DIMANAKAH Penerbangan Malaysia Bhd yang dulunya lebih dikenali sebagai MAS? Itulah yang menjadi pertanyaan ramai selepas majlis gala anugerah Oscar Industri Penerbangan Dunia yang berlangsung pada Selasa 28 September baru-baru ini.
Penerbangan Malaysia yang pernah memenangi anugerah Hidangan Terbaik Penerbangan Dunia – menerusi hidangan sataynya pada 2013 dan Staf Kabin Terbaik Dunia sebanyak enam kali (2001, 2002, 2003, 2004, 2007, 2009) kini tidak lagi bermain di bibir para pelancong dan penumpang penerbangan antarabangsa.
Tempat MAS telah diambil oleh penerbangan lain.
Untuk kali yang keenam juga, Qatar Airways telah dinobatkan sebagai penerbangan terbaik dunia dari kalangan 350 syarikat penerbangan yang diiktiraf oleh Skytrax Global.
Skytrax adalah firma konsultansi dari United Kingdom yang menilai dan melakukan penarafan ke atas syarikat- syarikat penerbangan dunia.
Selain memenangi anugerah penerbangan terbaik dunia, Qatar turut memenangi anugerah Kelas Bisnes Terbaik Dunia.
Di tempat kedua tak lain dan tak bukan, Singapore Airlines yang turut memenangi Anugerah Kelas Pertama Terbaik Dunia dan Anugerah Krew Kabin Terbaik Dunia.
Singapore Airlines ni, jika tidak mendapat tempat pertama, tetap menduduki tempat kedua atau ketiga dunia.
Kita? Jangan khuatir, kita ada AirAsia yang memenangi Anugerah Penerbangan Tambang Murah Terbaik Dunia untuk kali yang ke-12 berturut- turut. Di peringkat anugerah Penerbangan Terbaik Dunia, AirAsia berada di tangga yang ke-29 dari kalangan 40 syarikat penerbangan terbaik dunia dan dari kalangan keseluruhan 350 syarikat penerbangan dunia.
Tetapi yang paling menakjubkan ialah kemampuan Garuda Indonesia yang suatu ketika dahulu diharamkan untuk terbang di ruang angkasa Eropah, Australia dan Amerika Syarikat kerana kualiti penyelenggaraan pesawat yang diragui.
Hari ini Garuda Indonesia kembali dengan suara dan identiti yang bukan sahaja gagah dan perkasa tetapi boleh dibanggakan oleh rakyatnya.
Dalam kategori Krew Kabin Terbaik Dunia, Garuda berada di tangga keempat – hanya di bawah Singapore Airlines, All Nippon Airways dan Thai Airways.
Anugerah ini suatu ketika dahulu pernah dikuasai oleh MAS.
Malah di peringkat global Penerbangan Terbaik Dunia, Garuda kini berada di tangga 15 – lebih tinggi daripada syarikat-syarikat penerbangan ternama seperti KLM, Turkish Airlines, Swiss Airlines, Air New Zealand, Etihad Airways, Thai Airways, Korean Air, Virgin Atlantic, Delta Airlines dan Virgin Australia.
Kedudukan Garuda juga jauh lebih baik daripada AirAsia di peringkat penerbangan terbaik dunia.
Apakah rahsia di sebalik kejayaan besar Garuda, daripada syarikat penerbangan yang diragui sehingga kembali ke persada dunia di kalangan 40 terbaik global?
Tentu ada sesuatu yang boleh dipelajari daripada Garuda.
Garuda adalah bukti bagaimana sebuah firma mampu bangun daripada kejatuhan dan kembali terbang tinggi di awan apatah lagi dalam kes Penerbangan Malaysia, logonya sendiri diambil dari inspirasi wau bulan yang sentiasa terbang gagah dan menjadi kebanggaan negara.
Ayuh bangunlah MAS, negara merindui kehebatanmu dan bangga dengan lambang wau bulanmu...
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca