ETIMOLOGI ialah ilmu yang mengkaji hal tentang sumber dan sejarah kata dan perubahan pada bentuk serta makna kata. Narsisisme ialah hal atau keadaan terlalu memuja atau mengagumi diri sendiri. Definisi kedua-dua istilah etimologi dan narsisisme ini terdapat sebagai entri Kamus Dewan Perdana (KDP), kamus bahasa Melayu terbesar di dunia yang baharu saja diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2020.
Istilah narsisisme berasal daripada istilah narkissos (narcissus) dalam mitologi Yunani kurun pertama Masihi. Ia mempunyai hubungan yang rapat dengan sifat egosentrisisme. Orang yang egosentrik terlalu mementingkan kemahuan diri sendiri sahaja dan tidak menghiraukan perasaan atau keperluan orang lain (KDP, 2020). Ia memusatkan segala aktiviti serta minat dalam hayat kepada dirinya, kepada "Aku" dan "bukan selain daripada aku." Manusia yang berada dalam keadaan ini cukup berbahaya kepada orang lain kerana kehidupannya tidak berguna untuk keluarga dan masyarakatnya.
Saya berpendapat bahawa personaliti narsisistik lebih teruk daripada personaliti egosentrik yang merosakkan peribadi. Si narsisistik bukan sahaja mahu segala yang berlaku di dunia ini berpusat kepada dirinya seperti si egosentrik, ia berada dalam keadaan kasih kendiri (self-love) dan pemujaan diri sendiri (self-adoration). Lantas ia fana dalam keadaan kasihkan dirinya sendiri. Ini amat berbahaya kerana sikapnya ialah "selain daripada diriku, tak penting". Yang penting ialah "Aku yang Kukasihi."
Banyak fungsi era kini yang menyemarakkan sifat narsisisme hingga menjadikan manusia hilang fitrah asasnya yang insani, yakni yang manusiawi. Jika dibiarkan, manusia menjadi makhluk yang tidak lagi mampu menerima dan menghulurkan sifat rahmah. Bersekali dengan itu ia tidak mempunyai keberanian untuk melaksanakan keadilan dan tidak dapat mencapai tahap hikmah atau kebijaksanaan yang diperlukan dalam hayat yang berimbang.
Ranah psikologi dan spiritual ialah dua daripada empat ranah hayat insan. Dua lagi ialah ranah fizikal dan sosial. Paduan ranah psikologi dan spiritual (psikospiritual) yang disirami baja rahmah menjadikan cara kita berfikir dengan kognisi yang matang. Sehubungan dengan itu, perasaan dan emosi kita menjadi tenang bila ia bergabung dengan ranah kerohanian yang subur dengan zikrullah serta sifat mahmudah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Insan bukanlah sebuah pulau yang terpencil di tengah-tengah samudera luas. Kehidupan dalam masyarakat penting untuk dirinya merasai dan menebarkan rahmah yang universal capaiannya. Insan yang dapat mengurangkan (jika tidak menghilangkan sepenuhnya) sifat narsisistik akan dapat menjadi aset kepada masyarakat.
Jika sifat narsisistik wujud secara amat minimum dalam diri insan, ia tidak akan merosakkan diri atau masyarakat selagi ia dapat dikawal. Sifat rahmah dapat mengurangkan kesan sifat narsisistik.
Cari dan tebarkanlah rahmah dalam keluarga bagi semua insan yang bujang, berteman, bersahabat, dan berkahwin. Carilah jalan untuk berganding bahu dengan mereka di tempat kerja, dalam organisasi dan sewaktu berusaha mencambahkan amar makruf dan mencegah kemungkaran. Semasa kita mengayakan diri dan masyarakat dengan ukhuwah Islamiah, jangan lupa bahawa dunia sedang menunggu kita untuk menyuburkan ukhuwah insaniah sesama manusia tanpa mengira keturunan dan kepercayaan.
Bagi insan yang tidak mementingkan diri sendiri sahaja, di situlah nanti akan terbit rahmah sebagai cahaya harapan pada era narsisistik ini. Rahmah ini berupaya mengatasi narsisisme yang wujud dalam masyarakat. Hanya dengan menghapuskan trend serta kecelaruan narsisistik pada diri dan masyarakat baharulah narsisisme akan terhapus atau berkurangan.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Yayasan Ikram Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca