MENURUT sumber Jabatan Statistik, menjelang tahun 2030 Malaysia dijangka menjadi antara negara di Asia dengan status populasi warga emas tertinggi. Kualiti hidup bagi warga emas adalah amat penting kerana ianya sedikit sebanyak menyumbang... Klik di sini untuk terus membaca

MENURUT sumber Jabatan Statistik, menjelang tahun 2030 Malaysia dijangka menjadi antara negara di Asia dengan status populasi warga emas tertinggi. Kualiti hidup bagi warga emas adalah amat penting kerana ianya sedikit sebanyak menyumbang kepada kadar jangka hayat kehidupan populasi ini yang dijangka mencecah sehingga ke umur 75 tahun.

Secara normalnya, setiap warga emas akan melalui fasa-fasa kemerosotan fizikal dan keupayaan disebabkan faktor usia. Perbezaan fasa ini berbeza mengikut individu sama ada ianya berlaku cepat ataupun lambat.

Salah satu simptom kemerosotan di kalangan warga emas disebabkan penuaan ialah tahap kecerdasan fikiran yang melibatkan teknikal. Ini termasuklah keperluan untuk mengadaptasi skil teknologi informasi yang pantas mengikut peredaran zaman. Maka di sini lah, pentingnya mengapa setiap warga emas harus kekal aktif walaupun setelah bersara. Antara persamaan sifat yang biasa kita lihat di kalangan warga emas dari dahulu hingga kini ialah mereka gemar menjalani aktiviti secara berkumpulan dan berbual bersama-sama di kalangan warga yang sama umur.

Mereka juga gemar melakukan aktiviti sosial yang lain bersama-sama seperti aktiviti keagamaan serta riadah. Akan tetapi, disebabkan Covid-19 kesemua aktiviti ini terbatas dan akibatnya memberi kesan kesihatan mental dan impak kepada kualiti hidup warga emas akibat dari pematuhan SOP. Maka, di sinilah pentingnya konsep perumahan warga emas di Malaysia. Di Eropah dan Amerika Syarikat terdapat konsep ini yang meliputi dua konsep.

Pertamanya dengan bantuan dan tanpa bantuan. Perumahan warga emas dengan bantuan adalah bagi penghuni yang tidak mampu menguruskan diri secara fizikal dan memerlukan bantuan dalam urusan seharian (warga tua yang kurang upaya).

Keduanya perkampungan warga emas tanpa bantuan adalah bagi penghuni yang mampu menguruskan diri dan tidak memerlukan bantuan dalam urusan seharian. Terdapat pelbagai jenis unit perumahan bagi konsep itu iaitu unit perumahan sesebuah ataupun kompleks perkongsian unit rumah.

Di kawasan perumahan itu terdapatnya kemudahan dan fasiliti yang lengkap bagi kemudahan komuniti untuk menjalani aktiviti sosial bersama-sama contohnya gimnasium, kafe, panggung wayang mini, pusat rawatan, bilik permainan, dewan dan lain-lain.

Apa yang menariknya setiap unit perumahan itu dilengkapi dengan elemen- elemen mesra warga emas di ruang utama seperti laluan masuk, ruang tamu, bilik tidur, dapur dan bilik air dengan laluan yang selesa untuk kerusi roda. Elemen mesra warga emas ini penting bagi menjamin keselamatan pergerakan dan aktiviti seharian warga tua terutamanya yang tinggal sendirian di unit perumahan individu masing-masing.

Maka, dengan ini komuniti warga emas di sini bukan sahaja dapat menjalani kehidupan yang sihat dan aktif tanpa mengalami kesunyian tapi yang penting sekali mereka berada di kawasan perumahan yang selamat dari segi unit perumahan dan juga persekitaran. Walaupun konsep perumahan ini agak mahal kerana ianya dikendalikan oleh pihak swasta di atas tanah milik persendirian, akan tetapi ianya memberikan banyak kebaikan dalam membantu memperbaiki tahap kualiti kehidupan warga emas khasnya di Malaysia dengan komuniti warga tua yang unik dengan kepelbagaian bangsa dan budaya.

Konsep perumahan khas bagi warga emas yang dirancang melalui adaptasi konsep yang sama dari luar negara mengikut kesesuaian corak hidup serta aktiviti asimilasi kesatuan kaum di Malaysia amatlah signifikan bagi menjamin serta mempertingkatkan kualiti hidup warga emas di Malaysia. Oleh itu, dengan pengalaman Covid-19, kini tiba masanya pihak kerajaan dan swasta bekerjasama memikirkan kaedah pelaksanaan yang sesuai bagi penawaran konsep perumahan warga emas mampu milik.

Di antara cadangan ialah bagaimana konsep ini dapat dilaksanakan melalui projek perumahan rakyat ataupun menerusi Program Pembangunan Tanah Wakaf di seluruh negara.

* Dr Hafiszah Ismail ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur,Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam

Klik di sini untuk terus membaca