10 ke 15 tahun sebelum bersara.

"Jadi, strategi tersebut boleh diamalkan tetapi mereka juga perlu memikirkan strategi jangka pendek bagi menangani kumpulan bersara ini,” katanya.

PENYELESAIAN TERBAIK BAGI KWSP

Tahun ini juga merupakan kali pertama KWSP mencatatkan input negatif apabila RM101 bilion dikeluarkan untuk i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari selama dua tahun berturut-turut.

Oleh itu Barjoyai berkata, jalan penyelesaian terbaik bagi KWSP adalah dengan menjual pelaburan atau saham dan meyakinkan pencarum bahawa ekonomi sudah mula stabil.

"Jalan penyelesaian yang mudah biasanya adalah KWSP akan cuba menjual pelaburan dalam bentuk fixed income investment seperti bon dan pelaburan yang berpendapatan tetap. Ini lebih mudah kerana harganya lebih stabil.

"Namun, dalam jangka panjang, KWSP juga mungkin akan menjual saham-saham yang dipegangnya sebagai pelaburan," katanya.

Malah beliau berkata, kerajaan perlu meyakinkan penyimpan-penyimpan bahawa keadaan ekonomi sudah semakin stabil supaya pencarum tidak lagi mengeluarkan wang simpanan mereka.

"Dengan ini, ia dapat meredakan kegusaran dan menghindarkan mereka daripada membuat ambilan kerana apabila mereka membuat ambilan, mereka akan hilang peluang mengambil dividen untuk tahun ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca