SHAH ALAM - Selepas tiga hari desas-desus kepimpinan negeri Hang Tuah, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akhirnya dipercayai tumbang selepas hilang majoriti hari ini. Ia berikutan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas tiga hari desas-desus kepimpinan negeri Hang Tuah, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akhirnya dipercayai tumbang selepas hilang majoriti hari ini.

Ia berikutan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu masing-masing dua daripada UMNO, seorang daripada Bersatu dan seorang Bebas menyatakan hilang kepercayaan kepada Sulaiman berkuat kuasa hari ini.

Empat ADUN itu ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Idris Haron juga merupakan bekas Ketua Menteri Melaka daripada tahun 2013 hingga 2015.

"Bagi menjawab segala pertanyaan yang sibuk di sosial media dua tiga hari ini, saya Idris Haron, ADUN Sungai Udang bersama rakan-rakan saya mengumumkan kami telah hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman dan seluruh kerajaan negeri.

"Kami telah menyerahkan surat ketidakpercayaan kami kepada Sulaiman, sekali gus empat orang kami akan mencari jalan untuk memberikan peluang kepada kerajaan negeri ini ditubuhkan bagi meneruskan perjalanan dan pentadbiran negeri pada masa depan," katanya.

Berikutan penarikan sokongan itu, Sulaiman kini hanya mempunyai 13 sokongan ADUN Melaka daripada keseluruhan 28 kerusi di DUN negeri itu.

Baki 15 yang tidak menyokong masing-masing 11 ADUN Pakatan Harapan (PH) dan baki empat lagi ialah ADUN yang hilang kepercayaan kepada Sulaiman.

Bagaimanapun baik Idris, Nor Azman atau Noor Effandi, kesemua mereka tidak menyatakan sama ada keluar menjadi ADUN Bebas atau melompat menyertai PH.

Tindakan tersebut dilihat menyamai skrip yang berlaku kepada kerajaan Persekutuan pada Ogos lalu semasa negara di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Drama politik tersebut menyaksikan Muhyiddin terpaksa mengumumkan peletakan jawatan beliau pada 16 Ogos lalu selepas lebih 11 orang ahli Parlimen UMNO menarik diri daripada menyokong Ahli Parlimen Pagoh itu.

DITIKAM RAKAN SENDIRI

Bagaimanapun, kemelut di Melaka lebih dramatik apabila Sulaiman yang merupakan Ketua Menteri daripada parti UMNO seolah-olah 'ditikam' rakan sendiri daripada parti yang sama.

Rentetan krisis politik itu, ramai yang melihat kemungkinan rakyat Melaka mungkin hanya akan mempunyai Ketua Menteri baharu bagi menggantikan Sulaiman dengan kerajaan negeri masih dipimpin gabungan BN/UMNO dan Perikatan Nasional/Bersatu.

Namun, Idris dalam sidang media pagi tadi turut menyebut kemungkinan memberi peluang kepada pimpinan PH yang mempunyai 11 kerusi di DUN Melaka memandangan beliau menyedari tindakan 'kamikaze' tersebut boleh menyebabkan dirinya dikenakan tindakan disiplin parti UMNO.

Setakat petang tadi dengan spekulasi terbaru itu, pemimpin PH Melaka juga turut mengumumkan akan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dalam masa terdekat.

"Saya rasa dalam sidang media yang disampaikan Datuk Seri Idris Haron (pada Isnin) telah menyebut beberapa perkara, dan bagi PH, kestabilan politik harus diberikan keutamaan jadi kita akan mengambil tanggungjawab memastikan politik Melaka stabil untuk berdepan pandemik COVID-19 dan ekonomi di negeri ini.

"PH memainkan peranan bagi memastikan pentadbiran dapat diteruskan. Dalam Perlembagaan Negeri Melaka, kuasa melantik Ketua Menteri adalah dibawah bidang kuasa TYT, kita akan bertemu dulu dengan Tun (Mohd Ali) bagi mencari penyelesaian dan untuk berbincang," kata Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Klik di sini untuk terus membaca